Pada saat saya menulis ini, Zulkaedah sudah berada di
pertengahan.
Jika takdirnya tiada pandemic COVID-19 ini, pasti kini Tabung Haji dan Hotel Movenpick KLIA sedang sibuk menerima dan menguruskan keberangkatan bakal Jemaah Haji tahun ini. Pelaksanaan ibadah Haji pada tahun 2020 ini mencatat sejarah – ibadah Haji hanya akan boleh dilaksanakan oleh mereka yang berada di Jeddah dan sekitarnya. Tiada foreigners menunaikan Haji pada tahun ini memandangkan Saudi masih tidak menerima penerbangan luar.
(Info terkini dari FB menyatakan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan hanya 10,000 orang Jemaah dibenarkan melaksanakan Haji pada tahun 1441H ini - 70% dari warga asing yang menetap di sana dan baki terdiri daripada frontliners Kementerian Kesihatan Arab Saudi serta keselamatan negara)
Tentunya para bakal Dhuyufurrahman menerima berita ini dengan perasaan yang bercampur baur. Harapnya boleh menerima dengan hati terbuka. Tiada siapa pun yang boleh dipersalahkan dalam hal ini. Ianya adalah ketentuan dan takdir Allah jua. Tak siapa sangka penangan COVID-19 sehingga boleh membatalkan pelaksanaan ibadah Haji tahun ini.
Wajarlah para bakal Jemaah Haji menerima dengan berlapang
dada dan berbaik sangka dengan Allah. Penangguhan ini membolehkan para Jemaah
untuk memperkukuh lagi pengetahuan dan ibadat menjelang musim Haji tahun
hadapan. Tidak perlu timbul isu dah belanja sekian-sekian, dah buat persiapan
sekian-sekian. Malah, isu ada umur atau tidak pada tahun hadapan juga kita
serahkan sahaja kepada Allah. Allah Maha Mengetahui niat hambaNya. Allah tahu
kesungguhan para bakal Jemaah untuk menunaikan haji pada tahun ini. Larangan
itu bukan hanya melibatkan negara Malaysia, malah seluruh dunia.
Fikir yang baik-baik sahaja. Mungkin nanti jika diadakan
semula Kursus Asas Haji, para bakal Jemaah boleh mengulanginya untuk menambah
pengetahuan. Mana tahu kan, jika disampaikan oleh pengajar yang lain, tentu ada
tambahan point lain yang boleh ditambah nilai pada diri kita. Pada mereka yang
masih kekurangan persiapan dari segi kewangan dan material, inilah masanya
untuk top-up persediaan yang masih
kekurangan. Jangan dilupakan persiapan dari sudut kerohanian dan menjaga
kesihatan diri dengan melakukan senaman serta menjaga pemakanan. Untungnya
kerana mempunyai banyak masa untuk melengkapkan diri dengan persiapan rohani,
mental dan fizikal. Justeru, jadikan pelaksanaan ibadah Haji pada tahun hadapan
sebagai satu perjalanan kembara rohani yang berbaloi dan bermakna, moga-moga
beroleh ibadah yang mabrur hendaknya, Amin.
Sementara itu, memandangkan sekarang masih lagi ada masa
untuk Pesta Buku dalam Talian Terbesar di Malaysia (shoppee.com.my/klibf), para
bakal Jemaah Haji boleh mencari kombo buku ini. Saya sarankan setiap bakal
Jemaah (khususnya yang bermula dari zero macam saya) untuk membaca Travelog
Haji – Mengubah Sempadan Iman ini beserta 50 Tips Motivasi Haji dan Umrah karya
Prof Muhd Kamil Ibrahim. Bagi saya karya ini segar kerana saya sendiri
membacanya dari semasa ke semasa. Ulasan dan perasaan saya terhadap buku ini
boleh dibaca di blog saya (yang bersawang itu) http://altismerah.blogspot.com/2020/04/ulasan-buku-4-travelog-haji-mengusik.html.
Justeru, saya menyeru dan berpesan kepada semua bakal Haji
pada tahun ini, jangan sedih, jangan terkilan, insyaAllah Allah Maha Tahu dan Maha
Mengasihi. Allah memberikan masa kepada tuan/puan untuk menyediakan diri dengan
lengkap selengkapnya sebelum menjadi tetamuNya nanti. Persiapkan diri,
mudah-mudahan ibadah Haji tuan/puan nanti dikurniakan pahala dan ganjaran
tertinggi di sisiNya. Amin Ya Rab.
![]() |
(turut dimuatnaik ke FB)
No comments:
Post a Comment