Thursday, 29 October 2020

Salam Maulidur Rasul

 

Salam Maulidur Rasul

Kita meraikan hari lahir junjungan mulia Nabi Muhammad saw (12 Rabiulawal).
Lalu, sirah-sirah berkaitan kelahiran Nabi saw diulang kongsi di media sosial, dan dibincang di media massa. Kita memang memerlukan sesuatu itu berulang-ulang, sebab sifat manusia itu sendiri adalah mudah lupa.

Mungkin ramai yang sedar bahawa Nabi saw lahir pada Tahun Gajah, tapi mungkin ada yang tak relate dengan peristiwa Abrahah menyerang Kaabah. Kisah itu terkait dengan cubaan pembinaan bangunan serupa Kaabah untuk menandinginya, tidak berjaya, lalu Kaabah diserang.

Siapakah yang menyambut kelahiran Nabi saw? Waktu apakah Nabi saw lahir? Hari apakah Nabi saw lahir? Siapa ibu susuan Nabi saw? Siapakah yang menjaga Nabi saw setelah baginda kehilangan ibunda tersayang? Siapakah yang mengambil alih menjaga Nabi saw setelah datuk tercinta pergi? Apakah nama isteri-isteri dan anak-anak baginda? Perjuangan baginda dalam menegakkan agama?Kita tahukah kisah-kisah ini?

Nabi saw – kita tagih syafaatnya di akhirat kelak.Tapi bagaimana baginda akan mengenali kita ini umatnya, jikalau tidak kita tunjukkan kecintaan kita kepada baginda? Telah lebih 1400 tahun baginda meninggalkan kita. Kalau ikutlah logik, kita terlalu jauh dari segi masa dengan baginda, tapi dalam khutbah baginda yang terakhir telah dinyatakan bahawa "Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. “ Mudah-mudahan kita menjadi golongan yang memahami ini. Amin YaRabbal ‘alamin.

Kawan,

Kita tidak sekadar mengingati Nabi saw kekasih Allah ini hanya pada hari lahirnya sahaja. Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada yang membaca, Dalam usaha kita – orang yang biasa2 ini – untuk menjadi umat yang dikenali di akhirat kelak, kita amalkan sunah baginda dalam kehidupan seharian. Akhlak baginda adalah akhlak Al-Quran. Baginda begitu mencintai umatnya hingga ke akhir hayat. Namun, cintakah kita kepada baginda? Sejauh mana sunah baginda kita amalkan dalam kehidupan - dalam pergaulan dengan keluarga,para sahabat, anak yatim, kanak-kanak. Cara baginda makan, tidur, beribadat – segala-galanya lah.
Kalau kita tak kenal baginda, bagaimana lahir rasa cinta kepada baginda?


“Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai (di akhirat kelak)”.
Semua kita akan berharap untuk bertemu baginda, mendapat syafaat baginda, dapat minum air di telaga Kauthar pada waktu dahaga yang bukan kepalang dan dipercepatkan hitungan dikalangan bilangan manusia yang tidak terkira di akhirat kelak.

Nabi Muhammad saw – satu sosok yang telah diketahui sebagai kekasih Allah lebih awal, malah ada Nabi sebelumnya yang berharap untuk menjadi umatnya. Umat Nabi Muhammad saw akan diadili dan masuk syurga lebih awal. Bukankah kita istimewa dan beruntung?

Salam Maulidur Rasul 1442! Semoga kita jadi umatnya yang lebih baik dari hari ke hari.



Monday, 26 October 2020

Manusia itu herbivor, karnivor atau omnivor?

 Manusia itu herbivor, karnivor atau omnivor?

Soalan ini ditanyakan kepada kelas saya sewaktu tingkatan 2.

Entah kenapa waktu itu ditanyakan saya pun dah lupa. Tapi, apabila cikgu bertanya – siapa rasa manusia itu omnivor?
Semua angkat tangan …kecuali saya.
Saya ini bersaiz kecil, jadi orang tak perasan saya itu dah biasa.
Tapi sebab saya suka duduk dalam kelompok hadapan, maka ia adalah obvious saya tak angkat tangan.

Aduss..macam mana ni
Lalu cikgu berkenaan kata – ‘semua orang berdiri…’
‘Siapa yang kata manusia itu omnivor sila duduk.’

Makanya saya seorang sahaja yang berdiri. Gigil sikit. Tapi masih tegar dengan pendapat sendiri.
‘Ok kamu…kenapa manusia bukan omnivor?

Sebelum itu – ingat lagi tak apakah herbivor, karnivor dan omnivor?
kalau zaman dulu2 (mungkin 70an), maun (makan daun), maging (makan daging) dan satu lagi yang makan semua tu saya tak ingat haha…

Jadi, kenapa manusia bukan omnivor? Manusia kan makan semua – daging, sayur, buah…

Jawapan saya – ermm..sebab manusia bukan macam binatang cikgu. Herbivor, karnivor, omnivor tu semua utk binatang saja (ok itu lah saya rasa jawapan saya dalam bentuk yang paling mudah – sesuai dengan pemikiran seorang budak tingkatan 2.


Saya tak ingat scene seterusnya. Saya mental blok!!
Saya pasti cikgu ada menerangkan kenapa manusia adalah omnivor.
Tapi bagi saya, manusia bukan mana-mana kategori itu. Entahlah rasanya saya tak dipengaruhi bacaan di mana-mana ketika itu. Sekadar tidak setuju manusia disama taraf dengan binatang.


Kita mungkin ada ciri yang sama dengan omnivor, makan daging. Makan sayur, makan buah, ada gigi mengunyah TETAPI kita berbeza kerana kita ada ada otak yang digunakan untuk berfikir.


Binatang pun ada otak, tapi binatang tak membezakan perkara yang baik dan buruk. Ok – jangan bahaskan disini binatang yang boleh diajar untuk bercakap, memilih makanan, mengenalpasti arahan dan sebagainya. Itu pergi argue kat tempat lain haha..

Kita ada mulut dan ciri gigi yang boleh mengunyah dan mengoyak daging. Binatang pun sama. TAPI mulut kita diguna untuk bercakap, dan disaran bercakap perkara yang baik-baik. Lidah kita akan menjadi saksi di akhirat kelak, berbeza dengan binatang yang tidak dipertanggungjawabkan.

Tapi dah tentu argument saya pada waktu itu bukan seperti ini. Its just simply ‘sebab manusia itu bukan macam binatang.’ Itu saja.
Tak kira apa point atau fakta yang menyokong manusia itu golongan omnivor – otak saya dah blocked. Bak kata bos saya dulu ‘kamu ni mental blok!!’ wakakaka
Saya percaya apa yang saya rasa betul – hinggalah ada satu sebab yang konkrit boleh mengubahnya.


Jadi, apa pandangan anda yang membaca?


omnivor itu beginilah salah satunya haha...comel kan? (lawak je)
(kredit pic : google)

 

 

Saturday, 24 October 2020

Saya dan Laut

 Saya sentiasa suka pada pantai dan laut.

Dalam bulan-bulan yang lalu, ada 3 weekend yang sy pergi ke tepi pantai – sekali di Kuala Selangor dan 2 kali di Port Dickson (PD). Malah entah berapa kali sebenarnya saya dah ke PD.

Di PD itu ada nostalgia. Sebahagian besar waktu awal usia saya berada di PD. Dari umur 2 atau 3 tahun bermula menetap di Kg Si-Rusa, kemudian berpindah ke flat tentera di Batu 5 hingga darjah 2.
Kemudian berpindah ke Kg Batu Muda,Kuala Lumpur diikuti dengan Sg Besi. Semuanya kerana abah saya bertukar tempat kerja. Dalam pada itu, saya bertukar sekolah dan mendapat ramai kawan baharu. Tapi tidak lama. Ketika hujung tahun ketika dalam darjah 4, abah saya ditukar semula ke PD dan saya memilih untuk masuk ke sekolah yang sama (Sek. Keb. Si-Rusa SKSR). Saya boleh saya memilih untuk bertukar ke sebuah sekolah lain (Sek. Keb.Panglima Adnan) tapi SKSR tetap dihati pada masa itu, kebetulan pula berhampiran dengan tempat kerja abah saya.

 Kami menduduki beberapa buah rumah iaitu di Kg Baru Si-Rusa, Kg Si-Rusa dan kemudian berpindah ke kuarters di Kem Garrison. Seringkali waktu hujung minggu, abah saya akan membawa saya dan adik mandi laut. Saya fikir macam tak lengkap hidup kalau tak mandi laut dalam seminggu haha. Tapi mandi laut itu merimaskan, kerana air laut melekit dan pasir melekat di kaki bila nk balik. Rambut juga akan jadi keras kejung. Biasanya kami akan pergi ke pantai Batu 4 menaiki motor sahaja. Mudah kerana tidak perlu menukar baju. Biasanya dalam keadaan basah-basah tu kami akan terus balik.

Lebih kurang macam ini lah..ada pokok kelapa..pasir putih...
(kredit gambar : google)

Kalau throwback lebih lama lagi, sewaktu saya kecil (mungkin dalam lingkungan umur 2-4 tahun) abah saya sering membawa kami (saya dan mama) ke pantai menaiki basikal (itu sahaja kenderaan yang ada pada masa itu). Masih terbayang rasanya keadaan pantai waktu saya kecil. Gambaran dalam fikiran saya adalah sama seperti lukisan. Pasirnya putih dan jauh ke tengah. Ada pokok kelapa yang melambai-lambai ditiup angin dan ada banyak pokok rhu. Tahukah pokok rhu? Daunnya halus-halus dan buahnya coklat dan tajam. Saya dan kawan-kawan dahulu kala memanggil buah ini dengan nama ‘durian kecik’. Pokok rhu ada banyak di kawasan pantai. Pantai mungkin asing bagi mama dan abah saya kerana mereka membesar dengan bendang (bendang tu sawah padi lah), mungkin sebab itu kami sering ke pantai.


