Tuesday, 26 June 2018

Tips 21 : Tak payah bawa hand bag



Kita suka pada pelbagai jenis hand bag kan…(ok mungkin bukan semua orang). Ada orang tu, kalau pergi kenduri hand bag nya begini untuk dipadan dengan bajunya, kalau pergi piknik ada jenis beg yang casual dan lasak, ada handbag pergi kerja, ada yang khusus untuk event tertentulah senang cakap kan….ada pula yang tak suka bawa handbag dan bawa back pack sahaja….Jadi pergi menunaikan Haji ni nak bawa handbag tak?

Nak bawa, tak bawa..nk bawa tak bawa…saya cadangkan – tak payah bawa langsung!! Sebab kita tak payah bawa purse pun. Tak payah bawa IC, tak payah bawa lesen memandu..tak payah bawa kad kredit, tak bawa kad bank pun!! Jadi yang paling selesa untuk saya ketika itu adalah backpack jenama Quecha. Heyyy…bukan budak sekolah saja yang bawa tau bagpack jenama ini. Ramai orang dari pelbagai negara saya dapati turut sama menggunakan bagpack ini…walaupun beg saya itu cap ayam saya hihi….

Barang yang mesti ada dalam bag itu adalah kipas tangan, buku catatan dan pen, buku doa, tuala muka, tudung labuh spare, plastic sampah hitam yang besar, tasbih, botol spray yang berisi air, botol air, tisu dan beg duit kecil yang boleh masuk sedikit duit dan gunting kecil. Macam banyak kan? Tak pun sebenarnya…sebab semuanya dalam saiz yang kecil sahaja….

Tapi tak dinafikan saya berjumpa dengan Jemaah Indonesia yang bergaya. Jika diamati jenis telekung mereka pun kita dah tahu bahawa ianya jenis mahal, dengan beg tangan berjenama, dengan kasut yang cantik. Saya dapati ramai mereka membawa anak kecil dalam menunaikan haji, mereka menyorong stroller di mana2 – dan saya rasa mereka ini datang secara pakej kalau term di Malaysia. Mereka duduk di hotel mahal dan bukan di maktab macam Jemaah muasasah…yang ini memang terbaik….rezeki masing-masing lah kan?

Jadi, nk bawa handbag juga kah?

Wednesday, 20 June 2018

Tips 20 : Menunggu tandas di Arafah/Mina



Setiap tahun boleh dikatakan ada pertambahan bilangan Jemaah yang menunaikan haji. Sebagai contoh , jika tahun 2016 dianggarkan Jemaah yang menunaikan haji sekitar 30 ribu lebih, pada tahun 2017 iaitu tahun saya menunaikan haji pula angka rasmi mencatat lebih daripada 40 ribu. Manakala ada juga saya diberitahu yang Jemaah Malaysia yang pergi dengan menggunakan kuota Thailand.
Untuk makluman, pertambahan bilangan Jemaah Haji tidak pula bermakna kawasan Arafah dan Mina itu diperbesarkan. Arafah dan Mina dari zaman Nabi Muhammad s.a.w adalah sama saiznya dengan Arafah dan Mina sekarang. Sama ada jemaahnya 300 ribu atau 3 juta, kawasan itu tetap sama juga. Tandasnya juga masih tidak bertambah dan saya fikir ia sama sejak beberapa (puluh?) tahun dahulu. 

Kerana itu, apabila Jemaah merungut kenapa Kerajaan Arab Saudi tak terfikir ke nak tambah kemudahan tandas – satu perkara yang anda kena tahu dan fahami adalah – nak tambah Jemaah di Mina dan Arafah ke atau nak tambah tandas? Mana yang lebih utama? Logiknya tentulah tambah bilangan Jemaah kan? Masalah tandas tu adalah sesuatu yang Jemaah kena tangani sendiri. 

Dalam keadaan inilah saya berasa sangat bersyukur dipanggil menunaikan Haji dalam usia yang masih mempunyai tenaga. Menerusi pengalaman dan pengamatan saya, ketika saya menunaikan haji dalam musim yang lalu, tempoh menunggu giliran tandas pada waktu puncak boleh mencecah sehingga 2 jam. Terdapat juga keadaan di mana ramai warga tua yang terlepas di kawasan luar tandas kerana menunggu terlalu lama dan sudah tidak tertahan.  Namun, bagi diri saya sendiri, Alhamdulillah menunggu lebih kurang dalam tempoh setengah jam sahaja.

Petuanya, kita kena ke tandas sebelum berasa nak membuang…Kita juga jangan ke tandas dalam waktu waktu puncak. Alamatnya nanti banyak masa terbuang kerana beratur. Apa yang paling penting disini adalah sentiasa banyakkan berdoa semoga dipermudahkan. Yang paling penting sentiasa bersangka baik. Contohnya, jangan pula anda berfikiran ‘habislah aku ni mesti ramai orang’ atau ‘jenuhlah nak jalan panas-panas ni’ atau’orang depan aku ni bukannya reti Bahasa ni’. Apa yang anda fikir, itulah yang akan terjadi. Ingatlah bahawa di mana anda berada. Semua bisikan hati itu tidak mustahil menjadi kenyataan. Jadi, biasakan diri anda berfikir dengan positif. Apa yang anda fikir itulah yang akan terjadi, insyaAllah. Be positive!! Semuanya akan dimudahkan.

Sedikit pengalaman tentang tandas ini, saya berpeluang menumpang tandas di kawasan Jemaah Indonesia ketika mencari arah pulang (sudah sesat jalan selepas melontar) di Mina. Mereka yang saya jumpai sangat mesra dan berhemah. Dalam menunggu giliran di tandas kawasan negara Indonesia, saya perhatikan mereka meletakkan kertas di dinding sebagai giliran membersihkan tandas. Ada waktu yang tidak dibenarkan untuk menggunakan tandas kerana khusus waktu untuk pembersihan. 

Tandas yang saya masuki memang bersih tanpa sebarang sampah di dalamnya. Teringat pula kata-kata kawan saya – nak tengok tahap pemikiran dan sikap sesuatu bangsa itu, kita tengok tandasnya dulu. Terutama tandas di lapangan terbang yang merupakan entrance ke sesuatu negara. Jadi, tak perlu tanya banyak, tak perlu fikir banyak, jangan berkira untuk tolong bersihkan tandas yang anda masuki. Walaupun sekadar simbah air di lantai – yang sedikit itu tetap akan ada impaknya kemudian (walaupun lambat!!). Jika anda berfikiran begitu, tahniah sebab anda adalah seorang yang bertamadun!!

Tips 19 : Ustazah saya…ustaz saya



Haaa…yang ini berdasarkan kepada pemerhatian saya (silap-silap saya pun ada perangai seperti ini). Jadi saya menulis untuk menegur diri saya sendiri dan mengingatkan diri saya dan rakan-rakan semua. Biasa terjadi yang dikatakan ‘fatwa rakan sebilik’.

Apabila kurang pasti tentang sesuatu perkara (contohnya larangan dalam ihram), kita mungkin akan berbincang dengan rakan sebilik atau berbincang dengan pasangan. Waktu inilah akan keluar pelbagai pendapat..ustazah saya kata…ustaz saya kata…kalau yang kata pendapat mereka sahaja yang betul, susah juga…nanti akan ada pelbagai perangai akan ditemui…kemudian ada yang tak mahu menerima pandangan orang lain pula. Kalau jadi keadaan begini kepada anda, jalan terbaik adalah sebenarnya merujuk kepada petugas TH dan pembimbing yang ada. Setiap maktab ada ustazah yang bertugas. Jangan lupa ambil nombor telefon ustazah dan tanyakan kemushkilan anda kepada ustazah.  Kemudian, setiap hari ada waktu tertentu yang pejabat maktab dibuka dan ustaz/ustazah maktab akan ada disitu. Anda boleh menemui mereka dan bertanyakan permasalahan anda. Jawapan dari ustazah dan pembimbing TH lebih wajar anda rely on berbanding fatwa rakan sebilik ya. Jika ada rakan sebilik anda atau makcik-makcik yang mushkil tentang pelbagai perkara, anda nasihatkanlah mereka untuk merujuk kepada  ustazah. ATAU anda tolong rujukkan kepada ustazah bagi pihak mereka…

Ingat ya…jangan buat perangai ustazah saya kata..ustazah saya ajar macam ni….jangan ya…yang ustazah ajar tu betul…kefahaman kita sahaja yang berbeza dan mungkin tak betul sepenuhnya.

Tips 18 : Sorok kasut dalam masjid?



Kita tidak memakai kasut dalam masjid kan…ia harus di buka di luar masjid dan masukkan ke dalam plastic atau undang kasut khas. Dalam banyak blog yang saya baca, kebanyakkannya menyarankan untuk membawa uncang kasut khas yang boleh ditulis nama dan lain-lain butiran diri.

Tapi tak semua orang pula ada membawa uncang kasut begitu. Ataupun, ada yang bawa tapi bila sampai di Tanah Suci tak tahu pula letaknya di mana dalam beg (maklumlah banyak sangat barang hihi)..Seingat saya, ada plastic disediakan di luar masjid untuk kita simpan kasut. Saya perhatikan, ada Jemaah yang membawa kasut bersama mereka (diletak sebelah mereka ketika solat) pada setiap masa. Malah turut di bawa ketika tawaf.

Ada banyak rak kasut disediakan di dalam kawasan masjid. Sebenarnya anda hanya perlu mengingat nombor rak itu dan landmark kawasan ia diletakkan. Senang saja kan? Jangan risau, insyaAllah tak hilang kasut anda.

Pengalaman saya sendiri, hampir setiap masa saya membawa uncang kasut saya itu sewaktu ke masjid. Manakala suami saya pula ikut suka hatinya..ada kala bawa plastic 20sen itu sahaja, adakala sumbat dalam uncang kasut saya sekali, adakala sambar saja mana-mana plastik yang sempat (sebab uncang kasutnya hilang haha).

