Friday, 9 October 2020

Perlukah Tabika Elit?

Minggu lepas KPLB mengumumkan akan mewujudkan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) elit, khusus untuk ibu bapa yang mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar yuran yang lebih tinggi. Tabika elit ini akan menyediakan kurikulum lebih baik berbanding tabika biasa yang mengenakan bayaran RM5 – RM25 sebulan.

Kertas kerja bagi cadangan ini sedang disediakan dan dikhabarkan akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet  untuk dinilai.  Modul e-STREAM (Sains, Teknologi, Agama, kejuruteraan, Seni dan Matematik) akan diterapkan dalam konsep kelas pintar pembelajaran awal kanak-kanak di Tabika elit ini. Beritanya adalah disini :

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/09/625592/kemas-cadang-wujudkan-tabika-elit

Cadangan ini menerima pelbagai reaksi masyarakat yang rata-ratanya menentang pelaksanaan Tabika Elit ini. Di sebaliknya pula, mungkin ada golongan yang menyokong pelaksanaannya, cuma berada di platform lain yang tidak saya baca.

Namun, apabila saya terbaca cadangan ini, reaksi saya ialah – serius ha?

Pendidikan jangan dipolitikkan.

Sama ada pendidikan sekolah atau pendidikan tinggi, apatah lagi pendidikan awal kanak-kanak, jangan lah dipolitikkan. Mungkin ada yang argue bahawa politik tidak dapat dipisahkan dengan pelbagai urusan termasuk pendidikan, ok whatever, tetapi jangan sekali-kali mempolitikkan pendidikan.

Kanak-kanak seawal umur 4-6 tahun wajar mendapat pendedahan dan pendidikan awal dengan kualiti yang sama. Kita memperjuangkan kesamarataan dalam pendidikan dan cuba memastikan sebaik mungkin agar tiada yang terpinggir/tertinggal/tercicir. Maknanya, walau apa pun tahap pendapatan dan latar belakang keluarga, anak-anak berhak mendapat pendidikan awal yang berkualiti sebagai pendedahan awal kepada sistem pendidikan negara. Silalah berpolitik, tapi jangan melibatkan politik dalam pendidikan khususnya pendidikan awal kanak-kanak. Awal-awal kita memberi isyarat kepada anak-anak kita bahawa ada jurang di antara yang berada dengan yang miskin. Kasihan kepada yang kurang berada, kerana terpaksa memilih tahap pendidikan yang biasa-biasa sahaja, sedangkan yang berduit berhak mendapat yang terbaik. Jika dibiarkan keadaan ini berlaku, percayalah, jurang pendidikan di kalangan T20 dan B40 akan semakin membesar dan semakin susah untuk kumpulan B40 bersaing dan berpindah ke kelas menengah/M40.

Pendidikan jangan diniagakan.

Tapi akan sentiasa ada pilihan kepada ibu bapa untuk memilih penyedia swasta yang menyediakan pendidikan awal dengan kurikulum tertentu. Ini adalah open market dan terpulang kepada pilihan sendiri. Kalau rasa pendidikan yang disediakan oleh kerajaan tu tak level dengan diri dan pendapatan, boleh saja memilih sekolah swasta yang sesuai dan sepadan dengan kehendak ibu bapa. Kita sedia maklum, ada ibu bapa yang berkehendak anak mereka menerima pendidikan bertaraf antarabangsa, ataupun pendidikan yang berteras kurikulum agama, atau pendidikan dengan model tertentu. Tapi biar pendidikan swasta ini dipelopori atau diterajui oleh pihak swasta dan biar Kerajaan kekal dengan menyediakan pendidikan dengan percuma atau dengan kos yang paling minimum.

Alternatif pelaksanaan

Kerajaan tidak perlu menjadikan pendidikan ini sebagai sumber pendapatan. Sebagai satu opsyen, kerajaan boleh menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada semua, dengan model kurikulum tertentu, tetapi mengenakan bayaran yang berbeza kepada mereka di kalangan tahap pendapatan berbeza. Contohnya, jika sekarang bayaran bulanan Tabika KEMAS hanya dalam lingkungan RM15-RM25 sebulan, maka ibu bapa dengan tahap pendapatan yang tertentu boleh dikenakan bayaran yang berbeza. Satu mekanisme perlu dibangunkan untuk menangani perkara ini. KEMAS pun sekarang menyediakan guru Tabika dengan pendidikan diploma. Sebagai seorang ibu yang anak semuanya menerima pendidikan awal di Tabika KEMAS, saya berpuas hati dengan pendidikan yang diterima. Tabika kini bukan lagi sekolah main dan makan seperti zaman saya dahulu, sebaliknya, ada model yang kalau saya boleh kata sebagai pedagogi pengajaran yang menarik. Anak saya belajar mengenal huruf,membaca dalam Bahasa Melayu, English, asas Matematik, pendidikan agama, seni dan sukan. Tidakkah itu cukup untuk seorang budak berumur 5 dan 6 tahun?

Apa yang kita hendak jadikan anak kita?

Anak kita tu baru berumur 5 atau 6 tahun. malah ada sesetengah ibu bapa menghantar anak ke taska/tabika seawal umur 4 tahun. Beb…4 tahun ni patut kita biarkan mereka menikmati alam kanak-kanak dengan riang tanpa perlu fikir kerja sekolah…Takkan kita nak anak kita jadi setaraf saintis bila masuk darjah 1? Kamonnnn…..masa saya darjah 1 pun baru belajar A, B, C dan kemudian lukis corak2 bawah latihan tulisan tu…jauh sekali nk belajar ayat matematik seperti ‘Ali ada 2 biji oren, Abu ada 1 biji oren. Berapa biji oren semuanya?’ Hairan sungguh sistem pendidikan kita (dan hairan juga dengan ibu bapa yang kalau boleh agaknya lahir je anak itu terus jadi pandai!!). Tapi iyalah…dunia berubah menjadi lebih pelik berbanding dahulu, persaingan semakin tinggi, penduduk semakin padat dan cabaran pun semakin bertambah.

Walau apapun, ada eloknya cadangan ini diperincikan lagi oleh pihak kementerian dan kementerian pun patut kembali kepada matlamat asalnya untuk membangunkan luar bandar. Elok jika pendidikan yang sama kualitinya seperti Tadika swasta disediakan untuk dinikmati anak-anak dikalangan penduduk luar bandar. Jangan ‘kastakan’ anak-anak kita.

#nooneleavebehind

No comments:

Post a Comment