Wednesday, 20 June 2018

Tips 17 : Kalau ‘uzur’, bagaimana?



Untuk Jemaah yang lebih kurang seusia saya atau lebih muda, datang haid adalah perkara yang biasa dan normal. Ada pelbagai pendapat – sama ada untuk biar saja kitaran itu berlaku dengan semula jadi atau mengambil pil/suntikan penahan haid. Dalam beberapa pendapat yang saya temui berpandangan bahawa untuk yangberumur 40 tahun dan ke bawah tidak digalakkan untuk mengambil pil atau suntikan penahan haid kerana dikhuatiri akan menyebabkan kitaran itu menjadi tidak stabil di kemudian hari. Ada beberapa ustazah yang saya tanyakan sendiri pun berpandangan bahawa yang lebih kurang sama.

Pelaksanaan ibadah Haji kita mengambil masa lebih daripada 40 hari (dalam keadaan saya jumlahnya 50 hari), berbanding pelaksanaan umrah di luar musim Haji yang mengambil masa lebih kurang 10-13 hari. Untuk pelaksanaan umrah ini, memang wajar untuk mengambil pil atau suntikan menahan haid untuk memastikan Jemaah dapat melaksanakan ibadah dalam tempoh yang ditetapkan. Dalam tempoh yang panjang melebihi 40 hari ini, Jemaah wanita tidak perlu risau tentang niat ihram bersyarat kerana insyaAllah cukup masa untuk melaksanakan semua ibadah. Jadi, biarkan ia terjadi dengan semulajadi dan normal. Bukankah Allah menjadikan kita dengan sebegitu rupa? Pasti ada hikmah disebaliknya….

Kedatangan haid memang meresahkan, kerana kalau boleh kita ingin sentiasa berada di dalam masjid, bersama solat berjemaah dan melakukan ibadat lain dalam keadaan biasa. Saya sendiri ketika didatangi haid ketika di Madinah berasa agak down dan telah whatsaps secara peribadi kepada beberapa ustazah yang saya kenali (ada yang datang bertugas sebagai petugas Haji dan ada yang berada di Malaysia). Kata-kata nasihat mereka membuat saya berfikir dengan lebih positif dan menerima keadaan dengan lebih terbuka.

Jika anda didatangai haid, kita boleh turut sama bergerak dengan rakan sebilik ke masjid. Tapi anda berhenti setakat di luar sahaja. Anda boleh mengambil peluang untuk tolong menolak wheelchair pakcik-makcik yang agak uzur, tolong ambilkan air dalam cawan dan edarkan kepada Jemaah di luar Masjid (Nabawi) yang kepanasan dan banyak lagi. Pengalaman saya dahulu pula, ada sekumpulan wanita yang kebetulan sama-sama tidak boleh bersolat duduk di kawasan mengambil wuduk. Lalu saya berkenalan dengan mereka dan pada setiap waktu kami duduk di tempat yang sama sambil mengambil peluang berkenalan dengan lebih dekat. Rakan itu dari Pakistan dan walaupun ada sedikit kesukaran untuk berinteraksi, namun simple English masih dapat difahami. Ada waktu kami berkongsi makanan dan sama-sama mengedarkannya kepada Jemaah berhampiran (bukan Jemaah Malaysia) yang kelihatan sangat berterima kasih mendapat makanan dan minuman. Dia kini telah menjadi rakan FB saya..

Saya masih ingat, ramai Jemaah negara lain yang tidur di kawasan dataran Masjid Nabawi, mungkin mereka ini tidak mempunyai penginapan. Kerana mereka tidur dengan bagasi mereka yang besar dan mandi di tempat wuduk sekitar masjid. Pemandangan yang sama juga boleh dilihat di luar Masjidil Haram. Lihat lah betapa usaha mereka ini yang datang dari jauh untuk mengerjakan rukun Islam kelima ini. Mereka sanggup bersusah tidur berbumbungkan langit sahaja dan makan dengan mengharap ihsan Jemaah yang lalu lalang. Ada satu kedai di area Safwah Tower yang memang menyediakan makanan simple seperti roti dan air khusus kepada mereka yang tidak berkemampuan dan sesiapa boleh menyumbangkan wang untuk penyediaan makanan itu. Lupa pula saya akan namanya. Tapi ada pelbagai cara untuk menumpang menyumbang pahala pada musim haji ini. Cuma anda kena kreatif sahaja memikirkannya.

Jadi pesan saya – jangan risau mengenai kedatangan haid. Ia adalah normal. Kalau di tanah air, lewat datang haid pun kita risau kan..kan…manalah tahu bertambah ahli keluarga pula kan hahahaha. Pilihan di tangan anda.

No comments:

Post a Comment