Oh ya –sebut tentang kasut/selipar ini teringat saya tentang tapak kasut. Saya cadangkan anda pilih kasut dengan tapak yang rata tanpa ‘lubang’. Tapak kasut memang la rata kan? Maksud saya lubang itu ialah corak pada tapak kasut itu, dikhuatiri boleh memerangkap batu-batu kecil sewaktu berjalan. Ini terjadi pada saya apabila memakai kasut. Setiap kali saya akan memeriksa tapak kasut supaya saya tidak membawa sebarang benda milik Tanah Haram keluar. Sudahnya pada kebanyakan masa saya memakai selipar. Tak mahal takpe yang penting selesa dan mudah untuk anda. Ramai kawan-kawan saya yang telah ke Tanah Suci menggunakan pelbagai jenis kasut seperti kasut sukan, kasut jenama sketchers, crocs dan pelbagai jenama lagi. Saya sendiri selesa dengan kasut Medifeet sebab tidak menyakitkan kaki untuk berjalan jauh. Saya juga ada sepasang kasut spare yang saya pakai di Arafah dan Mina) kerana banyak berjalan.

Apapun, jangan beli kasut baru dan guna pertama kali di Tanah Suci ya. Biasakan guna di Malaysia dahulu..nanti takdelah masalah melecet dan sebagainya. Takpe melabur sedikit untuk keselesaan dan kemudahan di sana. Semua perbelanjaan anda akan berbaloi dan tidak akan rugi insyaAllah. Ustaz ada kata bahawa semua perbelanjaan untuk menunaikan Haji ini Allah akan balas semula dan tidak akan rugi. Jangan risau!!

Tips 17 : Kalau ‘uzur’, bagaimana?



Untuk Jemaah yang lebih kurang seusia saya atau lebih muda, datang haid adalah perkara yang biasa dan normal. Ada pelbagai pendapat – sama ada untuk biar saja kitaran itu berlaku dengan semula jadi atau mengambil pil/suntikan penahan haid. Dalam beberapa pendapat yang saya temui berpandangan bahawa untuk yangberumur 40 tahun dan ke bawah tidak digalakkan untuk mengambil pil atau suntikan penahan haid kerana dikhuatiri akan menyebabkan kitaran itu menjadi tidak stabil di kemudian hari. Ada beberapa ustazah yang saya tanyakan sendiri pun berpandangan bahawa yang lebih kurang sama.

Pelaksanaan ibadah Haji kita mengambil masa lebih daripada 40 hari (dalam keadaan saya jumlahnya 50 hari), berbanding pelaksanaan umrah di luar musim Haji yang mengambil masa lebih kurang 10-13 hari. Untuk pelaksanaan umrah ini, memang wajar untuk mengambil pil atau suntikan menahan haid untuk memastikan Jemaah dapat melaksanakan ibadah dalam tempoh yang ditetapkan. Dalam tempoh yang panjang melebihi 40 hari ini, Jemaah wanita tidak perlu risau tentang niat ihram bersyarat kerana insyaAllah cukup masa untuk melaksanakan semua ibadah. Jadi, biarkan ia terjadi dengan semulajadi dan normal. Bukankah Allah menjadikan kita dengan sebegitu rupa? Pasti ada hikmah disebaliknya….

Kedatangan haid memang meresahkan, kerana kalau boleh kita ingin sentiasa berada di dalam masjid, bersama solat berjemaah dan melakukan ibadat lain dalam keadaan biasa. Saya sendiri ketika didatangi haid ketika di Madinah berasa agak down dan telah whatsaps secara peribadi kepada beberapa ustazah yang saya kenali (ada yang datang bertugas sebagai petugas Haji dan ada yang berada di Malaysia). Kata-kata nasihat mereka membuat saya berfikir dengan lebih positif dan menerima keadaan dengan lebih terbuka.

Jika anda didatangai haid, kita boleh turut sama bergerak dengan rakan sebilik ke masjid. Tapi anda berhenti setakat di luar sahaja. Anda boleh mengambil peluang untuk tolong menolak wheelchair pakcik-makcik yang agak uzur, tolong ambilkan air dalam cawan dan edarkan kepada Jemaah di luar Masjid (Nabawi) yang kepanasan dan banyak lagi. Pengalaman saya dahulu pula, ada sekumpulan wanita yang kebetulan sama-sama tidak boleh bersolat duduk di kawasan mengambil wuduk. Lalu saya berkenalan dengan mereka dan pada setiap waktu kami duduk di tempat yang sama sambil mengambil peluang berkenalan dengan lebih dekat. Rakan itu dari Pakistan dan walaupun ada sedikit kesukaran untuk berinteraksi, namun simple English masih dapat difahami. Ada waktu kami berkongsi makanan dan sama-sama mengedarkannya kepada Jemaah berhampiran (bukan Jemaah Malaysia) yang kelihatan sangat berterima kasih mendapat makanan dan minuman. Dia kini telah menjadi rakan FB saya..

Saya masih ingat, ramai Jemaah negara lain yang tidur di kawasan dataran Masjid Nabawi, mungkin mereka ini tidak mempunyai penginapan. Kerana mereka tidur dengan bagasi mereka yang besar dan mandi di tempat wuduk sekitar masjid. Pemandangan yang sama juga boleh dilihat di luar Masjidil Haram. Lihat lah betapa usaha mereka ini yang datang dari jauh untuk mengerjakan rukun Islam kelima ini. Mereka sanggup bersusah tidur berbumbungkan langit sahaja dan makan dengan mengharap ihsan Jemaah yang lalu lalang. Ada satu kedai di area Safwah Tower yang memang menyediakan makanan simple seperti roti dan air khusus kepada mereka yang tidak berkemampuan dan sesiapa boleh menyumbangkan wang untuk penyediaan makanan itu. Lupa pula saya akan namanya. Tapi ada pelbagai cara untuk menumpang menyumbang pahala pada musim haji ini. Cuma anda kena kreatif sahaja memikirkannya.

Jadi pesan saya – jangan risau mengenai kedatangan haid. Ia adalah normal. Kalau di tanah air, lewat datang haid pun kita risau kan..kan…manalah tahu bertambah ahli keluarga pula kan hahahaha. Pilihan di tangan anda.

Tips 16 : Siapa nak hantar ke Kelana Jaya?



Tahun saya memunaikan Haji merupakan tahun terakhir operasi Tabung Haji di Kelana Jaya dijalankan. Bermula tahun 2018 pula, operasi keberangkatan Jemaah Haji adalah di Movenpick Sepang, yang merupakan hanya 15 minit dari rumah saya. Saya sebelum ini sangat berharap agar kami dapat menjadi Jemaah pertama yang berangkat dari situ. Tapi takdirnya adalah kami menjadi Jemaah yang terakhir mencorak sejarah bertolak dari Kelana Jaya.

Sejak awal lagi pada tahun 2015 apabila saya mendapat tahu giliran menunaikan haji pada tahun 2017, saya membuat keputusan dalam diam bahawa saya tidak mahu sanak saudara dan anak-anak menghantar saya dan suami ke Kelana Jaya. Saya telah menyaksikan kemeriahan disana sewaktu menghantar emak saya menunaikan haji, jadi saya diam-diam berazam mahukan sesuatu yang lain. 

Saya mahukan suasana yang lebih tenang, tanpa rasa sukar melepaskan anak-anak. Saya mahu apabila keluar sahaja dari rumah pada hari keberangkatan nanti, saya sudah mula untuk menumpukan sepenuh jiwa raga pada apa yang saya bakal kerjakan. Malah, saya fikir mungkin ambil teksi sahaja ke Kelana Jaya dari rumah. Rancangan ini semakin saya rasakan ‘betul’ apabila saya membaca travelog Haji karya Muhammad Kamil Ibrahim (Prof). Travelog ini saya download di dalam handphone saya (Playbooks) dan saya baca berulang-ulang. Kemudian, saya juga memiliki buku-buku lain karya beliau. Selain itu, saya juga membaca buku travelog dan juga blog-blog berkaitan pengalaman menunaikan Haji oleh penulis lain. Jadi, saya fikir ini adalah pilihan terbaik buat saya.

Namun, rupanya suami saya berkeras mahukan anak-anaknya menghantar kami ke Kelana Jaya. Saya fikir beliau mahu wajah kesayangannya dilihat hingga saat akhir sebelum kami berangkat. Sedangkan saya pula lebih keras hati dalam soal ini. Ini kerana saya telah lama merancangkannya, dan saya fikir saya betul dalam hal ini haha. Setiap perbincangan mengenai hal ini akan berakhir dengan keputusan veto suami saya. Tapi saya tak putus asa dan berdoa dan berdoa hingga ke saat akhir agar pemergian kami nanti tidak diiringi oleh anak-anak. Saya tak sanggup berasa berat di dada melihat kesayangan saya ditinggalkan huhu….

Akhirnya, Allah makbulkan doa saya bila mana di saat akhir suami memutuskan bahawa kawannya dari kampong yang akan hantar kami ke Kelana Jaya. Mereka bersusah payah datang dari Taiping semata-mata nk mengiringi kami berangkat menunaikan haji. Jadi, pilihan terbaik kami adalah berangkat bersama mereka, dan meninggalkan kesemua kesayangan kami di rumah dengan selamat insyaAllah.

 Masih saya ingat sedihnya pada ketika itu, tambahan pula dengan kes luka di tapak tangan anak saya yang pertama tidak sembuh sepenuhnya/dijangkiti bakteria dan memerlukan rawatan susulan di Hospital Putrajaya. Tapi saya yakin bahawa Allah tidak akan sia-siakan hambaNya yang telah dipilih sebagai tetamuNya. Saya percaya Allah akan menjaga mereka dan memudahkan segala urusan bagi mereka yang ditinggalkan. 

Dengan kepercayaan itu 100%, sebaik sahaja kereta bergerak meninggalkan rumah menuju ke Kelana Jaya, saya berasakan segala keletihan, segala kepenatan, segala kesedihan, keserabutan diangkat sepenuhnya dari dalam diri saya dan berasa tenang-setenangnya. Syukur ya Allah dan saya mula menikmati perasaan istimewa sebagai tetamu Allah dari saat itu (dari sebelum itu lagi sebenarnya). Tidak ada perasaan sedih atau mahu menoleh melihat wajah anak-anak dan keluarga. Yang pasti tumpuan kini bermula sepenuhnya untuk perjalanan ibadah saya.

Di Kelana Jaya, saya tidak perlu risau untuk mencari tempat landing keluarga, untuk bentang tikar, tiak perlu risau akan bekalan makanan untuk keluarga yang mengiringi, tidak perlu sediakan kipas tangan untuk anak yang panas, tidak perlu susah payah fikir tentang keperluan ke tandas dan lain-lain lagi. Kami fokus membawa bagasi kami, menuju tempat pendaftaran, menunaikan solat dan bergerak sebagaimana arahan TH. Kawan saya dari zaman sekolah – Siti Nurbaya Sharir turut datang meraikan keberangkatan saya dan semuanya dipermudahkan untuk kami. Alhamdulillah.