Nin dia habag kat hangpa rupa daun pokk rhu dengan biji buah dia...
(kredit gambar : google lagi)

Saya suka pantai dan laut. Saya suka apabila air surut, saya boleh berjalan di kawasan selut dan melihat anak ketam serta siput kecil. Kadang-kadang kutip kulit kerang yang cantik – dan terpaksa buang beberapa lama kemudian sebab dah banyak haha. Dah tu…kalau asyik pergi pantai dan kutip, tak ke jadi banyak?


Saya suka melihat kapal-kapal yang ada di laut. Kadang-kadang nampak besar, kadang-kadang kecil.
Selalu saya fikir di mana hujung laut. Adakah garis horizon (masa tu saya tak sebut lah namanya garis horizon haha) yang saya nampak tu penghujung laut? Adakah kapal akan ‘jatuh’ apabila sampai ke hujung laut?

Saya juga suka bau pantai dan laut. Ada bau? Iya, pantai dan laut itu ada bau yang tersendiri. Kalau sewaktu air surut tu, mungkin bau selut yang ketara (tahu kah selut itu apa? Kalau orang kedah panggil ‘keleboq’ dan saya tak tahu (tak boleh nk fikir sewaktu menaip ni) apa perkataan lain untuk selut haha..google lah ya!). kalau sekadar duduk di tepi pantai saja pun, angin akan membawa bau laut itu. Saya ingat lagi, bila saya berdiri di tepi pantai (dulu dan kini), saya akan tarik nafas panjang-panjang, saya nikmati angin yang berhembus dan bau yang datang bersama angin itu, seolah dapat saya rakam bau itu.

Saya rindu pantai. Saya rindu laut.

Friday, 23 October 2020

Umrah semasa covid-19


Sebenarnya pelaksanaan umrah yang bermula Oktober 2020 bukanlah pasca Covid. Pandemik Covid-19 masih belum menunjukkan tanda akan berakhir, yang mana terdapat negara yang menunjukkan tanda kes-kes jangkitan meningkat apabila terdapat strain baharu. SOP  semakin kurang diamalkan dan new norm menjadi sesuatu yang biasa dan ada yang sudah tidak peduli.

Jadi selepas ibadah umrah ditangguhkan selama tujuh bulan, ibadah ini dibuka semula untuk dilaksanakan secara berperingkat. Peringkat pertama seramai 6,000 orang yang terdiri daripada rakyat dan penduduk Arab Saudi akan dibenarkan menunaikan umrah. Kebenaran ini dilanjutkan kepada pengunjung dari luar negara secara berfasa bermula 1 November 2020  dan bilangan dinaikkan hingga 20,000 orang sehari.

Selanjutnya, ada beberapa syarat dikenakan untuk pengunjung dari luar negara antaranya berumur 18-65 tahun dan dalam keadaan sihat. Dalam konteks ini, saya secara peribadi berpandangan mereka yang berkerusi roda belum boleh dibenarkan untuk menyertai ibadah umrah. Namun, pandangan saya ini salah apabila pada hari ini saya dapati melalui FB seorang pelajar Malaysia yang berada di Tanah Suci, boleh menggunakan kerusi roda (isterinya buat masa ini berkerusi roda kerana tidak sihat). Selanjutnya tidaklah saya ketahui sama ada kerusi roda akan dibenarkan atau tidak apabila ibadah umrah dibuka kepada pengunjung dari luar negara.

Sebaik sahaja berita mengenai pelaksanaan umrah ini disiarkan di media, ramai mula berangan-angan untuk mengunjungi Tanah Suci. Saya dapati wakil/ejen agensi pelancongan berdaftar yang mengandalikan ibadah umrah dan haji dah mula mengedarkan iklan-iklan mencari orang untuk menunaikan umrah. Malah emak saya sendiri menerima tawaran dengan agensi travel ini dengan 0 deposit. Saya cuba ‘menenangkan’ keghairahan ini dengan memberikan logik bahawa bagi bilangan 20,000 orang dari luar negara itu, ianya bukan dari Malaysia semata-mata, sebaliknya satu dunia. Malah Arab Saudi pun belum memberikan sebarang kenyataan berhubung kriteria yang harus dipatuhi oleh mereka yang dating dari luar negara. Mungkin lebih baik tunggu dan lihat.

Pada masa yang sama, saya juga faham struggle yang dihadapi oleh agensi pelancongan ini. Sebenarnya bukan hanya agensi pelancongan sahaja, tapi hampir semua sektor ekonomi terjejas akibat pandemic Covid-19 ini. Pelbagai cara perlu dilakukan dan diteroka bagi memastikan kelangsungan perniagaan. The struggle is real. Jadi tak boleh nk salahkan ejen agensi ini sepenuhnya juga.

Kalau sebut rindu, sesiapa yang pernah menjejak kaki ke Tanah Suci pasti rindu untuk berada di sana. Kalau sebut tentang tenang, sememangnya Tanah Suci itu memberikan ketenangan yang berlainan dan tidak tergambar dengan kata-kata. Namun ini adalah ujian untuk kita semua. Ujian kesabaran buat yang belum pernah menunaikan umrah dan haji tetapi teringin sangat untuk berada di sana. Ujian juga buat yang setiap tahun ke Tanah Suci. Ujian bagi mereka yang terlibat dengan pengurusan pelaksanaan haji dan umrah. Ujian kepada seluruh umat Islam untuk bersabar.

Jadi, pesan-pesan lah kepada sahabat handai rakan taulan kita yang berhajat untuk menunaikan ibadat umrah untuk mengkaji betul-betul kaedah pelaksanaan umrah semasa pandemic ini, pastikan sekiranya ada syarat dikenakan oleh pemerintah Arab Saudi – berupaya untuk dipatuhi. Pelaksanaan ibadat umrah pada ketika ini pasti memberi pengalaman baharu kepada pengunjung 2 Tanah Suci. Semoga yang terbaik untuk semua. Amin.


(kredit gambar : google)

 

 

 

Sunday, 11 October 2020

Tazkirah ringkas tentang tadabbur Al-Quran

Jumaat lalu, sekali lagi diadakan bacaan Yasin di bahagian tempat saya bekerja.

Kali ini saya beranikan diri untuk mencadangkan agar diselangi dengan tazkirah ringkas dan Alhamdulillah dipersetujui. Saya rindu mendengar tazkirah atau peringatan. Kita sentiasa memerlukan kepada peringatan dari semasa ke semasa, agar terpandu tindak tanduk kita, agar kita boleh kembali ke jalan yang lurus. Peluang duduk bersama beramai-ramai wajar dimanfaatkan dengan peringatan kepada ayat-ayat Allah, semoga perkumpulan itu dipayungi oleh malaikat.

“Tidaklah suatu kaum duduk berzikir (mengingat) Allah melainkan mereka dikelilingi oleh para malaikat, diliputi rahmat,  dituntun sakinah (ketenangan) dan mereka disebut oleh Allah di hadapan malaikat yang ada di sisiNya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Pada kali ini, tazkirah yang dikongsikan oleh saudara Nik Amin (saya petik je namanya haha) berkongsikan ayat daripada surah Muhammad, ayat 24 bermaksud:

“Maka apakah mereka tidak tadabbur Al-Quran atau hati mereka terkunci?”

Ramai orang membaca Al-Quran, kita baca berulang-ulang, malah boleh pula kita kira berapa kali kita khatam Al-Quran. Namun berapa ramai pula yang faham apa yang dibaca? Mereka yang faham kerana menguasai Bahasa Arab, masyaAllah bagusnya. Bagi kita yang bukan orang Arab, atau yang tidak memahami Bahasa Arab – kenalah merujuk kepada terjemahan untuk memahami apa yang kita baca. Dari kelompok ini, ada pula segolongan yang tadabbur dan mengamalkan apa yang dibaca. Golongan ini lah yang saya cemburu. Mereka yang faham Bahasa Arab juga saya cemburu. Sungguhlah, Al-Quran itu perlu dibaca, difahami dan diamalkan.

Jika kita membaca terjemahan, sebenarnya kita belum faham lagi Al-Quran itu. terjemahan hanya memberi  maksud ayat dalam Bahasa yang kita tuturkan. Namun, untuk lebih faham kenapakah sesuatu ayat diturunkan, latar belakang ayat dan lain-lain memerlukan seorang guru untuk mengajarkan tafsir dan mentadabbur ayat Al-Quran. Maksud tadabbur itu ialah kita selidiki ayat itu setiap bait dan patah perkataannya. Buat mereka yang faham, Bahasa Arab itu indah sekali dan sangat tepat menggambarkan sesuatu keadaan.  Apabila Bahasa itu sendiri sudah indah untuk disebut dan didengar, maka apakah pula yang menghalang kita dari cuba menyelidiki ayat berkenaan?


Saya berani mengatakan bahawa belajar Al-Quran itu boleh membuatkan seseorang itu jatuh cinta dan mabuk dalam ilmu Al-Quran yang tidak bertepi.

Jom baca dan fahami Al-Quran. Luangkan masa belajar Al-Quran  walaupun kita dah pandai membacanya dari kecil. Jangan tunggu masa terluang baru nak membaca Al-Quran. Jangan hendaknya kita menjadi sebahagian dari orang yang terkunci hatinya dan jauh dari hidayah Allah.

 (Terima kasih Nik Noor Al-Amin atas perkongsian. Tulisan saya mungkin tidak sama dengan tazkirah tempoh hari kerana diolah dengan rasa sendiri.)

Friday, 9 October 2020

Perlukah Tabika Elit?

Minggu lepas KPLB mengumumkan akan mewujudkan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) elit, khusus untuk ibu bapa yang mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar yuran yang lebih tinggi. Tabika elit ini akan menyediakan kurikulum lebih baik berbanding tabika biasa yang mengenakan bayaran RM5 – RM25 sebulan.

