Wednesday, 20 June 2018

Tips 7: Nak buat Haji apa..


Sewaktu belajar dan menghadiri kelas-kelas Haji, secara asasnya memang boleh difahami bahawa ada 3 jenis haji iaitu Haji Tammattuk, Ifrad dan Qiran. Secara teori boleh faham… tapi rupanya bila mengalami sendiri, baru lah saya ooo…macam ni…ooo..macam tu….

Sebab daya kefahaman orang adalah tidak sama. Ada makcik yang saya temui beritahu 7 tahun dia menghadiri kursus haji tapi tetap tidak faham dengan kaedah pelaksanaan rukun dan wajib haji. Tap saya percaya, Allah permudahkan makcik tu bila dia mengerjakan haji sebab dia bersungguh-sungguh tanpa jemu tahun ke tahun menghadiri kursus dan kelas berkaitan haji.

Ada pula yang terima panggilan Haji di saat Akhir tanpa disangka dan tak sempat langsung pun menghadiri sebarang pengajian berkaitan Haji, jauh sekali mempunyai masa untuk membaca sendiri buku yangberkaitan dengan teori dan pelaksanaan haji. macam itulah – jemputan Allah tu datang dengan pelbagai cara.

Analoginya macam jemputan kendurilah – ada yang dijemput awal, jadi bolehlah buat perancangan nk beli hadiah dan nk ambil cuti ke, ada yang dijemput secara whatsapp, ada yang diposkan kad jemputannya, ada yang dipanggil mulut, ada pula yang diwakilkan untuk menjemput..ada yang esok nak kenduri baru dijemput….

Apabila saya menerima surat tawaran menunaikan Haji – saya tidak tahu sama ada mahu memilih ke Mekah dahulu atau Madinah dahulu. Kalau ikut pengalaman emak saya yang mengerjakan Haji pada tahun 2016, beliau bertegas bahawa saya wajar memilih penerbangan Akhir sepertinya. Tentulah beliau akan menyokong dengan hujah-hujah yang pro dan kons…sebelum itu sudah banyak saya cari pengalaman orang-orang yang terdahulu menunaikan haji sama ada pergi awal, pergi waktu pertengahan atau di Akhir sebelum wukuf. Sebenarnya kesemua pun ada kelebihannya. Saya percaya Allah takkan sia-siakan mereka yang pergi awal atau Akhir. Kalau  pergi dengan penerbangan Akhir itu terbaik, adakah bermaksud mereka yang pergi lebih awal itu tidak mabrur hajinya? Jenuhla flight kalau semua orang pergi pada hari-hari Akhir kan?

Sebelum saya menghantar surat jawapan itu, saya menelefon ayah kepada kawan sepejabat yang kebetulan merupakan pengurus TH Banting (yang mana surat tawaran saya dikeluarkan!!) iaitu En. Abdul Razak (apabila bersembang di pejabat saya dan rakan membahasakan pakcik Razak). Setelah berbincang panjang lebar dengan beliau, beliau menasihatkan saya untuk menanda dalam surat jawapan itu -  pergi ke Madinah terlebih dahulu – maksudnya menunaikan haji tammattuk atau dengan erti kata lain – bersenang-senang. Sesuai dengan diri saya yang tidak pernah ke tanah Suci  dan tidak pernah menunaikan umrah. Segalanya adalah pengalaman pertama bagi saya. Suami pula sudah 2 kali mengerjakan umrah bersama emaknya. 

Pilihan saya itu beberapa kali dipadam dengan liquid paper, dan ditanda semula haha..Sudah tentu pilihan saya itu ditentang oleh emak saya. Antara sebabnya ialah pergi awal ini akan terdedah kepada cuaca yang panas dan mudah sakit. Sedangkan kita ingin menyediakan diri dalam keadaan terbaik sewaktu di Arafah dan Mina. Tapi jauh di sudut hati saya berasakan bahawa ketentuan sakit atau sihat ini adalah ketentuan Allah. Sejak itu saya berdoa semoga saya sihat ketika berada di sana hingga habis pelaksanaan kerja haji (Nota : saya cadangkan  berdoa agar sihat sepanjang berada di tanah suci hingga kembali ke Tanah air).

Akhirnya dengan kuasa Allah, sebelum Hari raya AidildFitri tahun 2017 itu, saya dan suami telah mendapat tahu akan jadual penerbangan kami iaitu pada Rabu, 26 Julai 2017 bersamaan penerbangan hari ketiga. Rakan sepejabat saya Puan Farhah pula mendapat giliran pada hari pertama penerbangan Haji!! lain-lain rakan sepejabat ketika itu seperti Kak Ita, Sabariah, Dato’ Ihsan juga mendapat giliran flight awal antara hari kedua hingga keempat penerbangan. Maknanya kesemua kami akan ke Madinah dan mengerjakan Haji Tamattuk. Namun begitu, untuk makluman, ada Jemaah dalam maktab kami mengerjakan haji Ifrad dan pasangan itu berada dalam keadaan ihram selama sebulan sehingga ke Arafah dan Mina. saya sempat menemuramah wanita berkenaan, mereka memilih haji Ifrad kerana antara lain – lebih banyak cabaran, mudah2an lebih banyak pahala diperoleh. Dan mereka positif mengenainya terutaman dalam menjaga larangan dalam ihram. Apapun, pilihan di tangan anda.

Bagi anda yang pergi dengan penerbangan awal ini, antara kelebihannya adalah masih belum ramai Jemaah membanjiri Madinah dan Mekah. Jadi kita dapat membiasakan diri dengan keadaan, masa dan dapat menyusun atur pergerakan dengan selesa. Sama juga keadaan bagi Jemaah yang datang dengan penerbangan Akhir, mereka pula dapat menikmati keadaan Jemaah yang semakin berkurangan apabila semakin ramai yang berangkat pulang. Jadi semakin mudah untuk beribadat tetapi mungkin sedikit stress bilamana ramai yang pulang dan maktab semakin kosong. Oh ya – penjual pun mungkin ramai yang sudah nk tutup kedai hihi..

Apapun takdir anda sama ada pergi awal atau lambat ke Tabah Suci, percayalah bahawa insyaAllah itu merupakan pilihan terbaik untuk anda. Allah lebih tahu, dan letakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah.


No comments:

Post a Comment