Tips 15 : Mandi dan membersih diri ketika cuaca panas



Mandi dan membersihkan diri itu keperluan kita. Kalau ikut cuaca di Malaysia ini, ada je yang mandi 3,4 kali sehari. Di Tanah Suci pun boleh saja berbuat begitu, sekiranya badan anda adalah jenis yang tahan lasak hihi…tapi keadaan kita adalah bergantung kepada Allah sebenarnya. Yang penting niatkan kita nak sihat agar dapat melaksanakan kerja Haji dengan sempurna. Peluang ni bukan datang banyak kali – malahan mungkin sekali sahaja dalam seumur hidup ini…Oleh yang demikian, semua faktor dari sebesar2 hingga yang paling kecil semua perlu diambil kira dan dipertimbangkan.

Ok..banyak pulak mencecehnya…disini saya berikan panduan untuk mandi ketika berada di maktab/hotel di Madinah dan Mekah. Airnya udah pasti panas dong….Jadi apa yang saya buat dulu ada 2 cara:

1) saya tadah air dalam baldi pada waktu malam untuk mandi waktu pagi, dan tadah air waktu pagi untuk kegunaan mandi pada waktu petang/malam. Ha..macam ni legalah sikit bila mandi air yang agak2 sejuk…

2) Saya sejukkan air beberapa botol di freezer (semua bilik ada peti sejuk ye)..dan bila nak mandi saya rendamkan sekali botol2 ais tu dalam baldi..haa….bijak tak..bijak tak….

Yang penting janganlah berada dalam bilir air terlalu lama, cukup sekadarnya sahaja sebab kita pun nk beri peluang kepada rakan kita yang lain untuk merangka masa yang cukup untuk ke masjid dan aktiviti lain. Tapi kalau ahli bilik nak bershopping tu..biarkan je dia lambat hahaha….

Tips untuk mandi di Arafah/Mina – dah sah-sah bahawa air yang keluar dari paip tu panas kan…jadi apa yang saya buat ialah saya bawa air mineral yang saya sengaja minum separuh dalam 4 atau 5 botol, dan saya campurkan dengan air paip untuk cuci muka, gosok gigi dan mandi…haaa….bijak tak hakakkkk…..hihi. 
Kalau boleh bertahan tak mandi, takpe. Saya mandi jugak walaupun mandi koboi. 
Pesanan penting: Jangan pula berlama-lama di tandas. Kasihan kepada yang menunggu di belakang kita. Kita mudahkan orang, insyaAllah urusan kita pula akan dipermudahkan nanti. Botol tu jangan lupa buang dalam tong sampah ye..bukan tinggalkan dalam tandas tu!!

Tips 14 : Bila bosan dengan makanan



Buat Jemaah yang datang awal seperti saya, lama kelamaan timbul perasaan semacam pada makanan yang dihidangkan..haha…tapi untuk saya sebenarnya, jangan pula jadikan isu makanan yang sama itu satu halangan. Kita boleh sentiasa makan di luar, malahan ada banyak pilihan makanan – nasi arab, kebab, ayam broast, jus buah etc. Yang paling sedap bagi saya dan suami pastilah nasi arab dengan ayam bakar..perghhh…waktu menaip ni pun saya terbayang kesedapannya…biasanya portion yang besar tu, rakan Jemaah kami sukar untuk habiskan berdua dengan pasangan. Tapi bagi kami suami isteri pula – insyaAllah sentiasa habis portion nasi arab itu.

Cubalah – pelbagai jenis makanan dan masakan…oh ya satu lagi kegemaran kami ialah roti puree..hihi…itu menu sarapan kami juga….

Satu tips untuk anda berdasarkan kepada pengalaman saya yang lalu – bawalah bekal asam jawa, belacan dan pisau pemotong yang kecil (saya dan rakan Jemaah gunakan gunting). Untuk apa ya…haha…boleh buat air asam!! Entah macam mana seorang makcik rakan sebilik saya dapat idea, pergi ke kedai Indonesia berhampiran dan beli belacan, tomato, cili, asam jawa dan hasilnya….air asam. Air asam ni boleh menjadikan suapan nasi menjadi lebih laju dan natijahnya berat badan maintain/bertambah berat yeayy!!!

Asam jawa-juga berguna sekiranya Jemaah mula berasa sakit tekak, maka bolehlah minum air asam jawa.

Belacan – kalau ke kedai Indonesia, jangan pula disebut belacan, sebaliknya ia adalah TERASI dalam bahasa Indonesia. Tapi untuk makluman, bukan semua maktab ada kedai Indonesia ya…musim haji 1438H yang lalu saya ditempatkan di Rehab Al Janadriyyah (maktab 87)..kebetulan di situ berhampiran dengan penempatan Indonesia. Jemaah Indonesia adalah antara yang paling ramai  dan kerana itu barangan rantau Asia ini mudah didapati di kedai Indonesia. Antaranya Milo serbuk (mahal sangat ok), Nescafe, tempeyek (pun ada), Indomee etc.

Oh ya..sewaktu mak saya menunaikan Haji, beliau juga membawa garam…so kalau anda seorang yang dah tua dan boleh jadi geram jika makanan tawar, bolehlah bawa garam..sebab orang tua lebih dahulu dan lebih banyak makan garam…ok saya bergurau sahaja!!

Tips 13 : Air panas di mana-mana



Buat anda yang seringkali rasa nk minum air panas waktu sarapan, waktu minum petang (medang kata pakcik musa jiran Jemaah bilik kami), atau bila-bila waktu lah..jangan risau. Air panas sentiasa disediakan di kafe. Mungkin juga ada baiknya ada membawa termos kecil untuk isi air panas.
malah sewaktu berada di Arafah dan Mina juga air panas mudah didapati. 

Di Mina, air panasnya keluar dari paip. Kalau anda boleh bayangkan macam paip untuk berwuduk di surau…lebih kurang begitulah disediakan…Sebab terkejut dengan airnya yang panas, tak kurang ramai yang terlepas cawan (saya juga haha). Jadi jangan bawa koleh besi ye..nanti tak keruan nk pegang koleh sebab panas sangat…(sampai di Mina nanti anda akan dapat satu pek makanan sudu dan cawan plastik, dont worry!)

Ok..tips air panas ini pendek sahaja.Semoga bermanfaat!!

Tips 12 : Barang keperluan lain – barang domestik



Hai, banyaknya pula barangan yang dicatatkan disini…Nak pindah terus ke hihi..taklah…kita bawa barangan untuk kemudahan kita sahaja…mana yang boleh dibeli di sana, kita beli lah…mana yang boleh di bawa kita bawalah dari sini…Macam baldi, takkan nak bawa dari sini kan..pelik pula nak naik flight tapi ko bawa baldi kan…jadi yang itu kita beli lah di sana. Tak nak beli pun tak jadi masalah..

Jadi, saya catatkan disini lain-lain barangan yang saya bawa sewaktu mengerjakan Haji :

a)       Tali untuk membuat ampaian baju – Tali ini saya beli di Giant sahaja…Jika semua rakan bilik anda membawa tali ini, ada kemungkinan tidak akan digunakan langsung sebab anda boleh tumpeng menggunakan tali yang sedia ada. Tali ini kita gunakan untuk membuat ampaians ementara di bumbung ataupun di tangga maktab. Menyidai baju di tangga ini cepat juga kering tapi ada cabarannya iaitu mungkin terkena air dari baju yang disidai dari tingkat atas. Anda mungkin seorang yang berfikiran jauh dan memikirkan orang lain, tapi pernah tak dengar peribahasa rambut sama hitam hati lain-lain? Haa….ketahuilah ada pelbagai watak dan perangai orang yang anda akan jumpa nanti. Jadi, kata kunci di sini adalah S.A.B.A.R. Satu lagi pengalaman saya ialah baju berbau rokok kerana ada makhluk yang merokok di tangga dan membiarkan pula puntung rokok dipijak di tangga tempat mereka melepak. Meskipun telah dipesan supaya jangan merokok, ada juga yang tak hilang tabiat itu. Kata kunci disini ialah – S.A.B.A.R.

b)      Penyangkut baju – Mungkin bawalah dalam 5 ke..atau secukupnyalah bagi anda. Perlu diingat almari dalam bilik hanya ada 1 dan perlu dikongsi dengan rakan sebilik seramai 6-10 orang. Saya pula mengambil langkah melipat semua baju dan biarkan dalam beg. Tips: kalau anda beli baju/jubah di kedai, anda boleh minta penyangkut baju besi itu kerana saya dapati mereka akan buang hanger itu. Saya pernah bertanyakan kepada penjual dan mereka memang akan memberikan hanger itu jika anda minta. Tapi last time saya tidak minta hanger berkenaan kerana berasa tiada keperluan. Cubalah!!

c)       S Hook – Saya bawa S Hook saiz besar. Kegunaan S Hook ini adalah untuk gantungkan baju atau penyangkut baju kita dengan kemas di bilik. Satu lagi kegunaan (yang saya ajar kepada kakak bilik saya juga) adalah untuk menggunakan S hook ini ketika ke tandas di Arafah dan Mina. Untuk makluman, tandas disana adalah kecil saiznya dan tiada tempat untuk menyangkut barang. Anda boleh sangkut tuala di pintu tandas, tapi bagaimana dengan berus gigi, ubat gigi, baju untuk diganti dan lain-lain barang? Jadi, pengalaman saya yang lalu, saya masukkan semuanya dalam beg plastic yang agak besar, gantung dengan S hook di pintu tandas. Barang anda akan selamat – tidak basah dan tidak bersepah.

d)      Penyepit baju – Ini bawa dengan kadar secukupnya sahajalah…kita bukan nk basuh baju macam di rumah kita kan….beli di sana pun boleh..

e)      Sedikit sabun basuh – yang ini saya sarankan untuk bawa dari sini. Di Tanah Suci pun ada dijual…semua barang ada di jual di sana…u just name it haha….tapi mahal sedikit tak tak silap ingatan saya. Saya memang membawa seplastik sabun basuh serbuk…kalau rasa banyak takpe…boleh kongsi dengan rakan sebilik…kita nak dapat pahala lebih kan….

