Saturday, 20 November 2021

Di mana surau kita?

 

Assalamualaikum.

Kalau saya ke satu-satu tempat yang baharu, ada dua tempat ini akan saya tanyakan di kaunter atau dengan orang yang berada ditempat itu – kantin/tempat makan dan surau.

Dua tempat ini penting terutama kalau akan berada di satu-satu tempat itu untuk satu jangka masa yang panjang yang akan melalui waktu solat.
Kantin – penting untuk alas perut
Surau – penting untuk menunaikan kewajipan dan rehat sebentar tanpa memakai tudung penuh.

Saya biasanya tak kisah sangat dengan kedudukan tempat makan itu berada di mana, sama ada dalam bangunan yang sama ke, atau jauh sikit pun tidak mengapa.


Cuma kadang-kadang terkilan dengan kedudukan surau. Kalau dalam sesebuah bangunan kementerian/jabatan kerajaan, terutamanya kementerian yang baharu di Putrajaya, kedudukan suraunya strategik dan ada yang impressive. Karpetnya berbau wangi, tempat wuduk bersih, ada almari sejadah yang tersusun dan tempat letak Al-Quran. Ada tempat letak kasut yang selesa dan pangkin tempat duduk untuk memakai stokind an menyarung kasut. Ada yang mungkin menganjurkan solat berjemaah Zohor dan pernah di satu kementerian tu, ada sesi kuliah bacaan kitab Hadis 40.

Tapi ada juga pengalaman di bangunan yang bukan jabatan kerajaan, yang mana kedudukan suraunya huhu…agak menyedihkan. Sudahlah terletak di tempat letak kereta, nak ke tempat solat pun kena keluar pintu, masuk pintu lain. Bila masuk, dalamannya pula kosong. Tanpa karpet, tanpa cermin (perempuan kena ada cermin untuk bersiap). Bukan lah nak kata saya demand kena ada karpet, di rumah sendiri pun bukan semua tempat ada karpet pun. Cuma saya fikir, ia adalah satu kebiasaan lantai tempat solat tu dilapisi karpet. Cermin dan tempat letak sejadah pun adalah atas usaha cleaner yang solat disitu…huhu…Bersangka baik – warga bangunan solat di tempat/bilik sendiri.

Ada juga tempat solat yang dalam bangunan yang baharu, moden dan ruang-ruang kedai disewa oleh jenama-jenama besar. Tapi sayang, tempat solatnya nunnnn jauh di hujung bangunan. Itu masih bagus jika berada dalam bangunan, tapi kalau tempat solat di luar bangunan dan di tempat letak kereta? Macam itu sahaja taraf tempat solat kita? Sedih…

Kalau kita lihat isu tempat solat dalam bangunan ni, isu tempat itu satu…satu lagi adalah maintenance tempat solat itu sendiri. Kalau di R&R, alhamdulillah, bersih dan terjaga. Pasca pandemic ini kita kena bawa sejadah sendiri dan mungkin telekung bagi yang wanita (tiada isu bagi yang memang dah berpakaian solat ready). Tapi ada juga tempat-tempat (tak mahu saya sebutkan disini) yang sebelum Covid-19 melanda, langsung tidak dijaga dengan sewajarnya. Karpetnya lusuh dan basah (bekas dipijak selepas berwuduk), berbau kepam dan bahagian telekung dan sejadah bersepah dan berlonggok-longgok. Sedih kalau bertemu dengan tempat yang serupa ini.

Kita ini berada dalam negara Islam. Solat itu pula tiang agama. Tapi kalau tempat solat tidak diberi perhatian dan kedudukan yang sewajarnya, serupa itu jugakah peranan solat dalam kehidupan kita? Solat bukanlah satu ritual yang dilakukan pada masa yang tertentu dengan pergerakan tertentu dan dengan pakaian tertentu, tapi adalah kewajipan yang perlu (mesti!) dilaksanakan berserta dengan penghayatan. Adakah solat kita bertaraf ‘asal boleh’, maka itulah tempat untuk menunaikannya pun ‘asal boleh’ sahaja?

