Monday, 22 October 2018

TAHNIAH DAN TAKZIAH




Kebiasaannya apabila menerima berita kenaikan pangkat, kita ucapkan tahniah kepada individu berkenaan. Hari ini saya menerima berita 3 kenaikan pangkat individu yang saya kenali dan satu pada minggu lepas. Kesemuanya berlegar pada organisasi di tempat saya bekerja.

Jauh di sudut hati, teringin saya mengucapkan TAHNIAH dan TAKZIAH kepada 3 individu yang kiranya rapat dengan diri saya. Tapi tidak saya zahirkan dalam ucapan, kerana khuatir tidak diterima atau menimbulkan lebih banyak persoalan kepada orang lain yang membaca kerana belum biasa diucap Takziah atas  kenaikan pangkat.

TAHNIAH adalah sesuatu yang biasa, tetapi kenapa TAKZIAH?

Pertama kali saya membaca tulisan berkaitan ini adalah catatan Dr MAZA menerusi Minda Tajdid (yang di tag oleh rakan FB) bersempena dengan pelantikan YAB PM ke-enam. Kenaikan pangkat dan jawatan besar merupakan satu manifestasi penghargaan terhadap kepimpinan seseorang. Lantikan berkenaan pastinya bersandarkan bakat, pengetahuan dan pengalaman seseorang. Namun untuk menjadi seorang pemimpin ini bukan mudah. Dalam satu ceramah yang saya dengar tentang kepimpinan, seorang pemimpin itu haruslah mempunyai dua ciri ini iaitu Qawi (kuat) dan amanah. Kuat itu dari pelbagai segi, fizikal dan mental serta harus diiringi dengan amanah. Dari satu blog yang saya baca, amanah bererti melaksanakan suatu tugas-tugas syariat dengan penuh ketaatan dan tanggungjawab. Amanah juga membawa makna sifat atau keperibadian yang dipercayai. Pengertian amanah bukan hanya menjaga urusan yang melibatkan kewangan sahaja, bahkan pengertian amanah di dalam Islam cukup luas dan berat tanggungjawabnya.


Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” (al-Ahzab:72) 

Sabda Nabi saw:

Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinanan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).

Bahkan baginda pernah menyebut:

Allah tidak lantik seseorang hamba itu menguasai sesuatu rakyat kemudian hamba itu mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, melainkan Allah haramkan untuknya syurga (Riwayat Muslim).

Kalau kita berbesar hati dengan kenaikan pangkat atau pelantikan ke atas sesuatu jawatan, mari kita meladeni sikap Khalifah Umar bin Abd al-Aziz ketika beliau dilantik menjadi khalifah. Beliau tergamam dan hiba dan bersendirian bersolat dan menangis hingga menimbulkan tanda tanya kepada para pembesar yang lain. Beliau sebenarnya khuatir tidak mempunyai alasan yang kukuh menjawab kepada Tuhan di akhirat kelak ke atas mereka yang tidak berdaya seperti orang yang fakir, yang lapar, orang tua, yang menderita dan yang berkeluarga ramai dengan wang yang sedikit. Sungguh berat sebenarnya perkara amanah ini.

Dari buku novel sejarah Abu Ayub Al-Ansari (sahabat Nabi saw yang rumahnya dipilih oleh unta Nabi untuk berhenti dan berehat ketika peristiwa Hijrah dari Makkah ke Madinah), sewaktu kewafatan Nabi saw, wakil pihak Muhajirin dan Ansar saling menegakkan wakil dari kaum masing-masing untuk menjadi pemimpin sehinggalah sahabat Nabi saw iaitu Abu Bakar As Siddiq dipilih dan dilantik sebagai Khalifah. Berikut adalah ucapan pertama Khalifah Abu Bakar As Siddiq:

 Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku"

Buat 3 individu yang begitu dekat dengan saya, Dato’ Noor Zari, Encik Muhammad Idris dan Encik Abdul Halim Abdul Aziz, TAHNIAH atas kepercayaan untuk menerajui organisasi, TAKZIAH atas bebanan amanah yang bakal dipikul. Saya hanyalah seorang pegawai kecil (pangkat dan saiz badan hihi) yang mendoakan Tuan-Tuan akan memikul tanggungjawab ini dengan penuh ikhlas dan juga mendoakan semoga semua urusan kita dipermudahkan Allah dan, semoga sentiasa dipandu ke jalan yang betul. Amin ya Rab.


No comments:

Post a Comment