Wednesday, 20 June 2018

Tips 4: Bekalan untuk yang ditinggalkan


Salah satu syarat menunaikan Haji adalah mempunyai belanja yang cukup untuk keluarga yang ditinggalkan. Mengambilkira pengalaman saya yang lalu, dengan 3 anak yang masih kecil – saya meninggalkan perbelanjaan untuk kegunaan lebih kurang selama 2 bulan. Namun, sayugia diingatkan bahawa catatan ini hanyalah sebagai panduan semata2..kalau keluarga yang mempunyai anak yang sudah besar lain pula keperluannya.

Antara yang saya sediakan (setelah merancang selama berbulan-bulan…bukan senang oiii) ialah:

1)      Belanja sekolah anak (untuk sekolah pagi dan sekolah petang/sek agama). Belanja disini maksudnya saya menyediakan wang RM1 secukupnya (sbnrnya lebih sedikit) bagi kegunaan mereka. Kadang-kadang, anak –anak saya apabila pulang dari sekolah agama, mereka suka ke kedai runcit berhampiran rumah pengasuh untuk membeli air kotak atau jajan..ataupun kadang2 mereka membeli burger di warung yang dibuka di sebelah rumah pengasuh mereka. Saya telah mengira hari bersekolah sepanjang saya menunaikan Haji dan mudah2an apa yang saya tinggalkan itu mencukupi.

2)      Wang bulanan untuk bayar pengasuh. Saya telah menyediakan jadual tugasan dan antara tugas salah seorang anak saya adalah untuk memastikan bahawa duit sekolah adalah tersedia dan wang bulanan pengasuh dibayar pada masanya. (tapi adik saya telah ambil alih dan tolong bayarkan pada masa yang berkenaan – dengan wang yang saya tinggalkan).

3)      Yuran tadika anak. Yuran ini telah saya bayar terlebih dahulu, maka tidak perlukah berpesan kepada anak ketiga untuk bawa wang yuran ke tadika.

4)      Wang untuk perbelanjaan rumah dan untuk anak2 makan diluar sekali sekala. Sekali sekala saya memenuhi kehendak anak2 makan makanan segera. Jadi saya anggarkan keperluan untuk mereka makan di luar sekali sekala, termasuk untuk mereka membeli bekalan makanan mingguan seperti biskut, air kotak dll.

5)      Wang untuk lauk makan malam. Yang ini saya langsaikan sebelum saya berangkat menunaikan Haji. Anak-anak saya biasanya akan pulang ke rumah hamper jam 7 malam. Jadi, saya tidak mahu menyusahkan atok mereka memasak lauk untuk makan malam sebab selera mereka bertiga ini selalunya tidak sama. Jadi saya diketemukan dengan caterer yang sudi untuk menyediakan lauk makan malam anak saya selama 5 hari seminggu (hari bekerja sahaja). Tapi anak2 ini ada juga minta atoknya masak lauk lain bila tak kena selera mereka…sabar je lah….

6)      Wang untuk upah gosok baju. Alhamdulillah urusan saya juga dipermudahkan bila dipertemukan dengan jiran yang sudi menolong untuk menggosok baju sekolah anak saya. Jadi atok (mak saya) hanya akan basuh baju sekolah mereka, dan setiap Ahad jiran saya yang baik hati ini akan mengambil baju sekolah dan hantar kembali ke rumah pada petangnya. Nota : Baju-baju sekolah anak saya telah saya tandakan di seluar dan bajunya dengan initial nama masing-masing supaya tidak bertukar dengan Z1, Z2 dan Z3. Ini kerana ketika itu Z1 dan Z2 masing-masing mempunyai 3 helai baju sekolah kebangsaan dan 5 helai baju sekolah agama. Kalau tertukar kan pening? (ya…kepeningan itu bermula bila semua anak berada di sekolah rendah tahun berikutnya…saya kerapkali tersalah letak baju dan seluar mereka isk..isk…)

Jadi begitulah serba ringkas tentang perbelanjaan yang ditinggalkan untuk anak-anak..dan sebelum terlupa, saya juga meninggalkan kad bank saya dengan jumlah lebih kurang 2 bulan gaji…bukan saya nak menunjuk disini …tidak…. Tapi saya tinggalkan dengan jumlah sebegitu sebagai persediaan jikalau saya tidak akan pulang dari Tanah Suci…makan waris yang tinggal akan mempunyai peruntukan yang cukup untuk perbelanjaan sementara urusan –urusan berkaitan saraan diselesaikan. 

Nampak macam mudah kan?... Sejujurnya sememangnya persediaan mengerjakan Haji ini melibatkan fizikal dan mental…Saya masih ingat sebulan sebelum berangkat saya mengalami penurunan berat badan kerana terlalu memikirkan banyak perkara…tapi saya percaya Allah akan permudahkan semua. Kalau ada rezeki saya cerita bab Allah permudahkan itu ya?

Kalau ada rakan bakal Jemaah yang nak bertanya lanjut tentang sesuatu perkara – bolehlah PM saya ye. Dimana boleh saya cuba bantu…

No comments:

Post a Comment