Kertas kerja bagi cadangan ini sedang disediakan dan dikhabarkan akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet  untuk dinilai.  Modul e-STREAM (Sains, Teknologi, Agama, kejuruteraan, Seni dan Matematik) akan diterapkan dalam konsep kelas pintar pembelajaran awal kanak-kanak di Tabika elit ini. Beritanya adalah disini :

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/09/625592/kemas-cadang-wujudkan-tabika-elit

Cadangan ini menerima pelbagai reaksi masyarakat yang rata-ratanya menentang pelaksanaan Tabika Elit ini. Di sebaliknya pula, mungkin ada golongan yang menyokong pelaksanaannya, cuma berada di platform lain yang tidak saya baca.

Namun, apabila saya terbaca cadangan ini, reaksi saya ialah – serius ha?

Pendidikan jangan dipolitikkan.

Sama ada pendidikan sekolah atau pendidikan tinggi, apatah lagi pendidikan awal kanak-kanak, jangan lah dipolitikkan. Mungkin ada yang argue bahawa politik tidak dapat dipisahkan dengan pelbagai urusan termasuk pendidikan, ok whatever, tetapi jangan sekali-kali mempolitikkan pendidikan.

Kanak-kanak seawal umur 4-6 tahun wajar mendapat pendedahan dan pendidikan awal dengan kualiti yang sama. Kita memperjuangkan kesamarataan dalam pendidikan dan cuba memastikan sebaik mungkin agar tiada yang terpinggir/tertinggal/tercicir. Maknanya, walau apa pun tahap pendapatan dan latar belakang keluarga, anak-anak berhak mendapat pendidikan awal yang berkualiti sebagai pendedahan awal kepada sistem pendidikan negara. Silalah berpolitik, tapi jangan melibatkan politik dalam pendidikan khususnya pendidikan awal kanak-kanak. Awal-awal kita memberi isyarat kepada anak-anak kita bahawa ada jurang di antara yang berada dengan yang miskin. Kasihan kepada yang kurang berada, kerana terpaksa memilih tahap pendidikan yang biasa-biasa sahaja, sedangkan yang berduit berhak mendapat yang terbaik. Jika dibiarkan keadaan ini berlaku, percayalah, jurang pendidikan di kalangan T20 dan B40 akan semakin membesar dan semakin susah untuk kumpulan B40 bersaing dan berpindah ke kelas menengah/M40.

Pendidikan jangan diniagakan.

Tapi akan sentiasa ada pilihan kepada ibu bapa untuk memilih penyedia swasta yang menyediakan pendidikan awal dengan kurikulum tertentu. Ini adalah open market dan terpulang kepada pilihan sendiri. Kalau rasa pendidikan yang disediakan oleh kerajaan tu tak level dengan diri dan pendapatan, boleh saja memilih sekolah swasta yang sesuai dan sepadan dengan kehendak ibu bapa. Kita sedia maklum, ada ibu bapa yang berkehendak anak mereka menerima pendidikan bertaraf antarabangsa, ataupun pendidikan yang berteras kurikulum agama, atau pendidikan dengan model tertentu. Tapi biar pendidikan swasta ini dipelopori atau diterajui oleh pihak swasta dan biar Kerajaan kekal dengan menyediakan pendidikan dengan percuma atau dengan kos yang paling minimum.

Alternatif pelaksanaan

Kerajaan tidak perlu menjadikan pendidikan ini sebagai sumber pendapatan. Sebagai satu opsyen, kerajaan boleh menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada semua, dengan model kurikulum tertentu, tetapi mengenakan bayaran yang berbeza kepada mereka di kalangan tahap pendapatan berbeza. Contohnya, jika sekarang bayaran bulanan Tabika KEMAS hanya dalam lingkungan RM15-RM25 sebulan, maka ibu bapa dengan tahap pendapatan yang tertentu boleh dikenakan bayaran yang berbeza. Satu mekanisme perlu dibangunkan untuk menangani perkara ini. KEMAS pun sekarang menyediakan guru Tabika dengan pendidikan diploma. Sebagai seorang ibu yang anak semuanya menerima pendidikan awal di Tabika KEMAS, saya berpuas hati dengan pendidikan yang diterima. Tabika kini bukan lagi sekolah main dan makan seperti zaman saya dahulu, sebaliknya, ada model yang kalau saya boleh kata sebagai pedagogi pengajaran yang menarik. Anak saya belajar mengenal huruf,membaca dalam Bahasa Melayu, English, asas Matematik, pendidikan agama, seni dan sukan. Tidakkah itu cukup untuk seorang budak berumur 5 dan 6 tahun?

Apa yang kita hendak jadikan anak kita?

Anak kita tu baru berumur 5 atau 6 tahun. malah ada sesetengah ibu bapa menghantar anak ke taska/tabika seawal umur 4 tahun. Beb…4 tahun ni patut kita biarkan mereka menikmati alam kanak-kanak dengan riang tanpa perlu fikir kerja sekolah…Takkan kita nak anak kita jadi setaraf saintis bila masuk darjah 1? Kamonnnn…..masa saya darjah 1 pun baru belajar A, B, C dan kemudian lukis corak2 bawah latihan tulisan tu…jauh sekali nk belajar ayat matematik seperti ‘Ali ada 2 biji oren, Abu ada 1 biji oren. Berapa biji oren semuanya?’ Hairan sungguh sistem pendidikan kita (dan hairan juga dengan ibu bapa yang kalau boleh agaknya lahir je anak itu terus jadi pandai!!). Tapi iyalah…dunia berubah menjadi lebih pelik berbanding dahulu, persaingan semakin tinggi, penduduk semakin padat dan cabaran pun semakin bertambah.

Walau apapun, ada eloknya cadangan ini diperincikan lagi oleh pihak kementerian dan kementerian pun patut kembali kepada matlamat asalnya untuk membangunkan luar bandar. Elok jika pendidikan yang sama kualitinya seperti Tadika swasta disediakan untuk dinikmati anak-anak dikalangan penduduk luar bandar. Jangan ‘kastakan’ anak-anak kita.

#nooneleavebehind

Tuesday, 6 October 2020

Air terjun - dari mana datangnya?

Perjalanan balik ke kampong (Taiping, Perak), tidak pernah membosankan saya (dah kalau kampung kau kat utara memang le tak bosan kan haha) sama ada dari kecil dahulu sewaktu lebuhraya masih belum ada (lalu jalan biasa) hinggalah sekarang.

Apabila dah nak masuk kawasan Tapah – Gopeng – Ipoh, di sebelah kanan jalan akan nampak satu pemandangan air terjun. Dengan kelajuan kereta yang biasa di lebuhraya, air terjun ni boleh dilihat beberapa saat sahaja lah haha. Air terjun ini adalah Lata Kinjang. Selalu je tengok pemandangan ini, tapi ada sekali tu bertanya pula pada encik suami, kagum kan Allah jadikan air terjun dari atas bukit. Dari mana air atas bukit tu muncul? Kagum tak? Misteri tak? Bukit itu terletak di atas, ada kolam kah? Air terjun pula ada sungai mengalir di bawahnya. Dari mana punca air itu datang?

So macam biasa – kita tanya encik google lah kat mana ada disebutkan dalam Al-Quran mengenai air terjun

Bahawa perkara ini ada disebutkan di dalam Al-Quran – rujuk surah al-Baqarah ayat 74:

“Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.”


Maknanya, dari batu – terpancar air dan mengalir air sungai. Dari batu. Sedangkan batu itu keras. Lebih mengkagumkan air yang mengalir/terpancar itu tak pula berkurangan bahkan tidak henti-henti. Apabila dirujuk tafsir (Hamka – Tafsir Al-Azhar dan celiktafsir.net) Allah nak kata batu itu keras, tapi masih ada manfaat. Masih keluar air dari dalamnya, sedangkan kalau hati yang keras itu, langsung tiada faedah. Malah ada batu yang jatuh ke bawah, kerana takutkan Allah. Tapi sayang, kita manusia ini tak berasa takut kepada Allah. Hati yang keras itu yang teruk dari batu.

Lepas ini, tentu insyaAllah saya makin kagum kepada sungai dan air terjun. Tapi saya tak begitu berani ke sungai. Entah kenapa. Saya lebih sukakan laut kerana dari kecil saya tengok laut. InsyaAllah nanti cuba cari kesempatan untuk piknik di air terjun. Moga bertambah ketaqwaan kepada Allah – cukup dengan memikirkan kejadian di sekeliling kita. Amin.

Anda suka air terjun?


nota: gambar dari google


Thursday, 1 October 2020

Berdoa dalam Bahasa Arab atau Bahasa Melayu lebih baik?

Assalamualaikum,

Meskipun ada pelbagai perkara telah saya senaraikan untuk saya tulis, namun saya kira tajuk ini yang diilhamkan untuk diluahkan pandangannya pada kali ini.


Saya bukan lah seorang ustazah, jauh lagi mendapat pendidikan formal dalam bidang agama. Saya hanya dijentik rasa ketika berumur 40 tahun. Bermula ketika umur ini saya semakin banyak berfikir dan menganalisa persekitaran saya.


Solat berjemaah adalah sesuatu yang saya perjuangkan – bermula dengan keluarga saya sendiri. Ia mungkin bukan sesuatu yang ditekankan sebelum ini tetapi seboleh daya saya cuba memastikan solat berjemaah ini dilaksanakan dalam apa jua keadaan. Tapi bukan isu solat jemaah ini yang nak di ketengahkan kali ini, tetapi adalah doa yang dibaca selepas solat.