f)        Plastik hitam sampah – tips ini diberikan oleh Tuan Hizwani Hasan yang sudi datang dari pejabatnya memberikan beberapa pesanan kepada saya sebelum berangkat. Antara pesanan beliau adalah plastik hitam besar ini boleh digunting dan dijadikan alas untuk kita bersolat ketika bermusafir, di airport, ditepi jalan atau dimana-mana sahajalah….Tapi kita juga ada tikar masyair yang diberikan oleh pihak TH. Terpulang kepada anda. Bagi diri saya sendiri, saya telah menyimpan plastic sampah hitam yang bersaiz besar ini dalam beg sandang yang sentiasa saya bawa dan akhirnya saya temui kegunaannya ketika bermalam di Mina setelah melontar kali pertama di Jamrah Kubra/Aqabah, sebelum bergerak ke Mekah untuk melaksanakan tawaf Ifadah dan Saie Haji. Saya dan rakan sebilik beserta pasangan mencari tempat yang sesuai sementara menanti melepasi waktu yang disyaratkan bermalam di Mina dan menghamparkan plastik yang saya dan rakan-rakan bawa di tepi jalan. Seringkali ada peronda datang ‘menghalau’ Jemaah yang memenuhi jalan sementara menantikan waktu untuk ke Mekah. Berguna betul pesanan Tuan Haji Hizwani itu…

g)       Payung Kecil – Payung kecil saya bawa juga walaupun saya rasa banyak betul barang kecil-kecil yang saya bawa. Yelah – nampak sangat otak perempuan ini diset untuk perkara remeh temeh. Contohnya payung kecil ini…saya menggunakan payung lipat/kecil ini ketika berwukuf. Saya dan suami mencari tempat yang sesuai supaya kami boleh duduk bersama ( kami dapat tempat di bawah pokok yang agak jauh daripada khemah kami ditempatkan) dan saya berpayung juga di bawh pokok…percayalah..akan ada kegunaan payung ini. Pada ketika musim Haji tahun 2017 juga ada beberapa kali kejadian bumi Tanah Haram disimbahi hujan lebat…Jadi kalau rasa rajin nak bawa, bolehlah bawa payung lipat/kecil ye..

h)      Tisu basah – tisu basah ini optional. Saya pilih yang tiada bau kalau-kalau saya terguna ia ketika dalam ihram.

i)        Tisu biasa – tisu biasa ini pun optional. Tapi sy bersyukur saya membawanya kerana boleh digunakan untuk mengelap hidung, lap tangan dan lain-lain lah…susah pula nak ingat satu persatu kegunaannya. Tapi adanya tisu biasa ini (saya beli tisu Giant sahaja) menyelamatkan saya ketika makan di Safwah Tower dan Jabal Omar. Ramai kanak-kanak akan meletakkan tisu di meja anda dan memaksa anda membayar 1 riyal untuk tisu itu. Kadang-kadang yang lebih ekstrim, mereka ambil tangan anda dan meletakkan tisu itu di tapak tangan anda dan minta duit. So, saya tunjukkan saya dah ada tisu dan saya tak mau hihi…ada sekali dua saya beli juga tisu dari mereka sebab tak mau susah payah cakap Bahasa ayam itik.

j)        Toileteries -  yang ini biasalah ikut keperluan anda. Macam diri saya sendiri keperluan toliletries saya sangat minimum dan mudah kerana saya tidak menggunakan sebarang pencuci muka dan kosmetik tertentu. Bukan sahaja sewaktu mengerjakan Haji, malah sewaktu saya perlu outstation juga keperluan toiletries dan kosmetik saya mudah dan sangat minimum. Elok juga kalau disediakan sabun/losyen/pencuci khusus untuk ihram kerana tidak berbau.

k)       Panty liner dan Pad – buat wanita yang agak muda (40 ke bawah) saya sarankan untuk membawa panty liner dan pad dengan kadar yang lebih dari cukup (bukan cukup2 ya). Kerana di sana memang ada dijual tetapi ia agak mahal. Sebagai catatan, saya telah membawa lebih 200 pcs pantyliner dan 2 pek besar pad. Ia memang memakan ruang dalam beg saya tapi pandai-pandailah saya hihi…ketika berada di Tanah Suci, waktu penghujung sebelum keberangkatan pulang ke tanah air, dalam grup wasap Jemaah TH ada yang meminta/menawarkan pad/pantyliner/baldi etc untuk diberikan kepada Jemaah yang masih tinggal untuk tempoh yang lama…(saya datang awal jadi saya balik awal le….). Biar lebih jangan tak cukup..haa…kalau tak guna, berikan lah kepada yang memerlukan kan…pahala tu!!

l)        Gunting kecil – yang ini memang kena ada bersama anda. Sediakan lah beg/pouch kecil untuk letak gunting kecil ini. Ia boleh digunakan ketika tahallul (tak payah pinjam orang lain punya) dan boleh gunting beg plastic hitam besar yang saya catat di atas tu…hihi. Untuk makluman, ada juga khidmat untuk membantu tahallul (tak pasti warga mana..nampak macam Arab le)– tapi ada ongkosnya pak…bukan tolong saja ye…

m)    Kipas tangan – kipas tangan disini bukan kipas dari kertas bercorak macam hiasan dinding atau macam Datin yang bergaya selalu bawa tu ya. Kalau nak bawa yang itu boleh jugalah, bukan ada sebarang do’s and don’ts pun…Tapi saya cadangkan untuk bawa kipas tangan plastik (saya dapat ketika hadir ke pameran tertentu..kipas di diberikan percuma di booth) yang ini confirm tak koyak dan melegakan. Anda akan dapati banyak tempat anda akan memerlukan kipas tangan ini.

Banyak kan? Tapi insyaAllah semua berguna..pernah tak dengar orang kata bawa beg besar macam nak pegi Haji? Haa..ini memang nk pergi Haji pun!!

Semoga bermanfaat!!

Tips 11 : Barang keperluan lain – Ubat



Bekalan ubatan juga adalah satu perkara yang penting untuk turut dibawa. Bukan apa, ianya untuk kemudahan kita sendiri juga. Seeloknya bekalan yang dibawa adalah berbentuk pil, bukan cecair ya, untuk mengelak kemungkinan tertumpah ke, pecah dan sebagainya. Walau bagaimanapun, di maktab tempat Jemaah ditempatkan juga ada Klinik disediakan (juga tempat pengeluaran wang oleh kakitangan TH ok!!). Klinik ini boleh menampung rawatan bagi sakit yang biasa seperti demam, selsema, batuk dan di tempat saya dahulu juga ada menyediakan khidmat neb bagi yang mengalami asma. 

Bagi sakit yang biasa, eloklah kita sediakan sendiri ubat yang simple itu, tambahan pula jika sekiranya anda berkemampuan untuk menyediakannya. Anggaplah kemudahan dan ubatan di klinik itu untuk rakan kita yang kurang mampu daripada kita. Malah, jika ada rezeki lebih, bawalah lebih bekalan ubat untuk dikongsi dengan rakan sebilik atau jiran bilik kita juga. Bukankah misi kita untuk mengumpul sebanyak mungkin pahala (aktiviti mengumpul pahala ini bukan sewaktu di Tanah Suci sahaja ok!!).

Jadi, sebagai panduan, antara ubatan yang boleh disediakan ialah:

a)       Paracetamol – untuk persediaan jika demam dan sakit biasa;

b)      Ubat batuk (pil) – untuk batuklah hihi..

c)       Ubat sakit tekak – seperti strepsil, Diflam atau gula-gula Hacks. Boleh sediakan dan potong kepingan strepsil (kalau beli dalam bentuk papan) banyak2 dan bawa dalam beg/saku, jadi anda boleh hulur di mana sahaja kepada sesiapa di sekitar anda yang terbatuk atau berdehem2 tanda sakit tekak. Kan dah pahala tu, betul tak…pahala di mana sahaja.

d)      Antibiotik – jika ada. Sila maklum bahawa antibiotic tidak boleh dibeli over the counter ya..

e)      Ubat Selsema sebarang jenama – elok jika ada bekalan ubat selsema yang boleh membuatkan mengantuk (agar badan anda mempunyai ruang untuk berehat) dan yang tidak mengantuk juga.

f)        Ubat cirit birit – yangini pun elok spare sebab mungkin ada perut yangtak tahan denganperubahan corak pemakanan..spare jee…

g)       Charcoal – sama macam tujuan ubat cirit

h)      Minyak angin/panas – persediaan untuk sapu2 kaki yang lenguh ke, perut kembung ke etc. Sila maklum untuk sebolehnya elakkan menggunakan bahan yang mempunyai bau ketika dalam ihram. Namun, ianya sebenarnya ia dibolehkan bagi tujuan mengubat. Cuma bagi diri saya, saya mengelakkan menggunakan bahan yang ada bau ketika dalam ihram.

i)        Vitamin C – paling mudah adalah jenis yang larut ketika direndam dalam air. Nota : elok jika anda mula makan vitamin sebulan sebelum berangkat mengerjakan Haji agar mempunyai ketahanan badan dengan perubahan cuaca. Namun, kita hanya merancang dan semuanya adalah ketentuan dan kuasa Allah jua.

j)        Minyak cap kapak/lain-lain cap – yang ini biasalah, kalau tak nak pun tiada masalah.

k)       Asam jawa – yang ini terkeluar dari kategori ubat. Elok disediakan dan minum air asam jawa bila anda mula merasa sakit tekak.

Seperkara lagi, sekiranya anda sememangnya sentiasa makan ubat seperti darah tinggi, kencing manis dan jantung, jangan pula lupa untuk bawa ubat-ubat berkenaan ke tanah Suci ya? Biasanya doktor akan memberi nasihat yang sewajarnya dan memebrikan bekalan ubatan yang bersesuaian dengan tempoh masa berada di sana.

Kita tak minta untuk sakit kan, tapi kita bersedia sahaja. Sekiranya, anda tidak jatuh sakit Alhamdulillah. Sentiasalah berdoa agar dikurnia kesihatan yang berpanjangan sepanjang waktu berada di sana, terutamanya ketika menyerjakan Haji. Kerana itulah matlamat kita berkelana jauh – semata-mata untuk beribadat dan menunaikan rukun Islam kelima.

Nota lagi : Lebih kurang setahun sebelum pemergian ke tanah Suci saya berdoa dan sentiasa berdoa semoga saya dikurnia kesihatan sehinggalah selesai kerja-kerja Haji. Melaksanakan rukun dan wajib Haji dengan sempurna adalah impian setiap tetamu Allah kan? Saya sihat sepanjang lebih kurang sebulan sebelum wukuf. Sikit-sikit sakit tekak tu adalah juga tapi cepat-cepat makan ubat dan vitamin. Sebaik sahaja pulang ke Mekah (dari Mina), saya mula kena cirit birit, demam, sakit kepala dan sebagainya hihi. Saya fikir sebab doa saya itu mungkin…Jadi, jadikan lah pengalaman saya itu sebagai iktibar dan panduan – berdoalah semoga anda sihat sepanjang waktu berada di sana dan hingga pulang ke Tanah air. (saya juga mula batuk selepas pulang ke Malaysia)

Tips 10 : Kain dalam atau seluar panjang di dalam?



