Wednesday, 20 June 2018

Tips 5 : Tinggalkan anak di mana?



Tajuk ini paling saya berat hati nak catatkan…saya sebenarnya meletakkan tajuk terlebih dahulu dankemudian saya taip catatan saya di tajuk yang saya selesa terlebih dahulu.. Dalam pada saya nak menurunkan panduan/tips, saya catatkan dengan panjang lebar dahulu pengalaman saya yang membuatkan saya rasa perlu untuk berkongsi tips ini dengan anda.

Buat yang mempunyai anak yang sudah membesar dan boleh menjaga diri sendiri, ia agak mudah saya rasa (tapi saya tak pasti sebab saya tak mempunyai pengalaman itu). Bagi bakal Haji yang ‘agak muda’ (saya rasa kalau 40 tahun ke bawah itu kategori mudalah kan..kan..kan..) yang mempunyai anak yang masih kecil seperti saya, perihal nk meninggalkan anak di mana itu perlu difikir sebaiknya ….Malah ada kawan jemaah saya yang mempunyai baby sewaktu mengerjakan Haji. Tapi kita percaya bahawa Allah akan permudahkan segalanya apabila kita telah terpilih menjadi tetamu Allah

Bagi diri saya dan suami, kami telah sepakat ingin meninggalkan anak kami kepada kakak ipar saya…keputusan itu telah dibuat awal sebelum kami menerima surat panggilan Haji lagi…
Jadi selama berbulan saya itulah opsyen saya yang pertama dan saya memang merancang pelbagai perkara, sesuai dengan cadangan untuk meninggalkan anak-anak dengan ipar saya. Antaranya ialah keperluan wang untuk dobi pakaian mereka, untuk makanan mereka (kedai makan banyak berhampiran) belanja sekolah, nak belikan rak pakaian sementara untuk mereka, merancang pakaian yang perlu di bawa ke rumah ipar saya meliputi baju harian, baju tidur dan sebagainya. Perancangan itu kekal sehingga tarikh berangkat kami tinggal lebih kurang 2 minggu.

Kisahnya, saya sering berkongsi dengan rakan sepejabat saya – Puan Farhah Salleh (kami sama-sama mendapat panggilan Haji tahun berkenaan dan kami lebih kurang sebaya) tentang pemergian kami ke Tanah Suci nanti…macam-macam perkara yang kami sembangkan…hinggalah pada satu hari, kami bersembang tentang anak-anak kami…Beliau bercerita tentang pengalaman beliau sewaktu parents nya menunaikan haji. Kata-kata beliau yang membuatkan saya seolah mendapat ilham baru ialah “Petua dan pesan ayah saya ialah bila kita nk pergi Haji – kita jangan keluarkan anak kita dari rumah kita. Biar orang lain yang datang dan jaga anak kita di rumah kita. Supaya anak kita rasa kita ni macam pergi sekejap saja. Sebab persekitaran dia masih sama – iaitu di rumah. Yang berbeza hanya orang lain saja yang jaga mereka”…nampak tak…jangan pindahkan atau keluarkan anak kita tapi biar orang yang datang jaga anak kita di rumah kita…. Buat yang mempunyai anak yang sudah besar, tiada masalah…mereka boleh tinggal di rumah, boleh bawa kenderaan dan boleh uruskan adik2 jika masih kecil. Tapi bagi yang anak semuanya masih kecil macam saya…kata-kata kawan saya itu membuatkan saya berfikir panjang.

Bermula dari situ, saya menambah satu lagi doa dalam solat hajat saya mohon agar Allah permudahkan dan tunjukkan jalan berkaitan perihal penjagaan anak2 saya ini. Sekiranya tinggal dirumah adalah pilihan terbaik untuk saya dan mereka, saya mohon Allah tunjukkan jalan dan permudahkan untuk perancangan saya. Sebab opsyen ini tidak pernah ada dalam perancangan saya dan tarikh keberangkatan pula tinggal 2 minggu ketika itu.

Saya masih ingt pada hari Isnin (tarikh tak ingat haha), pagi itu saya cerita serba ringkas apa yang Farhah beritahu kepada saya, dan mahu tak kalau kita cuba? Maknanya perancangan kami akan berubah 100%. Suami saya ok mengenainya tapi minta saya uruskan. Serentak itu, suami menelefon kawannya bertanya sama ada boleh kah untuk menguruskan anak kami ke sekolah (ambil di rumah pada waktu pagi dan hantar balik waktu petang). Ditakdirkan bahawa Allah sememangnya memudahkan urusan hambaNya bakal tetamu Allah, kawan suami (anak panggil pakcik Rizal) terus sahaja bersetuju tanpa tanpa berfikir panjang. MasyaAllah hebatnya dan cepatnya Allah menjawab permohonan saya!! Satu urusan selesai.

Urusan seterusnya adalah bertanya mak saya sama ada sudi menjaga hero2 saya ini sepanjang saya menunaikan Haji. Yess..alhamdulillah mak saya (Tok Nah) setuju tanpa banyak soal. Ok..2 perkara setel…

Seterusnya saya bertanya kepada jiran saya akan kesudian dia untuk memasak lauk makan malam anak saya dan bertanya tentang dobi yang boleh ambil baju di rumah dan hantar semula kerumah. Jiran saya ini (anak panggil acik Yan) tidak dapat memenuhi permintaan saya untuk menyediakan lauk makan malam kerana dia terikat dengan urusan tempahan majlis perkahwinan (mak andam ni …) tetapi beliau lebih dari sudi untuk tolong menggosokkan baju sekolah anak saya. Lebih memudahkan, beliau mencadangkan saya menghubungi sepupunya yang juga tukang masak/caterer tentang lauk dinner anak saya…Jadi dalam masa 2 hari sahaja, semua perkara selesai!! Berbanding perancangan saya yang lebih dari setahun sebelum ini. 

Betapa Allah itu Maha Kuasa, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui yang terbaik untuk kita. Sujud syukur saya ketika itu, tidak terkira betapa leganya saya semua hal ini selesai dalam masa yang singkat. Anak-anak pula apabila diberitahu perubahan rancangan saya, mereka bersorak gembira. Tak sangka pula mereka suka dengan cadangan untuk mereka tinggal di rumah sendiri..sebelum ini tidak pernah pula mereka memberikan sebarang pendapat mengenainya.

Jadi itulah panduan yang nk disampaikan…mengambilkira pesanan ayah kepada kawan saya (Puan Farhah) bahawa lebih baik anak itu tinggal di rumah sendiri dan jangan dipindahkan..

Apapun – tidak semestinya yang baik untuk saya itu adalah sesuai juga kepada anda..ini hanyalah panduan sahaja…

Terima kasih kerana luangkan masa membaca!!

No comments:

Post a Comment