Untuk seorang yang biasa-biasa seperti saya, hanya ada beberapa bait dalam doa yang sepenuhnya Bahasa Arab yang saya boleh tahu/faham. selebihnya saya aminkan sahaja. Lama-kelamaan, baru saya tahu bahawa doa dalam Bahasa Arab yang dibaca seorang diri, sewajarnya tidak sama apabila dibaca untuk sekumpulan yang ramai. Apabila saya belajar asas Bahasa Arab baru saya mengerti sedikit kalau tak banyak pun tentang ‘feel’ (ejaan rumi mungkin tak menggambarkan sebutan sebenar). Baru saya tahu kenapa guna ‘hu’, ‘ha’, ‘hum’, ‘na’ dan lain-lain.  Justeru, orang yang tidak memahami Bahasa Arab tidak pantas untuk membezakan tatabahasa ini.

Kemudian, maksud bacaan doa yang dibaca juga tidak difahami – yang mana doa untuk ibu bapa, doa untuk kesenangan hidup dunia akhirat, yang mana doa agar dipermudah urusan, mana pula doa agar dimatikan dalam keadaan husnul khatimah…Yang pasti, makmum Aminkan doa tersebut.

Saya tak tahu sejak bila persepsi tentang bacaan doa ini timbul. Yang nyata, setelah mengucapkan selawat ke atas Nabi Muhammad saw, saya membaca doa dalam Bahasa Melayu. Saya meminta kepada Tuhan dalam bahasa yang saya tuturkan, kerana saya tidak pandai berbahasa Arab, dan saya pasti Tuhan memahami isi hati saya. Allah tentu tahu apa yang saya mahukan, tetapi mungkin Allah menunggu apa yang saya mohonkan. Saya lebih bebas meminta apa-apa perkara pun, meskipun dalam detak hati sahaja – yang pastinya dalam bahasa Melayu. Doa pula tidak terhad selepas memberi salam selepas solat, tapi di mana sahaja, dalam banyak keadaan. Ketika saya memandu, ketika hujan turun, ketika membelek pokok, ketika melihat langit dan banyak lagi.

Saya lebih yakin berdoa dalam bahasa Melayu apabila kuliah-kuliah yang saya hadiri diakhiri dengan doa dalam bahasa Melayu oleh guru/ustaz/ustazah yang mengajar. Saya tidak akan lupa peristiwa dimana air mata saya menghambur keluar (hatta ketika menaip ini pun air mata saya bergenang) ketika ustazah menyebut antara lain “ Ya Allah, kami tahu begitu banyak dosa kami padaMU, tapi kami percaya Ya Allah, bahawa besar lagi pengampunan dan rahmatMu kepada kami”. Doa itu disebut dengan suara yang lirih, dan meninggalkan kesan kepada saya berhari-hari. Setiap kali saya terkenangkan doa itu, saya sedih dan menangis. Kini saya juga menyelit doa yang sama. Sebab itu saya percaya doa dalam bahasa Melayu lebih menyentuh hati, berbanding doa yang panjang tapi tidak difahami. Namun, saya tidak menafikan kepentingan untuk memahami bahasa Arab, iaitu bahasa Al-Quran. Membaca Al-Quran tanpa memahami saya ibaratkan seperti burung yang bercakap tapi tidak langsung tahu erti yang dicakapkannya. Terukkah perumpamaan ini?

Jika ada pandangan saya yang salah, mohon diperbetulkan. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, saya hanyalah seorangyang baru dijentik rasa, dan berharap ‘rasa’ itu kekal hingga akhir hayat.
Moga ada manfaatnya.






Monday, 21 September 2020

Tak payah pulang baki

Morning ride kami ke sekolah memang akan dipenuhi dengan soalan sebaik sahaja kereta bergerak – tujuannya untuk memastikan tiada barang yang tertinggal dan check semula keperluan lain seperti setokin, kasut, beg, botol air, face mask dan sebagainya. Kemudian tanya sama ada perlukan duit atau tidak, kerana duit makan telah dibayar untuk seminggu.

Hari ini Z2 (zameer) dan Z3 (zahran) masing-masing minta duit sikit untuk beli air di kantin dan makanan lain. Untuk Z3 memang saya tanyakan hajatnya nak beli apa.

Hari ini nk beli ayam gunting (RM1.50) dan air Milo (RM1.50).
Jadi saya beritahu Z3, sewaktu beli ayam gunting, bayarlah RM2, nanti dapatlah baki 50 sen.
Tapi pada masa yang sama Z3 kata – bayar RM2, tak payah pulang baki. Eh??

Terdiam sekejap saya, otak pantas berfikir.
Mungkin Z3 ada melihat kejadian saya membayar dan kata “tak payah pulang baki”.
Kalau Z2 memang telah saya tahu, jika dia ditugaskan untuk mengambil barang/makanan yang saya order khususnya waktu PKP dahulu,  dia tidak akan mengambil duit baki.
Menjadi amalan saya untuk sengaja melebihkan bayaran daripada yang sepatutnya, dan tidak mengambil baki dengan tujuan hadiah kepada penjual. Z2 rupanya tidak perlu diajar, tidak perlu dipesan – dia bertindak sendiri melalui pemerhatian.

Tapi tak sangka Z3 pun sama.
Macam mana saya nk ajar dia situasi yang sesuai untuk tidak mengambil baki daripada penjual?
Khuatir pula sebab Z3 masih kecil. Buatnya bayar di pasaraya, dia kata tak payah pulang baki, ha – naya pulak macam ni. Kena ada satu garis panduan yang boleh membuatkan dia faham dengan cara yang mudah.

Lantas, bila di pejabat, saya mendapat ilham, bahawa berbuat baik itu dah bagus, tapi kita tukar sedikit caranya.

Anak-anak boleh diajar untuk membeli lebih belanja kawan atau  berkongsi makanan yang ada dengan kawan. Dengan cara itu, kawan dapat manfaat, penjual pun dapat manfaat.

Kejadian ini, buat saya terkesan, bahawa anak-anak kita bertindak melalui pemerhatian kepada ibu bapanya.

Bahawa memang benarlah – anak-anak yang dilahirkan umpama kain putih, kitalah yang mencorakkannya.


#jomsedekahsetiaphari
#ajaritaqwa


Thursday, 10 September 2020

M.A.L.A.S nak baca...

Semuanya bermula dengan perasaan geram dan marah saya kepada banyak perkara…(amboi..mula2 dah marah). 

Marah kerana sikap orang kita yang malas dan tidak peduli. Saya geram dengan ibu bapa dalam kumpulan whatapps group sekolah. Kegeraman itu makin menjadi2 dalam musim PKP haha..Sejak dahulu lagi (dan saya pasti akan datang pun masih akan begini) akan ada sahaja perangai segelintir yang malas membaca dan tidak peduli dengan perasaan dan rasa orang lain. Contoh: apabila guru memasukkan tugasan online dan menyatakan tidak perlu update kerana para guru akan tahu murid yang telah membuat tugasan. Tapi akan ada sahaja yang “Abu done cikgu”. Kemudian akan berderet-deret lah “anak saya Ali done cikgu”, “Amin Done”..begitulah seterusnya. 

Kemudian cikgu akan masuk grup dan maklumkan ibu bapa tidak perlu maklumkan status tugasan anak, kerana nanti ada info yang akan terlepas pandang. Ok..senyap… Tiba-tiba esoknya ada lagi “Salmi done”. Grrr…..lagi menggerutu hati ini kalau dah berminggu2 tiba2 ada lagi notification DONE.

Kamon la parents…Saya sendiri pernah memohon ibu bapa untuk tidak membuat makluman siap kerja ini. Tapi macam itu lah, esok lusa ada lagi. Seolah-olah mereka ini tidak membaca arahan. Atau sebenarnya memang beginilah sikap masyarakat Malaysia – tidak peduli dan malas membaca. 
Tanpa PKP pun sentiasa ada perangai begini. Apabila ada info baharu dikongsikan, tiba-tiba akan ada yang tanya. Contoh: esok pakai baju apa? Untuk pendidikan seni nak bawa apa? Sedangkan guru berkaitan sudahpun berkongsi maklumat berkaitan. Jika tidak dijawab, akan mendesak pula untuk menjawab soalan dengan segera. 

Begitulah kita. Yang penting diri kita dan ruang lingkup kita sahaja. Orang lain – lantakkan mereka!! 

Sikap malas membaca keseluruhan kandungan ini juga diburukkan lagi dengan sikap wartawan yang menulis cerita dengan tajuk yang mengundang kecaman. Baca TAJUK sahaja!! Para warga net ini pula, terus membuat kecaman berdasarkan tajuk berita tanpa membaca keseluruhan berita. Untuk tabayyun – jauh sekali. Sedangkan perkara pertama yang diperintahkan kepada kita adalah BACA! Sayangnya kita umat yang malas membaca. Kita rajin membaca – tapi membaca benda yang kurang atau tidak berfaedah. Maafkan saya, tapi itulah hakikatnya. Betul tak? 

Kita malas nak memberatkan kepala kita ini dengan perkara yang sedikit kritis dan analitikal. Alah..tak payah pergi jauh, saya sendiri kadang-kadang mahukan sesuatu yang ringan dan mudah. Yang tidak menjadikan muka berkerut hihi. 

Sikap malas membaca itu kalau tak keterlaluan saya katakana ia adalah jenayah!! (woo…ini keterlaluan sebenarnya). Malas membaca itu boleh membawa kepada judgement yang salah. Tapi ada lagi satu penyakit- membaca sahaja tanpa memahami. Ini pun boleh menjadi satu masalah besar juga.

Haha…susah juga macam ni, membaca salah, tak baca pun salah. Dah tu? Memang salah lah kalau tidak membaca dengan hati dan perasaan.

Tidak ada cara mudah untuk mendapatkan sesuatu ilmu kalau tidak membaca (memang boleh dengar kuliah atau menonton sahaja di internet, tapi tak sama dengan mengkaji buku dan berguru). 
Membaca jambatan ilmu. Ini tagline masa di sekolah. Simple – tapi ramai yang tak faham.