Nota saya ini khusus untuk Jemaah wanita sahaja ya….jika anda memakai jubah – apakah pilihan terbaik anda? Sama ada memakai jubah atauun memakai seluar dalam yang panjang?

Sebenarnya tiada yang mana lebih baik, ia bergantung kepada keselesaan anda dan keadaan di mana anda berada. Bagi tujuan mengerjakan Haji dan umrah ini, disini saya menyertakan sedikit panduan kepada anda, kemudian anda timbangkanlah mengikut keperluan anda sendiri.

 Pertamanya – anda perlu mengambilkira keadaan diri anda. Adakah anda seorang yang mudah dan kerap membuang air (besar dan kecil)? Asal minum je nk membuang, asal salah makan je perut pun meragam dan kelam kabut nk ke tandas….jika begini keadaan anda, pastikan anda memakai pantyliner dan KAIN DALAM. 

Sebab apa? Sama ada di dalam tandas di daratan ataupun di tandas di udara (dalam kapal terbang), urusan anda akan mudah sebab tak perlu nk turunkan seluar panjang ke bawah (maaf saya cakap terus terang saja di sini). Tambahan pula jika anda atau waris terdekat anda itu seorang yang sudah berusia, ditambah lagi pula dengan keadaan serba tak biasa dalam tandas kapal terbang, maka eloklah jika memakai kain dalam. Senang kan..faham ke tak ni haha…

Kedua -  Memakai kain dalam memudahkan anda sewaktu berada di Arafah dan Mina. Kenapa saya cakap begini – sebab anda sudah jimat satu perkara tidak perlu membawa kain basahan untuk mandi. (bukan ustazah pesan tak boleh mandi ke?) Sebenarnya ikut masa dan keadaan. Pengalaman saya yang dahulu, saya sempat mandi 2 kali sehari, Alhamdulillah. Tapi bukanlah mandi manda siap syampu dan membasuh baju bagai seperti bercanda di rumah. Cukup basahkan badan dan melegakan – Alhamdulillah. 

Perlu diingat, air paipnya adalah panas (ketika saya pergi ialah musim panas). Tips nk mandi dengan air panas ni adalah di bahagian lain ya. Berbalik kepada kemudahan mandi di Arafah dan Mina – anda boleh menggunakan kain dalam sebagai kain basahan. Senang kan? Selepas itu sidaikan saja di luar, insyaAllah sekejap saja akan kering. Senang dan jimat barang yang nk dibawa dalam beg sandang/beg tarik.

Semoga bermanfaat!!

Tips 9 : Bekal makanan untuk dibawa


Kalau dah namanya Melayu, mesti nak makan nasi jugak tak gitu? Kalau yang boleh tahan tak makan nasi tu, memang boleh adapt dan berasimilasi dengan budaya luar. Yang ini memang Tahniah!!
Kalau ke mana-mana tempat diluar negara, makanan halal kini semakin senang didapati sebab kesedaran tentang isu halal ini semakin mendalam dan pasaran makanan halal semakin meluas. Kalau rasa susah, bawalah bekal sendiri kan?

Sama juga ketika di Tanah Suci.  Makanan halal bukan lagi satu isu, tapi yang akan menjadi isu adalah perkara kena atau tidak dengan selera tekak anda. Allah memakmurkan bumi Makkah dan Madinah yang kering itu dengan pelbagai makanan dan buah-buahan. Pelbagai makanan dari pelbagai negara mudah didapati. Malahan, ada beberapa kedai makan Indonesia saya jumpa iklannya dan ada khidmat penghantaran ke bilik pula.

Ketika berada di Madinah, ada orang Melayu yang menetap di Madinah dan juga pelajar di sana yang menjual sarapan pagi yang siap dipek seperti nasi lemak, mee goreng, bihun, kuih dan lain-lain. Sempat juga ketika itu suami saya jadi tukang ambil order untuk sarapan di aras hotel kami..Jadi tak berasa berada jauh dari negara sendiri. Untuk pengetahuan, Jemaah muassasah Tabung Haji Malaysia disediakan makan 2 kali sehari iaitu makan tengahari dan juga makan malam. Selain waktu itu, anda bolehlah mengambil kesempatan untuk meneroka kawasan sekitar dan mencuba makanan selain daripada yang biasa tekak anda makan hihi…

Ketika saya berada di Mekah pula, isu sarapan pagi juga bukan satu masalah…hanya kadang-kadang tak reti nak makan apa sebab terlalu banyak pilihan. Syukur kan…di maktab saya ditempatkan (maktab 87 Rehab Al Janadriyyah) kantin disitu menyediakan pelbagai pilihan seperti nasi goreng, bihun, roti telur, cucur tepung, roti canai, capati tapi dengan keadaan dimasak oleh pekerja importlah hihi…

Di luar maktab pula ada jualan oleh orang Pattani yang lebih meluas pilihannya, kalah berada di tanah air. Saya masih ingat – ada nasi lemak, nasi dagang, nasi kerabu, laksam, pulut ikan masin, pelbagai kuih muih. Meriah betul. Ada kala tu, kami beli ikan masin siap digoreng untuk dimakan bersama rakan Jemaah waktu tengahari dan malam. Jadi bab makan, insyaAllah takde masalah.
Megi!! Ini adalah makanan biasa buat perantau Malaysia. Di Mekah jangan cuba-cuba nak cari Maggi ok. Anda boleh menjumpai biskut Munchy dan Lexus di Bin Dawood, tapi jangan sekali-kali cari Maggi sebab TAKDE!! Yang paling banyak di jual adalah Indo Mee. Yelah..kan Jemaah Indonesia paling ramai menunaikan Haji..kalau tak silap pada tahun 2017, lebih 200 ribu Jemaah Indonesia menunaikan Haji. Malah,ketika di Arafah/Mina, IndoMee diberikan percuma kepada Jemaah kita. Jadi, bolehlah biasakan diri dari sini awal2 ya hihi

Tapi saya suka nk mencadangkan agar anda membawa sedikit bekalan lauk yang dipek kecil-kecil untuk bekalan di Arafah dan Mina. Yang sedikit ini bila dikongsi dengan rakan insyaAllah akan semakin sedap sebab berkat. Anda boleh arrange sendiri sama ada nk makan bersama pasangan ataupun makan dengan rakan-rakan. Cuma pada pandangan saya, elok juga bersama rakan-rakan, kerana inilah waktu untuk kita saling kenal mengenali. Itu kan antara kelebihan dalam mengerjakan Haji?

Satu lagi untuk makluman, penyediaan makanan di Mina adalah oleh pengurusan muasasah Arab, bukan oleh muasasah negara ya. Seingat saya menu yang dihidang kepada kami ketika itu memang selera Malaysia, tetapi rasa bukan rasa Malaysia hahaha….Elok juga jika bawa lauk sampingan seperti serunding, sambal kering, sambal hitam dan lain-lain dan dipek kecil2 dan pastikan tidak berminyak dan boleh mengotorkan pakaian dalam beg ya?

Ketika saya mengerjakan Haji, saya membeli banyak pek sambal ikan bilis dan saya pek semula kecil-kecil – kemudian saya asingkan dalam bungkusan lain dan saya tandakan Arafah/Mina. Yang tidak ditandakan adalah untuk bekalan sepanjang di Madinah dan Mekah. Selain itu, kawan saya turut memberikan saya makanan kering yang siap dipek iaitu serunding daging dan juga serunding ikan. TQ kawan ku Siti Nurbaya Sharir!!

opss – lupa lagi satu perkara…kicap..kicappppp dan juga sos cili. Saya benar-benar terlupa nk bawa sewaktu keberangkatan saya, tapi saya kirimkan dengan sahabat sepejabat saya Hajah Rismahaslily yang datang lewat sedikit dari saya. Sempat dia membelikan saya kicap dan sos cap ABC. Botol kecilnya adalah dari plastik dan insyaAllah tidak pecah. Jadi, dapatlah saya berkongsi dengan rakan sebilik saya…TQ Lily!!

Nanti dari semasa ke semasa, bila saya dah pandai upload gambar, saya akan upload gambar yang saya simpan untuk rujukan. InsyaAllah

Pstt – saya dah tahu cara upload gambar – poyo betul haha

Tips 8 : Nak bawa banyak baju ke


Saya rasa ini antara masalah besar bagi Jemaah wanita. Kalau tak kepada anda pun– ia masalah besar bagi saya dulu haha…berbulan2 saya membaca blog, travelog dan cuba membuat kesimpulan tentang pakaian yang perlu dibawa dengan kadar yang paling bersesuaian. Di akhirnya, saya dapati rupanya – ia bergantung individu. Semua yang dicatat dalam blog (termasuk yang bakal saya catat) adalah sekadar panduan sahaja. Bukan semestinya sesuai 100% untuk semua orang. Jadi panduan disini adalah berkaitan pakaian  dan lain2 yang saya ingat ya…

1)      Jubah – 4 helai. Rasanya tiada masalah kain licin ke atau kain cotton. Keduanya saya bawa dulu dan keduanya mmg selesa. Ia cepat kering bila dibasuh (sebenarnya basuh apa pun cepat kering!! Haha). CUMA …jika anda seorang yang sangat particular dengan baju yang berkedut – sila bawa sendiri iron yang sesuai utk travel itu atau pilih baju/jubah dari jenis kain yang tak nampak berkedut.
Saya telah memilih untuk mencuba jubah cotton yang dibeli di Alamanda dan ia sangat selesa dan paling penting tak perlu digosok. Panjang pula explainationnya….

2)      Tshirt – 2 atau 3 helai untuk dipakai waktu tidur an waktu di dalam bilik. Jangan pula keluar berjalan di koridor maktab dengan baju tshirt lengan pendek ya!

3)      Telekung – 3 atau 4 helai. Pengalaman saya yang lalu membawa 2 pasang dengan kain dan 2 helai tanpa kain. Tapi kesudahannya saya kerap memakai 3 helai sahaja tanpa kain, sebab lebih mudah terus jubah dengan setokin. Jika dibasuh tangan pun, jangan risau. Pengalaman saya sidai di tangga – sidai pagi lepas dhuha, selepas zohor dah kering. Kalau sidai di rooftop tu, kalau 2 jam baju tu boleh jadi sekeping dan keras dek kerana panasnya cuaca.