Kamon gais – kita ini sedang bertemu dan mengadap kepada Yang Maha Esa – Tuhan Sekelian Alam. Tuhan yang satu yang Maha Berkuasa. Kalau kita berjumpa dengan orang kenamaan atau Raja, mahu tak kita jumpa di tempat yang di hujung bangunan, di tempat parkir kereta yang panas, lepas tu ‘interior’ dalamannya pula tak menyenangkan langsung. Tentu tidak kan! Ini negara Islam dan Muslim adalah majoriti di negara ini. Seharusnya tergambar sisi Muslim itu (pada pandangan peribadi saya lah) dalam perkara ini.

Kerana itulah saya fikir dan berharap, lebih ramai arkitek dan professional Muslim lain dalam pelbagai bidang dihasilkan. Mereka yang meletakkan agama mendahului urusan lain tentu akan merancang tempat solat di kedudukan yang strategik dalam sesebuah bangunan seperti bangunan tempat kerja, stesen keretapi, lapangan terbang, kompleks beli belah, muzium, zoo, sekolah dan lain-lain tempat. Profesional Muslim yang kaya dan pengurusan tertinggi yang ‘have-have’ boleh mengindahkan tempat solat berkenaan dengan interior yang menarik. Selanjutnya, insan-insan mulia yang lain boleh berkobolorasi untuk saling menjaga tempat solat awam, bukan mengharapkan cleaner sahaja. Kebersihan itu kan sebahagian daripada iman. Allah pun suka yang cantik dan indah.

Semoga keadaan akan lebih baik pada masa akan datang.

Marilah menunaikan solat, marilah menuju kejayaan.

#kembalimenulis

Saturday, 17 April 2021

Ramadhan Kareem

 

 

Ramadhan Kareem

Balighna Ramadhan ya Allah…itulah doa berulang –ulang saya sebaik sahaja Syaaban melabuhkan tirainya. Jika sebelum itu kami berdoa ‘ Semoga Allah berkati kami di bulan Syaaban dan sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan’, maka apabila Asar berakhir, itulah doa saya …. Alhamdulillah memasuki Ramadhan tahun ini dalam keadaan sihat, namun sehingga malam pertama Ramadhan belum tentu lagi saya masih ada dan akan dapat berpuasa pada esok hari. Betapa ramainya yang pergi dalam bulan Rejab dan Syaaban tanpa sempat merasai/memasuki  Ramadhan. Allah sahaja yang tahu rahsia ini.

Ramadhan begitu berbeza dengan bulan-bulan yang lain. Dari segi aturan masa, memang sangat berubah bagi yang bekerja pejabat seperti saya. Waktu balik kerja dipendekkan setengah jam dari biasa. Yang nyata, bagi yang bekerja di Putrajaya, seperti selalu akan mengami keadaan kesesakan yang luar biasa dari segenap arah…Apa ada hal….hanya berlaku sebulan sahaja dalam setahun kan….Tahun ini pula merupakan tahun ke-12 saya berulang Putrajaya-Salak Tinggi dan mengharungi kesesakan itu haha….Seterusnya bagi para ibu seperti saya, awal pagi akan menyediakan sahur untuk seisi keluarga.

Dari sudut agama pula, apa pula yang membezakan Ramadhan dengan bulan-bulan yang lain? Bulan ini merupakan bulan istimewa yang mana ibadat digandakan pahalanya, dosa diampunkan, pintu-pintu rahmat terbuka dan pintu syurga terbuka luas, manakala pintu neraka pula tertutup rapat. Bulan Ramadhan mempunyai satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan –iaitu Lailatul Qadar. Kita hiasi malam-malam Ramadhan dengan Solat Terawih. Ramadhan merupakan bulan turunnya Al-Quran. Maka, kita wajar menggandakan ibadah pada bulan ini. Puasa itu adalah milik Allah dan Allah sahaja yang akan mengganjari kita.