 Jadi – baca buku apa hari ini?

Wednesday, 2 September 2020

Halwa Telinga Pagi

Pada kebanyakan kita, sama ada memandu ke tempat kerja atau pun menghantar anak ke sekolah pada waktu pagi – ramai yang memasang radio untuk mendengar hiburan sebagai halwa telinga di waktu pagi. Malah saya perhatikan, mereka yang bersukan pun kebanyakkannya memasang earphone – sama ada berlari, brisk walking ataupun berbasikal. 

Untuk sesetengah orang, adalah penting untuk memulakan hari dengan baik. Antaranya adalah dengan melihat perkara yang baik dan mendengar perkara yang baik-baik. Permulaan hari yang baik biasanya mempengaruhi mood sepanjang hari. Saya sendiri mengambil masa yang lama untuk menemui kegiatan pagi yang sesuai dengan jiwa raga saya, dan ini termasuk lah memilih halwa telinga yang bersesuaian. 

Awal dahulu, sy gemar mendengar siaran radio yang sasarannya pendengar seusia saya. Seronok sebab mengimbau kembali lagu-lagu lama dan teringat balik zaman ketika itu. Celoteh DJ pun menarik. Kemudian tiba satu masa saya kerap merasa melankolik – saya merasa mood saya kadang-kadang sedih, kadang-kadang tak puas hati dan segala macam apabila ada kisah-kisah rumahtangga. Sehinggalah seorang kawan menyarankan saya beralih kepada stesen radio yang lain supaya saya lebih segar. 

Saya pun mencuba mengikuti saranan kawan saya dan memang terbukti bahawa hari saya memang segar. Celoteh DJ nya saya rasa sungguh menggembirakan dan saya kerap ketawa sambal memandu. Lagu-lagu yang disiarkan juga adalah lagu popular semasa. Isu-isu yang diketengahkan juga adalah isu semasa. Tapi lama-kelamaan saya merasa ketawa yang keterlaluan. Dan kadang-kadang secara peribadi saya merasakan ada waktunya pendengar diperbodohkan. Lalu saya berhenti mendengar siaran stesen radio itu. 

Kemudian, ayah saya menemui penciptaNya. Maka, takkan saya mahu mengisi masa saya dengan mendengar lagu-lagu popular, sedangkan abah berada di bawah sana, tanpa saya ketahui nasibnya? Lalu, tempoh perjalanan pergi dan pulang kerja saya dipenuhi dengan bacaan Yasin ataupun bacaan ayat al-Quran, yang saya ikuti dengan niat mudah-mudahan ada pahala yang sampai kepada abah di alam sana. Sehinggalah satu masa, saya merasakan saya memerlukan nasihat dan kata-kata yang baik untuk saya dengari. 

Lalu saya mencari alternative dan saya berjumpa dengan siaran radio berunsurkan keagamaan. Sangat menenangkan dan banyak mengingatkan diri ini kepadaNya. Celoteh DJnya juga tenang, tiada ketawa yang berlebihan dan nasihat yang didengari juga tidak pernah merendahkan sesiapa. Begitulah bagaimana saya transform halwa telinga saya. 

Kini, dengan kemudahan teknologi, saya streaming TV live pada waktu awal pagi – memandu sambil mendengar live TV. Dengan itu, saya tidak merasa bosan dengan perjalanan yang panjang, malah saya enjoy memandu pergi dan balik kerja. Kereta banyak dan jalan yang sesak menjadi asbab membolehkan saya mendengar tazkirah atau kuliah dengan lebih lama, tiada masalah. Nasihat dan kata-kata yang baik ini penting bagi saya agar memandu diri saya kembali ke jalanNya. Kadang-kadang rasa nak tergelincir, boleh teringat untuk kembali ke jalan yang betul (harapnya). Sebab nature diri kita manusia ini, mudah terlupa. Kita kena selalu diingatkan. Catatan ini bukan nak ajak anda berubah stesen radio, saya sekadar mengajak anda untuk memulakan hari dengan baik. Itu sahaja. Bak kata orang kampung saya – see no evil, hear no evil, talk no evil – gitewwwww…….
gambar hiasan saja...

Thursday, 6 August 2020

Taqwa dan Pokok

Musim PKP ini banyak hobi baru yang timbul. Kalau saya tengok di FB, ramai yang pakat buat Dalgona Coffe, mula ‘baking’ sampai habis stok butter, telur, esen vanilla, pewarna dan lain-lain bahan untuk baking di kedai, ramai yang mula pelajari pelbagai jenis resipi dan macam-macam lah lagi.

Musim PKP ini juga menjadikan kebanyakan kita lebih kerap memasak untuk keluarga. Jadi, saya fikir saya mesti kena ada pokok-pokok yang digunakan untuk masakan, memandangkan bila nk masak je, kadang-kadang mood akan hilang sebab tak cukup bahan melibatkan tumbuhan seperti daun kesom, bunga kantan, kunyit, daun kunyit, daun kari, cili dan macam-macam lah. Teringat rumah kawan suami saya, di tepi rumah nya memang sengaja isterinya tanam pelbagai pokok untuk masakan ini dan bila nak masak dia petik sahaja di sebelah. Wahhh….

Saya ini tidak lah rajin untuk memasak tapi sekali sekala tension juga weh bila mood nak masak tengah beria-ia, tiba-tiba bahan tiada. Boleh sahaja gunakan apa yang ada tapi lagi best kan kalau ada bahan yang cukup.

Jadi, bila sy dah mula bekerja di pejabat pada bulan Jun, saya mula mengumpul pengetahuan tentang pelbagai pokok2 ini. Jujurnya saya memang tidak berminat menanam pokok ini, dan tidak ada pengetahuan langsung dengan tanaman pokok. Jadi saya ada le google sana sini, tengok youtube pendek dan tanya kawan serta jiran. Buat permulaan kawan saya membelikan pokok dalam pasu. Dari situ saya belajar mengalihkan dari polibeg ke pasu supaya pokok dan tanah tidak ‘terkejut’ dan mula belajar jenis tanah serta jenis baja,bila waktu yang sesuai nk siram, dan waktu yang baik untuk menyiram dan mengalih pokok ke pasu.

Pada masa yang sama, rakan dari Jabatan Landskap Negara pula menghadiahkan saya buku berkaitan landskap dan tanaman. Jadi, saya baca dan nampak macam mudah je nak buat ni haha…

Kemudian, saya belajar cara untuk menyemai anak benih cili dan cuba membuatnya. Susah betul nk cari pokok cili di nursery haha..jadi saya kena semai lah to have one. Semai di dalam cawan kecil dahulu ikut macam dalam youtube kebunbandar. Ketika saya menyemai ni, saya berfikir – tentu kekaguman saya dan iman serta taqwa saya kepada Allah bertambah melihat dari benih ni bercambah menjadi anak pokok, lalu membesar dan mengeluarkan buah/hasil (jangan komen apa-apa haha). Maka hari pun berlalu, 3 hari, 6 hari, 2 minggu….Tanah itu tetap begitu. Tiada perubahan. Saya adukan pada kawan saya – katanya 6 hari memang tiada apa berlaku…biasanya 2 minggu baru akan tumbuh. Maka, saya pun tunggu….

Setelah lebih 2 minggu saya pasti benih itu takkan tumbuh. Dalam pada itu saya sentiasa teringat semula kata-kata saya dalam hati, kalau bercambah ni tentu saya bertambah kagum pada kuasa Allah. Nah..sekarang Allah uji saya dengan kejadian ini. Saya benar-benar insaf dan bertaubat, saya memohon ampun kepada Allah kerana terniat begitu. Sebaliknya, dengan benih yang tidak bercambah ini, saya insaf bahawa Allah sahajalah yang berkuasa ke atas segala sesuatu dari sekecil menumbuhkan biji benih hinggalah kepada kejadian manusia. Kita mungkin rasa rezeki itu dari bumi, sedangkan rezeki datang dari langit. Dari langit lah turun hujan yang menyuburkan bumi, dan membolehkan pelbagai jenis tumbuhan hidup dan tumbuh. Kemudian ada pokok pula disenyawakan melalui angin dan juga binatang. Maha Suci Allah yang berkuasa, bukan tangan manusia yang boleh melakukannya. Hujan, angin, binatang itu semuanya makhluk Allah yang taat sedangkan kita manusia ini banyak sungguh membantahNya.

Maka, tanah itu telah saya gemburkan semula dan saya berazam nk cuba semaikan biji benih yang lain pula. Kali ini jikalau menjadi Alhamdulillah, jika tidak menjadi pun tidak mengapa, saya boleh beli cili di pasar sahaja. J

(Nota: Nukilan ini dihasilkan pada pertengahan Julai, namun, pada awal Ogos, biji benih yang saya semai di dalam bekas telur telah mengeluarkan tunas. Ia mengambil masa sebulan. Alhamdulillah. Tapi ada pula pokok cili yang dibeli – macam nk mati huhu)

Tuesday, 7 July 2020

Panggilan Haji yang belum kesampaian...

Pada saat saya menulis ini, Zulkaedah sudah berada di pertengahan.

