Semoga beroleh Haji yang mabrur.
Itulah ucapan yang akan diucapkan kepada tetamu Allah yang akan menunaikan
Haji…Soalnya, apakah Haji Mabrur tu?
Daripada Abu Hurairah ra berkata: Aku mendengar nabi Muhammad saw bersabda:
Barang siapa melaksanakan Haji semata-mata kerana Allah, lalu dia tidak
menuturkan (perkataan) keji dan tidak melalukan fasik (keluar daripada
ketaatan), dia akan kembali kepada keadaannya seperti baru dilahirkan oleh
ibunya (bersih daripada dosa).
Riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasaie dan Ibn Majah.
Lalu, sesiapa sahaja yang menunaikan haji dengan tatacara
yang betul sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah saw, maka ganjarannya
adalah pahla yang besar dan diampunkan dosa-dosanya.
Namun, ‘proses’ untuk memperoleh Haji yang mabrur itu
bukanlah semata-mata dengan melaksanakan semua rukun dan wajib haji dengan
sebaik mungkin, akan tetapi ‘proses’nya bermula daripada sebelum menunaikan
haji, semasa dan juga selepas menunaikan haji.
Saya fikir, kita semua tahu tentang itu. Atau
setidak-tidaknya, sesiapa yang bercita-cita menunaikan haji, atau sedang
menyediakan diri dengan ilmu-ilmu sebelum menunaikan haji – akan tahu bahawa
proses beroleh haji yang mabrur itu adalah meliputi kesemua tempoh iaitu sebelum, semasa dan selepas Haji.
Namun entah kenapa, bagi diri saya sendiri, saya seolah-olah
baru tersedar secara tiba-tiba, bahawa untuk mendapatkan Haji yang mabrur itu
tidak terhenti selepas pulang dari Tanah Suci, sebaliknya ianya adalah proses
yang berterusan dari semasa ke semasa. Saya mengisi masa dengan membaca buku
Ustaz Abdullah Bukhari baru-baru ini bertajuk Ceritera Haji Wartawan Al-Quran.
Buku ini sudah lama pun berada di pasaran. Selalu sahaja saya melewati buku ini
di rak kedai buku, tetapi tidak sampai seru untuk membelinya, sehinggalah Jejak
Tarbiah menawarkan potongan separuh harga untuk buku ini. Mungkin juga kerana
kurang kekerapan saya ke kedai buku (dan bertambahnya kekerapan melawat web
penerbit buku) saya pun membelinya.
Walhal, ada banyak buku yang saya baca berkaitan dengan
perkara-perkara pasca Haji. Memang benarlah, ingatan itu kena selalu
diulang-ulang kerana manusia itu bersifat mudah lupa. Mungkin juga takdir untuk
saya membaca buku itu pada ketika ini sebagai peringatan kepada iman yang
semakin menurun dan semangat yang makin pudar.
Kawan,
Kalau ketika berada di Tanah Suci, kita bersemangat untuk pergi ke masjid lebih
awal dari waktunya spaya mendapat tempat yang terbaik di dalam masjid – kenapa
di negara sendiri kita tidak berlumba untuk ke masjid lebih awal? Padahal,
rasanya tidak ramai (atau mungkin tiada langsung) akan berebut saf yang paling
hadapan.
Kawan,
Di Tanah Suci, kita solat tepat pada waktunya. Sayang sekali di tempat sendiri,
kita lewat-lewatkan solat itu. Lebih menjadi ujian adalah kepada mereka yang
berumah paling hampir dengan surau/masjid. Ia adalah peluang yang mungkin
bertukar menjadi kelemahan atau paling teruk lagi menjadi ancaman.
Kawan,
Tentu bagus sekali kalau tahap iman itu boleh diukur dengan satu alat penanda.
Saya sendiri selalu terfikir bukankah elok ada satu alat yang apabila diletak
pada diri, kita dapat lihat tahap keimanan kita. Apabila tahap keimanan kita
menurun, maka ia menjadi indikasi kepada kita untuk menambah zikir, menambah kekerapan
menghadiri majlis ilmu – pendek kata menambah apa yang patut ditambah agar
tahap keimanan itu meningkat semula. Sayangnya ia tidak begitu.
Allah menguji kita untuk melihat siapakah yang lebih baik amalnya. Siapa yang
istiqamah, siapa yang tergelincir.
Lalu, kepada mereka yang telah menjadi tetamu Allah, saya mengajak diri saya
dan anda untuk mengukur sendiri tahap keimanan kita dan di mana kita berada.
Layakkah kita mendapat Haji yang Mabrur? Jika belum lagi, kita masih punya masa
untuk mencari dan mendapatkannya. Mari berbaik sangka dengan Allah, insyaAllah
mari kita berdoa semoga kita tergolong dalam mereka yang mendapat Haji yang
mabrur
No comments:
Post a Comment