Sebelum memasuki Ramadhan tahun ini, saya sering tertanya apakah persediaan saya untuk Ramadhan tahun ini? Adakah saya akan sekadar puasa, solat terawih, kemudian sambut Raya? Adakah saya akan bersungguh-sungguh untuk memaknai bulan ini? Apa yang saya buat sebagai tanda saya mengalukan kedatangan Ramadhan tahun ini? Apakah yang saya buat yang lebih baik dari tahun lalu bagi meraikan kedatangan Ramadhan tahun ini? Tanyalah juga diri anda.

Kemudian, TV AlHijrah pula menggunakan tagline ‘Andai ini Ramadhan terakhir’. Mula-mula saya ingatkan cerita ke..rupanya tagline sebulan. Hanya pada hari ke-4 Ramadhan baru hati saya tersentak – macam mana kalau ini lah Ramadhan terakhir saya? Kalau ikutkan umur Nabi saw, saya telah memasuki 2/3 daripada umur itu. Apakah syarat mati? Mati tak semestinya tua dan sakit, sebaliknya syarat mati adalah hidup. Setiap yang hidup akan merasai mati. Maka itu, jika Ramadhan ini yang terakhir, mudah-mudahan Allah izinkan bulan ini menjadi bulan paling bermakna, paling bermanfaat dan paling baik amalan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Amin.

Doa saya, mudah-mudahan kita semua memasuki Ramadhan dan mengakhirinya dengan penuh ketaqwaan. Amin Ya Rabb.

Friday, 5 March 2021

Derma bukan Tontonan - Herman Tino

 

Ada satu kali sewaktu menaiki kereta (kenapa rasa janggal menaiki?) saya mendengar lagu Herman Tino melalui corong radio. Tak ingat pula saluran apa, kerana itu kereta suami (kalau kereta saya hanya dengar 1 saluran sahaja atau saya biasanya pasang youtube haha)…terus tersenyum dan terimbau zaman kecil-kecil dahulu…saya sampai muak dengar lagu Herman Tino semasa kecil hihi…Tapi saya tidak tahu tajuk lau dan tak ingat dah liriknya. Ada bait lagu yang tertangkap di telinga saya ketika itu:

Tangan kanan memberi, sorokkan tangan kiri
Derma bukan tontonan, lakukan dalam sepi…


Wah..dah dewasa ni baru saya dalami erti lagu itu. Betullah, kita memberi (bersedekah) itu dalam diam jangan sampai orang tahu…sebab derma bukan untuk dihebahkan, bukan untuk dipertontonkan dan sebaiknya dilakukan diam-diam. Huhu…iyalah kan..hati kita ini tak siapa yang tahu. Kita ini mudah sahaja berasa atau terdetik ‘Aku lah yang terbaik. Tengok, aku derma sebanyak ini untuk ini dan ini’. Malah, boleh saja hati ini terdetik bangga bila orang lain menderma kurang jumlahnya dari yang telah kita beri..Nauzubillah…hilang ikhlas di situ,terbit pula perasaan riak. Mudah saja syaitan meniupkan rasa bangga dan memesongkan niat kita…
Jangan lupa, syaitan tergelincir dari syurga hanya kerana merasa lebih baik dari Adam…

Bait seterusnya yang saya dengar ialah..