Jika takdirnya tiada pandemic COVID-19 ini, pasti kini Tabung Haji dan Hotel Movenpick KLIA sedang sibuk menerima dan menguruskan keberangkatan bakal Jemaah Haji tahun ini. Pelaksanaan ibadah Haji pada tahun 2020 ini mencatat sejarah – ibadah Haji hanya akan boleh dilaksanakan oleh mereka yang berada di Jeddah dan sekitarnya. Tiada foreigners menunaikan Haji pada tahun ini memandangkan Saudi masih tidak menerima penerbangan luar.
(Info terkini dari FB menyatakan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan hanya 10,000 orang Jemaah dibenarkan melaksanakan Haji pada tahun 1441H ini - 70% dari warga asing yang menetap di sana dan baki terdiri daripada frontliners Kementerian Kesihatan Arab Saudi serta keselamatan negara)

Tentunya para bakal Dhuyufurrahman menerima berita ini dengan perasaan yang bercampur baur. Harapnya boleh menerima dengan hati terbuka. Tiada siapa pun yang  boleh dipersalahkan dalam hal ini. Ianya adalah ketentuan dan takdir Allah jua. Tak siapa sangka penangan COVID-19 sehingga boleh membatalkan pelaksanaan ibadah Haji tahun ini.

Wajarlah para bakal Jemaah Haji menerima dengan berlapang dada dan berbaik sangka dengan Allah. Penangguhan ini membolehkan para Jemaah untuk memperkukuh lagi pengetahuan dan ibadat menjelang musim Haji tahun hadapan. Tidak perlu timbul isu dah belanja sekian-sekian, dah buat persiapan sekian-sekian. Malah, isu ada umur atau tidak pada tahun hadapan juga kita serahkan sahaja kepada Allah. Allah Maha Mengetahui niat hambaNya. Allah tahu kesungguhan para bakal Jemaah untuk menunaikan haji pada tahun ini. Larangan itu bukan hanya melibatkan negara Malaysia, malah seluruh dunia.

Fikir yang baik-baik sahaja. Mungkin nanti jika diadakan semula Kursus Asas Haji, para bakal Jemaah boleh mengulanginya untuk menambah pengetahuan. Mana tahu kan, jika disampaikan oleh pengajar yang lain, tentu ada tambahan point lain yang boleh ditambah nilai pada diri kita. Pada mereka yang masih kekurangan persiapan dari segi kewangan dan material, inilah masanya untuk top-up persediaan yang masih kekurangan. Jangan dilupakan persiapan dari sudut kerohanian dan menjaga kesihatan diri dengan melakukan senaman serta menjaga pemakanan. Untungnya kerana mempunyai banyak masa untuk melengkapkan diri dengan persiapan rohani, mental dan fizikal. Justeru, jadikan pelaksanaan ibadah Haji pada tahun hadapan sebagai satu perjalanan kembara rohani yang berbaloi dan bermakna, moga-moga beroleh ibadah yang mabrur hendaknya, Amin.

Sementara itu, memandangkan sekarang masih lagi ada masa untuk Pesta Buku dalam Talian Terbesar di Malaysia (shoppee.com.my/klibf), para bakal Jemaah Haji boleh mencari kombo buku ini. Saya sarankan setiap bakal Jemaah (khususnya yang bermula dari zero macam saya) untuk membaca Travelog Haji – Mengubah Sempadan Iman ini beserta 50 Tips Motivasi Haji dan Umrah karya Prof Muhd Kamil Ibrahim. Bagi saya karya ini segar kerana saya sendiri membacanya dari semasa ke semasa. Ulasan dan perasaan saya terhadap buku ini boleh dibaca di blog saya (yang bersawang itu) http://altismerah.blogspot.com/2020/04/ulasan-buku-4-travelog-haji-mengusik.html.

Justeru, saya menyeru dan berpesan kepada semua bakal Haji pada tahun ini, jangan sedih, jangan terkilan, insyaAllah Allah Maha Tahu dan Maha Mengasihi. Allah memberikan masa kepada tuan/puan untuk menyediakan diri dengan lengkap selengkapnya sebelum menjadi tetamuNya nanti. Persiapkan diri, mudah-mudahan ibadah Haji tuan/puan nanti dikurniakan pahala dan ganjaran tertinggi di sisiNya. Amin Ya Rab.


(turut dimuatnaik ke FB)

Thursday, 14 May 2020

B.A.U

Semua ada bau.

Apa kebenda tajuk ni? BAU? Ye – bau. Sesuatu yang kau hidu melalui hidung dalam keadaan normal.
Sesuatu bau itu, bagi saya boleh dikaitkan dengan sesuatu kenangan, tempat, kejadian dan sebagainya.

Ha – nak tulis mengenai apa ini? Tentang bau lah – sesuatu yang kita hidu.
Kalau bau rendang – tandanya nak Raya. Boleh makan dengan ketupat.
Bau makanan – tandanya kalau ada rezeki boleh makan dan isi perut..
Bau bedak baby dan minyak Yuyi – mengingatkan kita pada bau baby.
Bau minyak wangi – pada yang pakar akan tahu sama ada tulen atau tidak, mahal atau murah.
Bau busuk – sesuatu yang kita tak suka.

Selain itu, percaya tak kalau saya kata cuaca ini ada bau? Entahlah – tapi rupanya ada orang kata benda yang sama sebab sy pernah terbaca.

Bila hari nk hujan atau hari hujan, ada baunya tersendiri.
Bila panas terik – ada bau yang macam kering.
Bila berada di hutan atau kawasan yang banyak pokok, ada bau yang segar. Mungkin sebab oksigen banyak.

Laut pun ada baunya tersendiri. Bila berada di tepi laut, sy pejam mata dan tarik nafas panjang-panjang dan dalam-dalam. Bau laut adalah bau yang sangat biasa dan selalu dirindukan sebab sy membesar di kawasan yang ada laut.

Musim yang berbeza pun ada bau (disamping warna) yang berbeza. Betul ke? Begitulah yang saya rasa. Meskipun tidak merantau ke luar negara, tapi kesempatan beberapa kali itu saya ingat dan pahatkan dlm ingatan.

Musim sejuk ada bau yang lain dari musim bunga yang segar. Saya tidak mengecam bau musim luruh, tapi suasananya dull.

Saya juga masih ingat – setiap anak saya ada bau yang berbeza masa mereka kecil.
Malah – Tanah Suci juga ada bau yang saya kesan ketika itu. Mungkin cuaca panas yang bercampur minyak atar agaknya..

Kenapa saya bangkitkan tentang bau? Sebabnya – betapa bersyukur hidung saya yang sensitive ini mengesan dan saya ingat bau-bau tertentu. Memang hidung saya sensitif betul – tak boleh ada habuk, perubahan sejuk ke panas atau vice versa, tumisan masakan semua boleh buat bersin tak henti2. Kalau saya menangis atau baru je nk menangis, hidung pun merah semacam.

Syukurnya kita yang normal ini boleh bau macam2. Ini adalah nikmat yang selalu kita abaikan. Alhamdulillah Allah pinjamkan nikmat ini. Harapnya di syurga nanti ada bau yang enak2.
Terima kasih Allah.

Tuesday, 28 April 2020

Menyesal

Menyesal..menyesal
(Amaran - Mungkin korang akan menyesal selepas baca catatan saya ini)

Salam 6 Ramadhan 1441 (PKP hari ke 43)

Sebenarnya sy tidak mengira hari PKP ke berapa. Biasanya sy lost count. Saya browse FB tadi dan mendapati rakan FB mencatat hari ini hari ke 43. Sedar tak sedar sudah lebih sebulan norma yang baru ini berlangsung.

Kenapa tajuk catatan ini menyesal? Mudah – sebab saya menyesal atas perkara2 yang tidak produktif sepanjang PKP ini berlangsung.
Saya menyesal atas ingatan pada Allah yang sedikit dan tidak mencukupi.
Saya menyesal kerana masa yang telah berlalu tidak dimanfaatkan sebaiknya.
Saya menyesal kerana ada masa saya telah tersasar browing perkara yang tidak berfaedah.
Saya menyesal kerana tidak istiqamah cuba menjadi lebih baik setiap hari.
Saya menyesal atas ibadah yang tidak bertambah atau menjadi lebih baik.
Saya menyesal kerana dalam Ramadhan ini peratusan iman dalam diri saya rasa masih mendatar
Banyaknya benda saya menyesal…

Itu baru di dunia. Di dalam kubur? Macam mana di akhirat nanti?
Saya pasti kita ini semua akan menyesal.
Yang banyak amal akan menyesal kerana tidak memperbanyakkan lagi amalnya.
Yang sedikit amalnya akan menyesal kerana mensia-siakan waktu yang ada ketika hidup.
Semua akan menyesal..percayalah.

Kita ini hanya ada 3 masa sahaja dalam hidup.
1. Masa lalu – sudah pun berlalu. Tidak boleh diulang pun. Orang kampong saya kata cannot rewind.
2. Masa kini – Yang sedang kita jalani. Masa inilah yang kita kena jalani sebaiknya. Berusaha dan bertawakal. Bukan pasrah semata2.
3. Masa akan datang – ini sesuatu yang tidak pasti untuk kita jalani. Tak ada suatu makhluk pun yang tahu apa yang akan dia jalani pada esok hari, even sedetik nanti.

Semua isu kekesalan ni saya simpulkan pada dasarnya adalah kerana satu faktor iaitu MASA.

Nak mencatat ini pun sebenarnya rasa malu sebab semua di atas tu. Malu bila terkenang balik orang-orang yang saya ketahui kental dan gigih memenuhi masa dengan bermanfaat.

Meskipun dalam waktu PKP ini, ada para asatizah yang membuat kuliah secara online menggantikan kuliah di surau/masjid.
Saya lihat YB menteri Agama dalam IG beliau sebelum menjadi Menteri – mengisi masa seboleh daya dengan bekerja, menjara kitab, kuliah dhuha, menulis hatta waktu dalam kapal terbang pun dimanfaatkan dengan menulis.
Ada idola penulisan harinya penuh dengan menguruskan keluarga, menguruskan akademi penulisan, menulis dan beribadah.
Ada bos saya waktu PKP ini mampu mengendalikan mesyuarat online sesi pagi, sesi petang, dan sesi malam. Saya yang hanya menyertai mesyuarat (tanpa banyak bercakap) pun selalu mengeluh..tapi kagum dengan semangat kental mereka ini.