4)      Mini telekung/ tudung labuh – minima 3 helai..saya berpandangan mudah dengan mini telekung kerana anda sudah solat ready..tak payah susah2 nak tukar pakai telekung bila nk solat. Secara tak langsung, kaedah ini mendidik jiwa dan diri dengan kaedah berpakaian. Lagipun, masjid di Mekah/Madinah tak menyediakan telekung ya. Jadi jika bermusafir, jangan pula dicari telekung di masjid sana ok!!

5)      Jubah seluar – ini optional. Jika selesa memakai jubah seluar, boleh kurangkan bilangan jubah panjang yang di bawa.

6)      Pakaian dalam – yang ini bawa sekadar yang cukup untuk lebih kurang 5 hari (mana lah tahu jika ada kecemasan yang tak sempat untuk membasuh).

7)      Niqab – elok juga jika anda mempunyai spare niqab, bukan sebab nk tunjuk alim atau nk ikut sama macam Arab, tapi untuk tujuan melindungi daripada habuk. Saya dapati pemakaian niqab sangat membantu melindungi wajah dan hidung, kerana angin yang kuat diikuti bersama habuk/debu. Tapi anda boleh dapati niwab dengan pelbagai stail di Mekah dan Madinah. Saya cadangkan anda membeli di sana sahaja.

8)      Tuala – kena bawa tuala sendiri. Jangan pula ingat hotel ada sediakan ya….

9)      Tuala muka – 3 helai. Kenapa kena ada tuala muka – sebab untuk lapik lantai sewaktu anda berwuduk dengan spray. Nanti lantai basah, dan kita boleh menyebabkan orang lain mungkin tergelincir pula…Dan nanti akan ada kegunaan lain dengan tuala kecil itu (saya gunakan untuk lapik bantal kecil kerana bantal yang saya dapat tersangat padat, besar dan keras)

10)   Stokin – bawa stoking yang tidak jarang ya.

11)   Kasut tawaf – optional. Tapi saya memang menggunakannya sebab bintik-bintik kecil di tapaknya membantu sewaktu bertawaf kerana tidak licin.

Nota : Saya fikir elok sekiranya pakaian yang dibawa itu tidak berwarna terang seperti oren, merah, hijau pucuk pisang etc. Dan elok juga jika bunga2 yang tidak begitu obvious. Tapi takde pun dalam peraturan…kalau nk bawa juga ikut sukalah..senang nk kenal dari jauh, tak gitu?

Saya akan update dari semasa ke semasa sekiranya ada perkara yang saya teringat di kemudian hari. semoga membantu!!

Tips 7: Nak buat Haji apa..


Sewaktu belajar dan menghadiri kelas-kelas Haji, secara asasnya memang boleh difahami bahawa ada 3 jenis haji iaitu Haji Tammattuk, Ifrad dan Qiran. Secara teori boleh faham… tapi rupanya bila mengalami sendiri, baru lah saya ooo…macam ni…ooo..macam tu….

Sebab daya kefahaman orang adalah tidak sama. Ada makcik yang saya temui beritahu 7 tahun dia menghadiri kursus haji tapi tetap tidak faham dengan kaedah pelaksanaan rukun dan wajib haji. Tap saya percaya, Allah permudahkan makcik tu bila dia mengerjakan haji sebab dia bersungguh-sungguh tanpa jemu tahun ke tahun menghadiri kursus dan kelas berkaitan haji.

Ada pula yang terima panggilan Haji di saat Akhir tanpa disangka dan tak sempat langsung pun menghadiri sebarang pengajian berkaitan Haji, jauh sekali mempunyai masa untuk membaca sendiri buku yangberkaitan dengan teori dan pelaksanaan haji. macam itulah – jemputan Allah tu datang dengan pelbagai cara.

Analoginya macam jemputan kendurilah – ada yang dijemput awal, jadi bolehlah buat perancangan nk beli hadiah dan nk ambil cuti ke, ada yang dijemput secara whatsapp, ada yang diposkan kad jemputannya, ada yang dipanggil mulut, ada pula yang diwakilkan untuk menjemput..ada yang esok nak kenduri baru dijemput….

Apabila saya menerima surat tawaran menunaikan Haji – saya tidak tahu sama ada mahu memilih ke Mekah dahulu atau Madinah dahulu. Kalau ikut pengalaman emak saya yang mengerjakan Haji pada tahun 2016, beliau bertegas bahawa saya wajar memilih penerbangan Akhir sepertinya. Tentulah beliau akan menyokong dengan hujah-hujah yang pro dan kons…sebelum itu sudah banyak saya cari pengalaman orang-orang yang terdahulu menunaikan haji sama ada pergi awal, pergi waktu pertengahan atau di Akhir sebelum wukuf. Sebenarnya kesemua pun ada kelebihannya. Saya percaya Allah takkan sia-siakan mereka yang pergi awal atau Akhir. Kalau  pergi dengan penerbangan Akhir itu terbaik, adakah bermaksud mereka yang pergi lebih awal itu tidak mabrur hajinya? Jenuhla flight kalau semua orang pergi pada hari-hari Akhir kan?

Sebelum saya menghantar surat jawapan itu, saya menelefon ayah kepada kawan sepejabat yang kebetulan merupakan pengurus TH Banting (yang mana surat tawaran saya dikeluarkan!!) iaitu En. Abdul Razak (apabila bersembang di pejabat saya dan rakan membahasakan pakcik Razak). Setelah berbincang panjang lebar dengan beliau, beliau menasihatkan saya untuk menanda dalam surat jawapan itu -  pergi ke Madinah terlebih dahulu – maksudnya menunaikan haji tammattuk atau dengan erti kata lain – bersenang-senang. Sesuai dengan diri saya yang tidak pernah ke tanah Suci  dan tidak pernah menunaikan umrah. Segalanya adalah pengalaman pertama bagi saya. Suami pula sudah 2 kali mengerjakan umrah bersama emaknya. 

Pilihan saya itu beberapa kali dipadam dengan liquid paper, dan ditanda semula haha..Sudah tentu pilihan saya itu ditentang oleh emak saya. Antara sebabnya ialah pergi awal ini akan terdedah kepada cuaca yang panas dan mudah sakit. Sedangkan kita ingin menyediakan diri dalam keadaan terbaik sewaktu di Arafah dan Mina. Tapi jauh di sudut hati saya berasakan bahawa ketentuan sakit atau sihat ini adalah ketentuan Allah. Sejak itu saya berdoa semoga saya sihat ketika berada di sana hingga habis pelaksanaan kerja haji (Nota : saya cadangkan  berdoa agar sihat sepanjang berada di tanah suci hingga kembali ke Tanah air).

Akhirnya dengan kuasa Allah, sebelum Hari raya AidildFitri tahun 2017 itu, saya dan suami telah mendapat tahu akan jadual penerbangan kami iaitu pada Rabu, 26 Julai 2017 bersamaan penerbangan hari ketiga. Rakan sepejabat saya Puan Farhah pula mendapat giliran pada hari pertama penerbangan Haji!! lain-lain rakan sepejabat ketika itu seperti Kak Ita, Sabariah, Dato’ Ihsan juga mendapat giliran flight awal antara hari kedua hingga keempat penerbangan. Maknanya kesemua kami akan ke Madinah dan mengerjakan Haji Tamattuk. Namun begitu, untuk makluman, ada Jemaah dalam maktab kami mengerjakan haji Ifrad dan pasangan itu berada dalam keadaan ihram selama sebulan sehingga ke Arafah dan Mina. saya sempat menemuramah wanita berkenaan, mereka memilih haji Ifrad kerana antara lain – lebih banyak cabaran, mudah2an lebih banyak pahala diperoleh. Dan mereka positif mengenainya terutaman dalam menjaga larangan dalam ihram. Apapun, pilihan di tangan anda.

Bagi anda yang pergi dengan penerbangan awal ini, antara kelebihannya adalah masih belum ramai Jemaah membanjiri Madinah dan Mekah. Jadi kita dapat membiasakan diri dengan keadaan, masa dan dapat menyusun atur pergerakan dengan selesa. Sama juga keadaan bagi Jemaah yang datang dengan penerbangan Akhir, mereka pula dapat menikmati keadaan Jemaah yang semakin berkurangan apabila semakin ramai yang berangkat pulang. Jadi semakin mudah untuk beribadat tetapi mungkin sedikit stress bilamana ramai yang pulang dan maktab semakin kosong. Oh ya – penjual pun mungkin ramai yang sudah nk tutup kedai hihi..

Apapun takdir anda sama ada pergi awal atau lambat ke Tabah Suci, percayalah bahawa insyaAllah itu merupakan pilihan terbaik untuk anda. Allah lebih tahu, dan letakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah.


Tips 6 : Telekung (bagi Jemaah wanita)


Pada kebanyakan masa Jemaah wanita akan memakai telekung. Mungkin juga ada yang memakai tudung yang labuh. Sekarang ada banyak di pasaran..tak reti saya akan nama2 jenama tudung dan telekung sekarang (saya hanya tahu siti khadijah sahaja haha…maaflah itupun sebab promosi meluas)..bagi sesiapa yang selalu menjengah belian online, mereka akan lebih tahu.

Namun, dalam keghairahan kita memilih telekung yang cantik, saya ingin menasihatkan agar Jemaah wanita memakai telekung daripada kain kapas/cotton. Ia sesuai dengan cuaca di sana. Tapi sekarang ini popular juga dengan telekung daripada kain seperti jersey. Dari awal ia diperkenalkan saya tidak berkenan dengannya (maaf ini hanya pandangan peribadi). Kerana pertama kali saya lihat ia dipakaikan di patung perempuan, dan sifat kain itu membuatkan apa yang sepatutnya diselindungkan nampak dengan jelas menonjol. Sifat kain ini berat dan jatuh. Betul kain jenis ini tidak panas tapi ianya saya fikir boleh memperlihatkan bentuk tubuh.

