Thursday, 29 October 2020

Salam Maulidur Rasul

 

Salam Maulidur Rasul

Kita meraikan hari lahir junjungan mulia Nabi Muhammad saw (12 Rabiulawal).
Lalu, sirah-sirah berkaitan kelahiran Nabi saw diulang kongsi di media sosial, dan dibincang di media massa. Kita memang memerlukan sesuatu itu berulang-ulang, sebab sifat manusia itu sendiri adalah mudah lupa.

Mungkin ramai yang sedar bahawa Nabi saw lahir pada Tahun Gajah, tapi mungkin ada yang tak relate dengan peristiwa Abrahah menyerang Kaabah. Kisah itu terkait dengan cubaan pembinaan bangunan serupa Kaabah untuk menandinginya, tidak berjaya, lalu Kaabah diserang.

Siapakah yang menyambut kelahiran Nabi saw? Waktu apakah Nabi saw lahir? Hari apakah Nabi saw lahir? Siapa ibu susuan Nabi saw? Siapakah yang menjaga Nabi saw setelah baginda kehilangan ibunda tersayang? Siapakah yang mengambil alih menjaga Nabi saw setelah datuk tercinta pergi? Apakah nama isteri-isteri dan anak-anak baginda? Perjuangan baginda dalam menegakkan agama?Kita tahukah kisah-kisah ini?

Nabi saw – kita tagih syafaatnya di akhirat kelak.Tapi bagaimana baginda akan mengenali kita ini umatnya, jikalau tidak kita tunjukkan kecintaan kita kepada baginda? Telah lebih 1400 tahun baginda meninggalkan kita. Kalau ikutlah logik, kita terlalu jauh dari segi masa dengan baginda, tapi dalam khutbah baginda yang terakhir telah dinyatakan bahawa "Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. “ Mudah-mudahan kita menjadi golongan yang memahami ini. Amin YaRabbal ‘alamin.

Kawan,

Kita tidak sekadar mengingati Nabi saw kekasih Allah ini hanya pada hari lahirnya sahaja. Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada yang membaca, Dalam usaha kita – orang yang biasa2 ini – untuk menjadi umat yang dikenali di akhirat kelak, kita amalkan sunah baginda dalam kehidupan seharian. Akhlak baginda adalah akhlak Al-Quran. Baginda begitu mencintai umatnya hingga ke akhir hayat. Namun, cintakah kita kepada baginda? Sejauh mana sunah baginda kita amalkan dalam kehidupan - dalam pergaulan dengan keluarga,para sahabat, anak yatim, kanak-kanak. Cara baginda makan, tidur, beribadat – segala-galanya lah.
Kalau kita tak kenal baginda, bagaimana lahir rasa cinta kepada baginda?


“Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai (di akhirat kelak)”.
Semua kita akan berharap untuk bertemu baginda, mendapat syafaat baginda, dapat minum air di telaga Kauthar pada waktu dahaga yang bukan kepalang dan dipercepatkan hitungan dikalangan bilangan manusia yang tidak terkira di akhirat kelak.

Nabi Muhammad saw – satu sosok yang telah diketahui sebagai kekasih Allah lebih awal, malah ada Nabi sebelumnya yang berharap untuk menjadi umatnya. Umat Nabi Muhammad saw akan diadili dan masuk syurga lebih awal. Bukankah kita istimewa dan beruntung?

Salam Maulidur Rasul 1442! Semoga kita jadi umatnya yang lebih baik dari hari ke hari.



No comments:

Post a Comment