Dari itu, pada minggu awal PKP itu, dalam cubaan saya untuk mengurangkan rasa kesal yang saya bakal lalui itu, saya menetapkan kepada diri saya kena baca buku sekian banyak , cuba untuk menulis ulasan buku (dalam blog), pengetahuan mesti bertambah, fikir dan buat perkara yang positif, cuba masak resipi baru (sebab tak pandai masak), mesti paksa anak jangan buang masa main game dan paksa mereka belajar (haha) dan saya sendiri pun cuba untuk tidak membaca perkara-perkara yang tidak berfaedah di media social. Saya mmg hanya bersahabat dengan orang yang saya kenal sahaja di FB, manakala IG saya hanya follow individu tertentu. Saya tidak mahu melihat kehidupan orang seperti apa mereka masak, pergi bercuti ke mana, gambar OOTD dll – cukuplah sy melihatnya di FB sahaja. Sy settingkan IG sy untuk perkara yang saya mahu lihat, baca dan tahu sahaja. Sy kesal kalau sy baca berita yang tidak bernilai seperti artis mimpi apa malam tadi, lupa masak nasi sebelum sahur ke berbuka, artis tumbuh jerawat.

Cubaan untuk mengurangkan rasa kesal itu tetap menerbitkan rasa kesal dalam diri saya. Selepas menulis ini, sy berazam akan teruskan cubaan untuk mengurangkan pembaziran waktu. Saya ada silent KPI dan sy usahakan dalam diam.

Kalau anda yang menyesal membaca catatan saya ini, mohon maaf lah. Kalau anda mempunyai rasa yang sama seperti saya dan berubah dengan memanfaatkan masa yang ada, Alhamdulillah.

Manfaatkan masa yang ada kawan..

Hidup ini singkat, penuhi dengan perkara yang bermanfaat.


Sunday, 19 April 2020

Ulasan Buku 4 : Travelog Haji Mengusik Hati

Ulasan Buku 4 (Ulasan 3 dalam 1)

Tajuk : Travelog Haji Mengusik Hati
Pengarang : Muhd Kamil Ibrahim dan Roza Roslan
Penerbit : PTS Islamika Sdn. Bhd.
Tahun Cetakan : 2015 (cetakan keenam)
Bil. Muka surat : 531
Harga : RM50.00

Buku ini merupakan kompilasi 3 buah buku iaitu:
Buku 1 : Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman
Buku 2 : Travelog Dakwah : Menanti Hari Esok
Buku 3 : 50 Tip Motivasi Haji


Buku 1 : Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman

Buat bakal Jemaah Haji, rasanya buku ini begitu sinonim dengan mereka. Memang apa yang dicatatkan adalah pengalaman dan pesanan dari seorang yang biasa-biasa dan tiada apa-apa dalam persediaan menunaikan haji. Bukan semua orang memiliki pengetahuan agama yang cukup, ada yang sekadar Islam pada nama, ada yang sekadar Islam cukup makan. Taraf dan ‘maqam’ ilmu kita itu tidak sama.

Buat diri saya sendiri, ‘pertemuan’ dengan buku ini sangat sesuai dan tepat pada masanya. Saya juga seorang yang biasa-biasa, pengetahuan agama hanya sekadarnya sahaja. Saya tidak melalui ‘sekolah agama’ kerana zaman itu rasanya hanya negeri Johor sahaja yang ada sekolah agama. Saya dijemput menunaikan haji lebih awal dari jangkaan (awal setahun saje pun). Setahun sebelum itu saya dah mula kalut cuba menyediakan diri dengan mencari bahan bacaan yang berkaitan dan bermula dari situlah, saya ketemu dengan buku ini. Menariknya, saya membacanya secara maya terlebih dahulu di e-book yang saya beli dengan harga RM6.00 sahaja. Ia saya baca berulang-ulang sehinggakan sewaktu berada di Tanah Suci pun saya membacanya bila ada masa lapang seperti sewaktu menunggu suami di mana-mana atau sekadar ingin refresh ingatan.

Menyedari ada seorang umat yang telah berubah dalam perjalanan rohaninya menunaikan rukun Islam kelima, saya yakin bahawa saya juga boleh melaluinya. Bahawa sesungguhnya perjalanan rohani itu benar-benar mengubah sempadan iman.

Penulis mengisahkan dirinya yang zero, yang langsung tak pandai mengaji Quran tapi telah merendahkan dirinya untuk kembali belajar dari awal. Bayangkan seorang yang memiliki PHD berpangkat professor, berkongsi kisah beliau yang tak mungkin semua sudi membuka pekung di dada.

Beliau menceritakan kisahnya dari sebelum menunaikan haji, semasa dan juga pasca haji. Jangan dicari hukum-hakam kerana yang diceritakan adalah pengalaman peribadi. Ada petua yang dicadangkan yang memang bermanfaat buat saya – seperti mengekalkan waktu tidur seperti di Malaysia, tetapi ada juga petua yang sudah tidak sama seperti waktu beliau menulisnya seperti bangun awal untuk ke tandas di Mina pada pukul 2 pagi. Ketika saya menunaikan haji, keadaan begitu sesak dan penunggu tandas ada pada setiap jam.

Ada juga doa-doa yang dilampirkan, yang boleh pembaca ambil dan jadikan panduan. Kepada anda yang bakal menunaikan haji, jemputlah membaca buku ini. Kemudian, mungkin boleh mencari video-video penulis ini berkaitan pengalaman menunaikan haji ini di youtube. Maklumat dihujung jari …tetapi jangan lupa belajar mesti berguru. Jangan bermazhabkan youtube.

Selamat membaca dan moga-moga kita juga beroleh haji yang mabrur. Amin.

Buku 2 : Travelog Dakwah : Menanti Hari Esok

Travelog ini mengandungi catatan bersama Prof Kamil dan isterinya. Intipatinya adalah catatan dakwah berkisarkan kehidupan pasca haji. Tentang bagaimana perlahan-lahanberubah untuk menjadi lebih baik.

Menjadi baik itu bukan dengan sekelip mata. Tidur dan esok buka mata terus menjadi baik sebaik-baik umat. Untuk menjadi baik itu perlukan pengorbanan, perlu bersusah payah. Ini adalah kerana syurga itu indah, tetapi dipagari dengan perkara yang tidak disukai nafsu.

Lalu, catatan dalam travelog dakwah ini memperihalkan kisah-kisah yang memberi kesedaran kepada penulis dan juga kepada pembaca.

Buku 3 : 50 Tip Motivasi Haji

Buku ini pertama kali saya baca (mungkin tahun 2016) ketika menunggu giliran untuk berjumpa TKP (Dasar) di tempat kerja. Oleh kerana ada orang lain sedang berjumpa beliau, maka saya menunggu di luar biliknya. Saya terlupa membawa handphone, lau saya minta sesuatu yang boleh dibaca pada setiausaha (PA) beliau. PA beliau memberikan saya buku ini ‘to kill the time’. Banyak juga yang saya baca sementara menunggu tu…Agaknya melihat saya yang teruja sangat membaca buku ini, PA beliau menyuruh saya membawa balik dahulu dan pulangkannya apabila selesai membaca.
(Nota : TKP (Dasar) kemudiannya naik pangkat sebagai KP dan kemudian selepas bersara, beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Audit Negara – pada waktu catatan ini ditulis)

Lalu, apabila saya terjumpa kompilasi buku ini, mengapa berfikir dua kali untuk memilikinya? Ini memang buku MESTI BELI. Tip-tip motivasi haji yang terkandung di dalamnya banyak yang saya amalkan. Banyak pahala mengalir kepada penulis buku ini. Memang sungguh-sungguh memberi panduan kepada saya yang serba tidak tahu.

Banyak yang saya belajar dan aplikasikan dari bab-bab yang ada. Antaranya seperti Memahami Asas Haji, Menjaga Hubungan, Beg Pakaian, Pakaian, Rakan Sebilik, Shopping, Cenderamata Istimewa, Merokok dan lain-lain. Contohnya, setahun sebelum berangkat saya berdoa sungguh-sungguh memohon agar dipermudahkan urusan sebelum berangkat, semasa di Tanah Suci, semasa waktu puncak Haji, memohon rakan sebilik yang serasi, memohon agar saya tidak keterlaluan shopping (dalam keadaan biasa pun sebenarnya saya bukan jenis yang suka bershopping) dan banyak lagi. Setahun sebelum mengerjakan haji saya mula melatih diri melembutkan hati, berfikir positif, bercakap yang baik-baik dan lain-lain.

Pendek kata, insyaAllah segala tips yang dititipkan memberi motivasi sebelum mengerjakan Haji. Kita belajar dengan pengalaman orang lain untuk menjadi lebih baik atau sekrang-kurangnya sama baik seperti orang itu. Paling tidak pun, kita berubah dari keadaan dahulu kepada arah yang lebih baik. Orang lain pula akan belajar melalui pengalaman kita melalui penceritaan atau pembacaan nota (jika ada). Cuma ada orang yang tak suka membaca tapi lebih suka mendengar…terpulang pada cara masing-masing lah untuk mendapatkan input. Pada akhirnya Allah jualah yang mengurniakan kefahaman ke atas sesuatu yang kita pelajari.

Jadi, selepas membaca ulasan saya, anda teringin tak untuk memiliki buku ini? Kalau nak pinjam buku saya- kena pulang balik..kalau tak, nehiiiii…..

#Malaysiamembaca


Tuesday, 7 April 2020

Ulasan Buku 3 : Solat Mukmin vs Solat Muslim

Ulasan Buku 3

Tajuk : Solat Mukmin vs Solat Muslim
Pengarang : Ustaz Muhammad Nasib Zawawi
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Tahun Cetakan : 2018
Bil. Muka surat : 114
Harga : RM18.00


Buku ini saya cari dan beli setelah mendengar slot Motivasi Pagi di IKIM FM setiap Isnin-Jumaat jam 7.30 pagi sewaktu memandu ke tempat kerja. Mungkin sekitar bukan Oktober atau November 2017. Penerangan yang diberikan sangat mudah difahami. Lalu, apabila saya tahu bahawa ada buku ini di pasaran, saya pun mencarinya.