Pada pemerhatian saya juga, sekiranya wanita yang bertubuh gempal, telekung seperti ini bukan sahaja boleh menampakkan bentuk bra (ketika duduk), malah turut boleh membuatkan saya mengira bilangan ‘michelin’/lipatan lemak tubuh. Maaflah, saya kira ini bahasa paling beralas yang saya boleh fikirkan. Tapi telekung kain ini tidak pernah ada pandangan daripada para ustaz/ustazah..ia hanya daripada pemerhatian saya sejak 2013…

Pernah sewaktu berjemaah di maktab, saya bertemu dengan Jemaah yang memakai telekung jenis kain jersey ini dan berwarna putih krim. Saya fikir, mungkin takpalah sebab kita berjemaah dalam maktab. Tak ramai pun yang nk tengok pun apa yang tak sepatutnya itu. Tapi kalau ditakdirkan  dia datang berdekatan saya, mungkin saya wajar menegurnya. Tapi nak dijadikan cerita, betapa lintasan hati pun didengariNya, Jemaah itu boleh pula datang dan bersolat di sebelah saya. Tapi pada kala itu, saya tidak menegurnya kerana khuatir dia tidak dapat menerimanya.

Tetapi hari berikutnya, orang yang sama datang, dan dalam banyak2 tempat dia datang bersolat di sebelah saya. Adusss…saya fikir saya kena juga kuatkan hati dan tebalkan muka untuk bercakap tentang perkara itu kepadanya. Setelah berbasa basi, saya memohon maaf terlebih dahulu sekiranya apa yang saya nk cakap ni mengguris hatinya dan mungkin juga apa yang saya cakapkan itu tak betul. Ia hanya pada pandangan mata saya sahaja…saya fikir kali itu saya memang kena juga bercakap kepada Jemaah berkenaan. Telekungnya yang berwarna cerah betul2 menampakkan bentuk bra yang dipakai, menampakkan bentuk bahu dan bentuk badan. Alhamdulillah, dia berlapang dada dan menerima pandangan saya. Pada kali yang lain, saya sudah menemuinya dengan telekung kain cotton….

Maaf jika pandangan saya tentang telekung ini tidak dapat diterima semua, sebagaimana saya beritahu pada awal tadi..ia hanya pandangan saya berdasarkan pemerhatian saya sejak sekian lama…

Wallahua’lam.

Tips 5 : Tinggalkan anak di mana?



Tajuk ini paling saya berat hati nak catatkan…saya sebenarnya meletakkan tajuk terlebih dahulu dankemudian saya taip catatan saya di tajuk yang saya selesa terlebih dahulu.. Dalam pada saya nak menurunkan panduan/tips, saya catatkan dengan panjang lebar dahulu pengalaman saya yang membuatkan saya rasa perlu untuk berkongsi tips ini dengan anda.

Buat yang mempunyai anak yang sudah membesar dan boleh menjaga diri sendiri, ia agak mudah saya rasa (tapi saya tak pasti sebab saya tak mempunyai pengalaman itu). Bagi bakal Haji yang ‘agak muda’ (saya rasa kalau 40 tahun ke bawah itu kategori mudalah kan..kan..kan..) yang mempunyai anak yang masih kecil seperti saya, perihal nk meninggalkan anak di mana itu perlu difikir sebaiknya ….Malah ada kawan jemaah saya yang mempunyai baby sewaktu mengerjakan Haji. Tapi kita percaya bahawa Allah akan permudahkan segalanya apabila kita telah terpilih menjadi tetamu Allah

Bagi diri saya dan suami, kami telah sepakat ingin meninggalkan anak kami kepada kakak ipar saya…keputusan itu telah dibuat awal sebelum kami menerima surat panggilan Haji lagi…
Jadi selama berbulan saya itulah opsyen saya yang pertama dan saya memang merancang pelbagai perkara, sesuai dengan cadangan untuk meninggalkan anak-anak dengan ipar saya. Antaranya ialah keperluan wang untuk dobi pakaian mereka, untuk makanan mereka (kedai makan banyak berhampiran) belanja sekolah, nak belikan rak pakaian sementara untuk mereka, merancang pakaian yang perlu di bawa ke rumah ipar saya meliputi baju harian, baju tidur dan sebagainya. Perancangan itu kekal sehingga tarikh berangkat kami tinggal lebih kurang 2 minggu.

Kisahnya, saya sering berkongsi dengan rakan sepejabat saya – Puan Farhah Salleh (kami sama-sama mendapat panggilan Haji tahun berkenaan dan kami lebih kurang sebaya) tentang pemergian kami ke Tanah Suci nanti…macam-macam perkara yang kami sembangkan…hinggalah pada satu hari, kami bersembang tentang anak-anak kami…Beliau bercerita tentang pengalaman beliau sewaktu parents nya menunaikan haji. Kata-kata beliau yang membuatkan saya seolah mendapat ilham baru ialah “Petua dan pesan ayah saya ialah bila kita nk pergi Haji – kita jangan keluarkan anak kita dari rumah kita. Biar orang lain yang datang dan jaga anak kita di rumah kita. Supaya anak kita rasa kita ni macam pergi sekejap saja. Sebab persekitaran dia masih sama – iaitu di rumah. Yang berbeza hanya orang lain saja yang jaga mereka”…nampak tak…jangan pindahkan atau keluarkan anak kita tapi biar orang yang datang jaga anak kita di rumah kita…. Buat yang mempunyai anak yang sudah besar, tiada masalah…mereka boleh tinggal di rumah, boleh bawa kenderaan dan boleh uruskan adik2 jika masih kecil. Tapi bagi yang anak semuanya masih kecil macam saya…kata-kata kawan saya itu membuatkan saya berfikir panjang.

Bermula dari situ, saya menambah satu lagi doa dalam solat hajat saya mohon agar Allah permudahkan dan tunjukkan jalan berkaitan perihal penjagaan anak2 saya ini. Sekiranya tinggal dirumah adalah pilihan terbaik untuk saya dan mereka, saya mohon Allah tunjukkan jalan dan permudahkan untuk perancangan saya. Sebab opsyen ini tidak pernah ada dalam perancangan saya dan tarikh keberangkatan pula tinggal 2 minggu ketika itu.

Saya masih ingt pada hari Isnin (tarikh tak ingat haha), pagi itu saya cerita serba ringkas apa yang Farhah beritahu kepada saya, dan mahu tak kalau kita cuba? Maknanya perancangan kami akan berubah 100%. Suami saya ok mengenainya tapi minta saya uruskan. Serentak itu, suami menelefon kawannya bertanya sama ada boleh kah untuk menguruskan anak kami ke sekolah (ambil di rumah pada waktu pagi dan hantar balik waktu petang). Ditakdirkan bahawa Allah sememangnya memudahkan urusan hambaNya bakal tetamu Allah, kawan suami (anak panggil pakcik Rizal) terus sahaja bersetuju tanpa tanpa berfikir panjang. MasyaAllah hebatnya dan cepatnya Allah menjawab permohonan saya!! Satu urusan selesai.

Urusan seterusnya adalah bertanya mak saya sama ada sudi menjaga hero2 saya ini sepanjang saya menunaikan Haji. Yess..alhamdulillah mak saya (Tok Nah) setuju tanpa banyak soal. Ok..2 perkara setel…

Seterusnya saya bertanya kepada jiran saya akan kesudian dia untuk memasak lauk makan malam anak saya dan bertanya tentang dobi yang boleh ambil baju di rumah dan hantar semula kerumah. Jiran saya ini (anak panggil acik Yan) tidak dapat memenuhi permintaan saya untuk menyediakan lauk makan malam kerana dia terikat dengan urusan tempahan majlis perkahwinan (mak andam ni …) tetapi beliau lebih dari sudi untuk tolong menggosokkan baju sekolah anak saya. Lebih memudahkan, beliau mencadangkan saya menghubungi sepupunya yang juga tukang masak/caterer tentang lauk dinner anak saya…Jadi dalam masa 2 hari sahaja, semua perkara selesai!! Berbanding perancangan saya yang lebih dari setahun sebelum ini. 

Betapa Allah itu Maha Kuasa, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui yang terbaik untuk kita. Sujud syukur saya ketika itu, tidak terkira betapa leganya saya semua hal ini selesai dalam masa yang singkat. Anak-anak pula apabila diberitahu perubahan rancangan saya, mereka bersorak gembira. Tak sangka pula mereka suka dengan cadangan untuk mereka tinggal di rumah sendiri..sebelum ini tidak pernah pula mereka memberikan sebarang pendapat mengenainya.

Jadi itulah panduan yang nk disampaikan…mengambilkira pesanan ayah kepada kawan saya (Puan Farhah) bahawa lebih baik anak itu tinggal di rumah sendiri dan jangan dipindahkan..

Apapun – tidak semestinya yang baik untuk saya itu adalah sesuai juga kepada anda..ini hanyalah panduan sahaja…

Terima kasih kerana luangkan masa membaca!!

Tips 4: Bekalan untuk yang ditinggalkan


Salah satu syarat menunaikan Haji adalah mempunyai belanja yang cukup untuk keluarga yang ditinggalkan. Mengambilkira pengalaman saya yang lalu, dengan 3 anak yang masih kecil – saya meninggalkan perbelanjaan untuk kegunaan lebih kurang selama 2 bulan. Namun, sayugia diingatkan bahawa catatan ini hanyalah sebagai panduan semata2..kalau keluarga yang mempunyai anak yang sudah besar lain pula keperluannya.

Antara yang saya sediakan (setelah merancang selama berbulan-bulan…bukan senang oiii) ialah:

1)      Belanja sekolah anak (untuk sekolah pagi dan sekolah petang/sek agama). Belanja disini maksudnya saya menyediakan wang RM1 secukupnya (sbnrnya lebih sedikit) bagi kegunaan mereka. Kadang-kadang, anak –anak saya apabila pulang dari sekolah agama, mereka suka ke kedai runcit berhampiran rumah pengasuh untuk membeli air kotak atau jajan..ataupun kadang2 mereka membeli burger di warung yang dibuka di sebelah rumah pengasuh mereka. Saya telah mengira hari bersekolah sepanjang saya menunaikan Haji dan mudah2an apa yang saya tinggalkan itu mencukupi.

2)      Wang bulanan untuk bayar pengasuh. Saya telah menyediakan jadual tugasan dan antara tugas salah seorang anak saya adalah untuk memastikan bahawa duit sekolah adalah tersedia dan wang bulanan pengasuh dibayar pada masanya. (tapi adik saya telah ambil alih dan tolong bayarkan pada masa yang berkenaan – dengan wang yang saya tinggalkan).

3)      Yuran tadika anak. Yuran ini telah saya bayar terlebih dahulu, maka tidak perlukah berpesan kepada anak ketiga untuk bawa wang yuran ke tadika.

