Salam Maulidur Rasul
Kita meraikan hari lahir
junjungan mulia Nabi Muhammad saw (12 Rabiulawal).
Lalu, sirah-sirah berkaitan kelahiran Nabi saw diulang kongsi di media sosial,
dan dibincang di media massa. Kita memang memerlukan sesuatu itu
berulang-ulang, sebab sifat manusia itu sendiri adalah mudah lupa.
Mungkin ramai yang sedar
bahawa Nabi saw lahir pada Tahun Gajah, tapi mungkin ada yang tak relate dengan
peristiwa Abrahah menyerang Kaabah. Kisah itu terkait dengan cubaan pembinaan
bangunan serupa Kaabah untuk menandinginya, tidak berjaya, lalu Kaabah
diserang.
Siapakah yang menyambut kelahiran Nabi saw? Waktu apakah
Nabi saw lahir? Hari apakah Nabi saw lahir? Siapa ibu susuan Nabi saw? Siapakah
yang menjaga Nabi saw setelah baginda kehilangan ibunda tersayang? Siapakah
yang mengambil alih menjaga Nabi saw setelah datuk tercinta pergi? Apakah nama
isteri-isteri dan anak-anak baginda? Perjuangan baginda dalam menegakkan agama?Kita
tahukah kisah-kisah ini?
Nabi saw – kita tagih syafaatnya di akhirat kelak.Tapi bagaimana baginda akan
mengenali kita ini umatnya, jikalau tidak kita tunjukkan kecintaan kita kepada
baginda? Telah lebih 1400 tahun baginda meninggalkan kita. Kalau ikutlah logik,
kita terlalu jauh dari segi masa dengan baginda, tapi dalam khutbah baginda
yang terakhir telah dinyatakan bahawa "Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada
orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang
terus mendengar dariku. “ Mudah-mudahan
kita menjadi golongan yang memahami ini. Amin YaRabbal ‘alamin.
Kawan,
Kita
tidak sekadar mengingati Nabi saw kekasih Allah ini hanya pada hari lahirnya
sahaja. Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada yang membaca, Dalam
usaha kita – orang yang biasa2 ini – untuk menjadi umat yang dikenali di
akhirat kelak, kita amalkan sunah baginda dalam kehidupan seharian. Akhlak
baginda adalah akhlak Al-Quran. Baginda begitu mencintai umatnya hingga ke
akhir hayat. Namun, cintakah kita kepada baginda? Sejauh mana sunah baginda
kita amalkan dalam kehidupan - dalam pergaulan dengan keluarga,para sahabat,
anak yatim, kanak-kanak. Cara baginda makan, tidur, beribadat – segala-galanya
lah.
Kalau kita tak kenal baginda, bagaimana lahir rasa cinta kepada baginda?
“Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai (di akhirat kelak)”. Semua kita akan berharap
untuk bertemu baginda, mendapat syafaat baginda, dapat minum air di telaga
Kauthar pada waktu dahaga yang bukan kepalang dan dipercepatkan hitungan
dikalangan bilangan manusia yang tidak terkira di akhirat kelak.
Nabi
Muhammad saw – satu sosok yang telah diketahui sebagai kekasih Allah lebih
awal, malah ada Nabi sebelumnya yang berharap untuk menjadi umatnya. Umat Nabi
Muhammad saw akan diadili dan masuk syurga lebih awal. Bukankah kita istimewa
dan beruntung?
Salam Maulidur Rasul 1442! Semoga kita jadi umatnya yang lebih baik dari hari
ke hari.