Membaca buku ini mengingatkan semula sedikit demi sedikit kepada apa yang disampaikan oleh ustaz ini melalui slot Motivasi Pagi itu. Hanya 10 minit, tetapi 10 minit yang bermakna. Di awal penulisan, ustaz membandingkan antara muslim dan mukmin. Saya masih ingat lagi – Seorang mukmin itu semestinya seorang muslim, tetapi seorang muslim tidak semestinya seorang  mukmin.  Mula-mula saya sekadar ingat, lama kemudian baru saya faham…faham yang betul2 sampai hati J

Seorang muslim adalah seorang yang menyerahkan dirinya kembali ke dalam agama Islam melalui pengakuannya. Seorang mukmin pula adalah seseorang yang kembali ke dalam agama Islam dengan keyakinan dan keimanan yang kukuh bertapak di dalam hatinya. Maknanya, pengakuan keIslamannya bukan sekadar lafaz syahadah, tapi tertanam dalam hati (itu iman), bertambah dari semasa ke semasa dan tentulah dibuktikan dengan perlakuan.

Buku ini mengandungi 21 bab. Sebagaimana tajuknya Solat Mukmin vs Solat Muslim, setiap bab pun ada oppositenya atau ‘vs’ nya. Penekanan diberikan kepada perkara yang berkaitan dengan solat semata-mata seperti masa solat, kesungguhan melaksanakan solat, pergerakan, keseronokan solat dan banyak lagi. Contoh tajuk bab adalah seperti Solat Jemaah vs Solat Sendirian, Solat Awal Waktu vs Solat ikut suka hati dan Sungguh-sungguh dan khusyuk vs sambil lewa.

Sudah tentu banyak ilmu yang saya ambil dari buku ini walaupun ianya santai. Dengan secebis ilmu itulah yang saya cuba perbaiki diri saya dari semasa ke semasa. Kemudian cuba menerapkannya kepada keluarga. Dalam keadaan anak-anak semakin membesar ini, saya sentiasa perlukan panduan untuk membentuk keluarga dan membawa semua kepada jalanNya. Saya tidak akan tahu bagaimana pengakhiran saya dan bagaimana nasib anak-anak ketika besar nanti, yang saya boleh usahakan cuma apa sahaja yang terbaik dalam tempoh membesar dan dengan masa Tuhan pinjamkan ini.

Jika berminat boleh mencarinya di kedai buku berhampiran anda!! Selamat membaca.


#Malaysiamembaca

Tuesday, 31 March 2020

Ulasan Buku 2 : Beri Dua Minit

Tajuk : Beri Dua Minit
Pengarang : Muhd Kamil Ibrahim
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Tahun Cetakan : 2019
Bil. Muka surat : 203
Harga : RM25.00


Buku ini saya beli di Pesta Buku Antarabangsa KL (PBAKL) 2019 (genap setahun yang lalu ketika saya menulis draf ulasan ini), dan saya sempat beramah mesra dengan penulis serta isterinya. Malah, saya dapat juga tandatangan beliau.

Kenapa beri dua minit?
Sebab hanya dua minit (atau kurang) diperlukan untuk membaca setiap bab yang ada. Ada 100 bab yang pendek..sekitar dua muka surat sahaja. Saiz font pun sedap mata untuk membacanya, tidak terlalu kecil atau besar untuk yang mempunyai sindrom ‘mata tua’ seperti saya (tapi masih selesa membuka cermin mata apabila membaca).

Nama penulis adalah satu nama yang tak perlu diperkenalkan lagi khususnya kepada mereka yang mencari bahan bacaan berkaitan Haji dan Umrah. Bukunya yang bertajuk Travelog Haji dan Umrah : Merentas Sempadan Iman memang saya baca berkali-kali (saya mempunyai versi e-book dan juga buku). Dipendekkan cerita, beliau kini (sewaktu review ini ditulis) merupakan pensyarah di UniKL.

Mengenali penulis melalui beberapa buku tulisannya yang telah saya miliki, beliau banyak menekankan akan kepentingan menghargai masa yang masih berbaki supaya kita bersedia di negeri abadi. Umur umat Nabi Muhammad saw ini sekitar 63 tahun dan jika melepasinya, maka itu tanda Allah beri bonus kepada kita. Beliau sentiasa menekankan (dalam pelbagai penulisannya) pentingnya untuk solat malam, solat sunat, berbaik sangka, solat Jemaah di masjid (bagi lelaki), masuk syurga tanpa hisab, syafaat yang kita perlukan, perihal Haji dan kenangan di Madinah (sekadar menyebut beberapa perkara). Penulis adalah satu contoh orang biasa yang telah transform menjadi luar biasa.

Berbalik kepada buku ini, ia merupakan bahan bacaan santai yang mudah dibaca dan boleh dihabiskan bacaan dengan cepat. Perkara yang dibangkit dalam dalam setiap bab boleh dijadikan bahan untuk tazkirah ringkas selepas solat berjemaah (yang beliau sentiasa tekankan dan saya ambil pengajaran). Namun, tazkirah ringkas ini bukanlah semestinya slepas solat sahaja. Ia boleh dilakukan di mana sahaja. Mungkin bersama kawan sewaktu menunggu makanan tiba, bersama anak-anak di rumah, di dalam kereta, sewaktu bercuti dan lain-lain. Mudahnya membina taman syurga.

Bahasa yang digunakan dalam buku ini juga santai dan mudah difahami. Tidak berat atau berunsur akademik (kerana beliau seorang pensyarah!) namun tetap menyentuh hati. Sesuai lah dengan masyarakat sekarang yang mahukan benda-benda yang serba pantas. Saya sendiri tidak ingat berapa kali saya mengulang membaca buku ini atau setidaknya membuka bab tertentu (saya memang tidak membaca sesebuah buku hanya sekali). Tetapi yang jelas, apabila saya memilih buku untuk ditulis ulasan, memang saya akan membacanya sekali lagi.

Bagi yang berhasrat mahu mula membina taman syurga, buku ini sangat sesuai untuk dibaca dan dijadikan panduan. Mudah dan santai.

Selamat membaca.

#Malaysiamembaca

Thursday, 26 March 2020

Ulasan Buku 1 : Nota daripada Tuhan

Tajuk : Nota daripada Tuhan
Pengarang : Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz
Penerbit : Telaga Biru
Tahun Cetakan : 2017 

Buku ini mengandungi 3 bahagian iaitu Al-Quran dan ilmu, Sejarah dan Akhlak. Terdapat 36 nota di dalamnya. Setiap nota ditulis dengan santai dan bahasa yang mudah difahami, seolah-olah tazkirah pendek yang disampaikan secara lisan kepada pendengar.

Kenapa Nota daripada Tuhan?
Buku ini tidak dinamakan dengan Nota daripada Allah, supaya dapat menarik juga pembaca yang belum Islam untuk membacanya. Penulisan ini sebenarnya catatan tafsir yang ringkas dan mudah. Kalau anda pernah membelek tafsir Ibnu Katsir atau lain-lain tafsir (you name it - Tafsir Munir, Al-Jalalain etc), lenggok bahasanya agak sukar difahami. Tapi ada tafsir yang dah dipermudahkan bahasanya tanpa menjejaskan maksud yang hendak disampaikan. Ayat-ayat Al-Quran itu adalah pesanan Allah kepada kita.

Buku ini – kepada orang biasa (macam saya) merupakan cerita pendek atau kisah sebenar yang diilhamkan daripada apa yang berlaku di sekitar dan dikaitkan dengan ayat-ayat di dalam Al-Quran. Ayat yang dipetik pula tidak panjang, dan sebenarnya mampu membuat pembaca berhenti dan berfikir. Setiap nota pula tidak panjang, dan mungkin memerlukan pembacaan dalam tempoh kurang dari 5 minit. Kalau anda jenis yang speed reading, mungkin 2 minit sahaja.

Kenapa saya beli buku ini? Saya pun tak pasti, mungkin ketika itu saya memerlukan bahan bacaan yang berbentuk Islamik dan tidak kompleks. Tertulis di depannya, tafsir ringkas untuk orang moden. Orang moden biasanya sibuk dan tidak mempunyai banyak masa. Saya tidaklah mahu mengiyakan bahawa saya tergolong dalam orang yang tidak mempunyai masa, tapi tidak menafikan bahawa saya mahukan banyak perkara dipelajari dan difahami dengan cepat (saya adalah salah satu lambang sifat manusia yang tidak sabar).

Secara ringkasnya, saya sukakan buku ini dan telah banyak kali ulang membacanya. Saya memilih buku ini sebagai buku yang pertama untuk diulas (setelah sekian lama berhajat untuk memulakan ulasan buku) kerana kebetulan saya mengulang untuk membaca semula nota-nota tertentu.

Mengenai penulisnya, beliau adalah seorang pensyarah di UIAM. Saya pernah terbaca mengenai beliau (maaf tak ingat di mana) bahawa beliau menyedari boleh mengingat ayat Quran ini secara tidak disedari pada satu malam ibunya membaca Al-Quran dan beliau membuat kerja sekolah. Ibunya mengulang baca dan beliau boleh membetulkan bacaan ibunya hanya dengan mendengar sebelumnya. Kagum kan? Dari situ, saya cuba menyelami beliau secara luaran. Beliau ini seorang yang lembut tutur katanya, bicaranya  tersusun dan tidak berlebihan. Bidang beliau tentulah tak lain tak bukan ialah tafsir Al-Quran.

Selamat membaca.