4)      Wang untuk perbelanjaan rumah dan untuk anak2 makan diluar sekali sekala. Sekali sekala saya memenuhi kehendak anak2 makan makanan segera. Jadi saya anggarkan keperluan untuk mereka makan di luar sekali sekala, termasuk untuk mereka membeli bekalan makanan mingguan seperti biskut, air kotak dll.

5)      Wang untuk lauk makan malam. Yang ini saya langsaikan sebelum saya berangkat menunaikan Haji. Anak-anak saya biasanya akan pulang ke rumah hamper jam 7 malam. Jadi, saya tidak mahu menyusahkan atok mereka memasak lauk untuk makan malam sebab selera mereka bertiga ini selalunya tidak sama. Jadi saya diketemukan dengan caterer yang sudi untuk menyediakan lauk makan malam anak saya selama 5 hari seminggu (hari bekerja sahaja). Tapi anak2 ini ada juga minta atoknya masak lauk lain bila tak kena selera mereka…sabar je lah….

6)      Wang untuk upah gosok baju. Alhamdulillah urusan saya juga dipermudahkan bila dipertemukan dengan jiran yang sudi menolong untuk menggosok baju sekolah anak saya. Jadi atok (mak saya) hanya akan basuh baju sekolah mereka, dan setiap Ahad jiran saya yang baik hati ini akan mengambil baju sekolah dan hantar kembali ke rumah pada petangnya. Nota : Baju-baju sekolah anak saya telah saya tandakan di seluar dan bajunya dengan initial nama masing-masing supaya tidak bertukar dengan Z1, Z2 dan Z3. Ini kerana ketika itu Z1 dan Z2 masing-masing mempunyai 3 helai baju sekolah kebangsaan dan 5 helai baju sekolah agama. Kalau tertukar kan pening? (ya…kepeningan itu bermula bila semua anak berada di sekolah rendah tahun berikutnya…saya kerapkali tersalah letak baju dan seluar mereka isk..isk…)

Jadi begitulah serba ringkas tentang perbelanjaan yang ditinggalkan untuk anak-anak..dan sebelum terlupa, saya juga meninggalkan kad bank saya dengan jumlah lebih kurang 2 bulan gaji…bukan saya nak menunjuk disini …tidak…. Tapi saya tinggalkan dengan jumlah sebegitu sebagai persediaan jikalau saya tidak akan pulang dari Tanah Suci…makan waris yang tinggal akan mempunyai peruntukan yang cukup untuk perbelanjaan sementara urusan –urusan berkaitan saraan diselesaikan. 

Nampak macam mudah kan?... Sejujurnya sememangnya persediaan mengerjakan Haji ini melibatkan fizikal dan mental…Saya masih ingat sebulan sebelum berangkat saya mengalami penurunan berat badan kerana terlalu memikirkan banyak perkara…tapi saya percaya Allah akan permudahkan semua. Kalau ada rezeki saya cerita bab Allah permudahkan itu ya?

Kalau ada rakan bakal Jemaah yang nak bertanya lanjut tentang sesuatu perkara – bolehlah PM saya ye. Dimana boleh saya cuba bantu…

Tuesday, 19 June 2018

Tips 3: Bersihkan hati


Bakal Dhuyufurrahman…sebelum berangkat ke Tanah suci, wajarlah kita belajar untuk membersihkan hati.
Hindarilah hati dari bersangka yang buruk, hindari juga lintasan hati yang bukan-bukan…fikirkanlah perkara yang baik-baik sahaja.

Sebab..berlatih dari sekarang agar mudah urusan kita di sana nanti.
Tapi jangan pula balik dari menunaikan Haji kita kembali seperti biasa.
Teruskanlah untuk bersangka baik –sangka baik dengan manusia, sangka baik dengan Allah, malah sangka baik dengan makhluk lain juga…
lebih dari itu, doakanlah yang baik untuk semua.
insyaAllah lapang hati anda…

Tips Haji 2 : Solat sunat


Para bakal Dhuyufurrahman sekalian, lembutkanlah hati, mulakan lah untuk belajar solat sunat jika belum biasa menunaikannya. Biarlah ibadah Haji ini menjadi permulaan untuk kita melatih diri menjadi hambaNya yang lebih tawaduk. Biasakanlah diri untuk bangun lebih awal, tunaikanlah solat tahajud. Iringkanlah tahajud dengan lain2 solat sunat. Masih belum terlambat untuk bertatih dan berlatih menunaikan solat2 sunat ini. Kelak di Tanah Suci, anda akan dapati mudah melaksanakannya kerana telah terbiasa menunaikannya. Anda akan janggal jika tiba2 apabila berada di Tanah Suci baru hendak bermula melaksanakannya. Tapi – kenapa kena belajar tentang ibadah solat2 sunat ini?

Tuan dan Puan – dalam satu ceramah yang saya kutip – kedatangan kita ke Tanah Suci ini adalah untuk melaksanakan 4 perkara sahaja:

i) Ibadah
ii) makan
iii) tidur
iv) rehat
         i.


Apakah bentuk ibadah yang kita kena lakukan semasa berada di Tanah Suci? Terhad kepada solat sahajakah? Maka dengan itu, ada banyak bentuk solat sunat yang wajar dipelajari sejak dari tanah air lagi. Niatkan dalam hati bahawa belajar ini bukan sahaja untuk dipraktikkan semasa di Tanah Suci, tetapi juga untuk diamalkan setelah pulang nanti. Namun demikian, boleh sahaja pada setiap masa kita merujuk kepada buku ataupun maklumat di internet ketika berada disana berkaitan dengan tatacara ibadah, selain merujuk kepada petugas TH dan juga rakan2 yang lebih arif. Berdoalah pada setiap masa agar semua urusan kita dipermudahkanNya.



Tips Haji 1: Pentingnya berilmu..


Saya pasti ramai yang libang-libu atau tak tentu arah apabila menerima surat jemputan menunaikan Haji. Bagi yang sudah menjangkakan terpilih pada tahun berkenaan, Alhamdulillah. Namun, bagi yang menerima jemputan yang tidak dijangka – ucapkanlah Alhamdulillah juga. MasyaAllah, dalam berjuta orang (di Malaysia), kita adalah antara yang terpilih untuk menunaikan haji. Percayalah, insyaAllah tiada kekesalan dalam usaha menunaikan ibadah ini.

Bagi anda yang sudah menjangka dari awal, dan menerima surat jemputan awal, mulakanlah melakukan persiapan fizikal dan mental – rohani dan jasmani. Luangkanlah masa untuk belajar dan membaca perkara yang berkaitan dengan manasik Haji. Jika ada rezeki, belajarlah di beberapa tempat – lain ustaz lain cara penyampaiannya. Anda tidak akan rugi, malah setiap langkah akan diberkati dan Allah akan ganjari. Malah, berada di majlis ilmu itu sendiri akan mendapat naungan daripada malaikat. MasyaAllah – belum menunaikan haji lagi Allah dah beri banyak pahala….

Oh ya..satu lagi…kalau kita nk pergi bercuti ke sesuatu tempat, kita akan buat sedikit kajian/bacaan tentang tempat yang kita nk pergi bercuti tu kan…haaa….sama lah kalau kita nk pergi Haji juga ni…kenalah ada sedikit ilmu tentang ibadah Haji ini..

Sesungguhnya ibadah Haji ini bukanlah satu ibadah ikut-ikutan semata-mata. Semua pelaksanaan rukun dan wajib Haji itu bukan sekadar satu perlakuan, sebaliknya ada kisah dan falsafah disebaliknya. Tawaf, saie, wukuf, mabit di muzdalifah, melontar…Allahu….(teringinnya Saya mengulangi semua ini lagi…jika boleh ditukarkan dengan sesuatu, sanggup saya mengusahakannya untuk mendapat peluang ini lagi). Saya pasti, semua ustaz/ustazah yang mengajar perkara berkaitan pelaksanaan haji dan umrah akan menceritakan kisah2 dan falsafah pelaksanaan setiap perlakuan ibadah ini, kitalah yang harus peka dan berusaha menghayatinya.

Jangan lupa juga, setiap kali menghadiri kelas untuk belajar sesuatu ilmu, berdoalah semoga Allah kurniakan kita kefahaman atas apa yang dipelajari. Tahap penerimaan orang adalah berbeza-beza. Saya amat menyedari hakikat ini sewaktu dalam kelas manasik Haji. Ada yang telah bertahun2 menghadiri kelas api masih tidak memahami pelaksanaan rukun dan ibadah Haji, ada pula yang banyak tertinggal kelas tapi cepat pula menangkap apa yang diajarkan. Kagum juga saya dengan inisiatif beberapa Jemaah yang tak jemu mendatangi kelas berkaitan ibadah ini di beberapa tempat saban tahun meskipun belum mendapat panggilan Haji. InsyaAllah bagi mereka ini, usaha mereka akan dipandang oleh Allah dan Allah itu Maha Mendengar…
yang penting, lengkapkan diri anda Rohani dan jasmani…

Ada yang lebih baik


Antara pesanan Dr Muhaya yang melekat di ingatan saya selepas mendengarnya di saluran IKIM fm adalah, sentiasa ada pilihan yang lebih baik.

Sentiasa semat di fikiran bahawa selalu ada pilihan yang lebih baik.

Antara bangun awal dan bangun lewat – lebih baik bangun awal. Dapat buat pelbagai perkara dengan tenang dan tidak terkejar-kejar

Antara solat awal waktu dan solat lewat – lebih baik solat awal waktu

Antara solat sendirian dan solat berjemaah – lebih baiklah solat berjemaah. Lebih banyak pahalanya, banyak pula fadhilatnya

Antara berdiam diri dan bercakap perkara yang menyakitkan hati – lebih baiklah berdiam diri. Berdiam bukan bermakna kalah, bukan pula tanda menyerah, tapi berdiam itu menunjukkan betapa panjang akal empunya diri dalam mengawal emosi.

Antara hasrat untuk menolong dan malas serta membatu diri – maka lebih baiklah ikhlaskan diri untuk menolong. Malah, niat yang baik juga tidak wajar untuk ditangguhkan. Elok disegerakan khuatir ada halangan pula jika dilambat-lambatkan

Banyak lagi contoh yang boleh diberikan. Hidup kita ini adalah berbentuk pilihan. Hanya kita yang memilih pilihan yang paling sesuai dengan diri kita sendiri Kita menentukan arah di masa akan datang dan kita yang mencorakkan bentuk kehidupan kita di sini dan juga ‘disana’ kelak.

Sekian