Sunday, 11 October 2020

Tazkirah ringkas tentang tadabbur Al-Quran

Jumaat lalu, sekali lagi diadakan bacaan Yasin di bahagian tempat saya bekerja.

Kali ini saya beranikan diri untuk mencadangkan agar diselangi dengan tazkirah ringkas dan Alhamdulillah dipersetujui. Saya rindu mendengar tazkirah atau peringatan. Kita sentiasa memerlukan kepada peringatan dari semasa ke semasa, agar terpandu tindak tanduk kita, agar kita boleh kembali ke jalan yang lurus. Peluang duduk bersama beramai-ramai wajar dimanfaatkan dengan peringatan kepada ayat-ayat Allah, semoga perkumpulan itu dipayungi oleh malaikat.

“Tidaklah suatu kaum duduk berzikir (mengingat) Allah melainkan mereka dikelilingi oleh para malaikat, diliputi rahmat,  dituntun sakinah (ketenangan) dan mereka disebut oleh Allah di hadapan malaikat yang ada di sisiNya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Pada kali ini, tazkirah yang dikongsikan oleh saudara Nik Amin (saya petik je namanya haha) berkongsikan ayat daripada surah Muhammad, ayat 24 bermaksud:

“Maka apakah mereka tidak tadabbur Al-Quran atau hati mereka terkunci?”

Ramai orang membaca Al-Quran, kita baca berulang-ulang, malah boleh pula kita kira berapa kali kita khatam Al-Quran. Namun berapa ramai pula yang faham apa yang dibaca? Mereka yang faham kerana menguasai Bahasa Arab, masyaAllah bagusnya. Bagi kita yang bukan orang Arab, atau yang tidak memahami Bahasa Arab – kenalah merujuk kepada terjemahan untuk memahami apa yang kita baca. Dari kelompok ini, ada pula segolongan yang tadabbur dan mengamalkan apa yang dibaca. Golongan ini lah yang saya cemburu. Mereka yang faham Bahasa Arab juga saya cemburu. Sungguhlah, Al-Quran itu perlu dibaca, difahami dan diamalkan.

Jika kita membaca terjemahan, sebenarnya kita belum faham lagi Al-Quran itu. terjemahan hanya memberi  maksud ayat dalam Bahasa yang kita tuturkan. Namun, untuk lebih faham kenapakah sesuatu ayat diturunkan, latar belakang ayat dan lain-lain memerlukan seorang guru untuk mengajarkan tafsir dan mentadabbur ayat Al-Quran. Maksud tadabbur itu ialah kita selidiki ayat itu setiap bait dan patah perkataannya. Buat mereka yang faham, Bahasa Arab itu indah sekali dan sangat tepat menggambarkan sesuatu keadaan.  Apabila Bahasa itu sendiri sudah indah untuk disebut dan didengar, maka apakah pula yang menghalang kita dari cuba menyelidiki ayat berkenaan?


Saya berani mengatakan bahawa belajar Al-Quran itu boleh membuatkan seseorang itu jatuh cinta dan mabuk dalam ilmu Al-Quran yang tidak bertepi.

Jom baca dan fahami Al-Quran. Luangkan masa belajar Al-Quran  walaupun kita dah pandai membacanya dari kecil. Jangan tunggu masa terluang baru nak membaca Al-Quran. Jangan hendaknya kita menjadi sebahagian dari orang yang terkunci hatinya dan jauh dari hidayah Allah.

 (Terima kasih Nik Noor Al-Amin atas perkongsian. Tulisan saya mungkin tidak sama dengan tazkirah tempoh hari kerana diolah dengan rasa sendiri.)

No comments:

Post a Comment