Harta bukan milikmu, untukmu hanya rezeki,
Terkurang himpun lagi, terlebih memberilah…


Ohh..ini simple tapi lagi mendalam maksudnya bagi saya…maknanya, orang yang menulis lirik tu juga sesuatu (maksud saya seorang yang mendalam pemerhatiannya). Memang, harta ni kita tak bawa ke mana pun. Habis umur, kain kapan yang beberapa meter itu sahaja membaluti tubuh kita…rumah yang besar, kereta yang berpuluh buah, perhiasan yang banyak semua tak ikut dan tak akan membantu pun….jadi cukup saja bersederhana. Terkurang harta di mana-mana, usahalah untuk menghimpun semula. Kalau berlebih-lebih sangat sampai tak tahu nk letak mana, sampai simpanan dah mencapai paras maksimum – maka memberilah (bersedekah lah)…Sungguh, saya pernah mendengar..kaya macam mana pun, kalau Allah takdirkan makan roti cicah air sejuk sahaja, maka itulah rezeki pada hari itu – mungkin kerana sakit, mungkin kerana tiada masa terkejar sana sini…manakala si miskin pula mungkin makan nasi dengan ikan bakar yang ditangkap di sungai,berlauk ulan segar cicah air asam…Itulah rezeki yang tertulis untuk hari itu…

Kemudian apabila ada masa terluang, saya pun google tentang Herman Tino. Well, beliau seorang keturunan Jawa dengan nama sebenar Masrun bin Tamsi, lahir pada 1954. Tidak popular pada zaman ini, tapi awesome pada zamannya (80an).

Jadi, renungkanlah lirik penuh lagu ini “Derma bukan Tontonan” – saya google je pun…

Tangan kanan memberi
Sorokkan tangan kiri
Derma bukan tontonan
Lakukan dalam sepi
Sematkanlah keikhlasan
Huraikanlah kebuntuan
 
Kerana sesuatu
Suratan kehidupan
Mengharap dan dipinta bantuan
 
Harta bukan milikmu
Untukmu hanya rezeki
Terkurang himpun lagi
Terlebih memberilah
Begitu lebih kurangnya
Sedikit tulisan janji


Inilah Herman Tino - gambar ihsan google


Thursday, 4 March 2021

Jangan disimpan telekungmu yang cantik itu…

 

Jangan disimpan telekungmu yang cantik itu…

Kebiasaannya orang kita ni – yang Muslim wanitanya bersolat dengan telekung. Yang paling popular ialah yang berwarna putih. Kemudian telekung pun berevolusi – kain jersey, bersulam, ada blink2 swarovsky, telekung warna warni, yang murah yang mahal semua ada. Malah bila pengetahuan semakin baik, ramai yang berpakaian ‘solat ready’ dan tak perlu lagi sarungkan telekung.

Kalau tengok di pasaran – harga telekung ni ada pelbagai. Dari semurah-murah belasan ringgit hinggalah ribuan ringgit. Kualiti tu ikut la..biasanya berkadaran terus lah dengan harganya kan…

Jadi apa yang sis nk buat teguran disini kepada diri sendiri dan yang membaca, kalau ada telekung yang cantik, janganlah disimpan untuk dipakai pada hari tertentu atau apabila ada majlis di surau/masjid sahaja. Usahlah pakai telekung yang biasa-biasa di rumah, tapi bila di luar, cantik sungguh pembawaannya…silap-silap ada telekung atau pakaian khusus untuk solat di surau…kalau solat dirumah sekadar apa yang ada sahaja.

Kalau pakaian solat nk pakai pada hari istimewa (hari Raya.solat tarawih etc) maka ketahuilah, kita belum tentu berjumpa hari istimewa itu. Sebaliknya, jadikanlah setiap hari kita istimewa Bersama Tuhan kita.

Kawan, tak kira sama ada solat di rumah atau solat di masjid/surau, kita masih bertemu Yang Maha Esa. Jadi kita pakailah pakaian solat yang paling cantik Ketika bertemuNya. Lebih elok kalau ada pakaian yang khusus utk solat (ni untuk lelakilah)..
Sebab apa – sebab kita mengadap yang Maha Mulia, Yang Maha Agung.
Tak payah fikir jauh…cuba fikir kalau kita menghadiri majlis kenduri ke, atau nak hebat sikit, menghadiri Majlis yang ada Menteri ke, atau menerima pingat dari Sultan ke..tentu kita akan pakai pakaian yang terbaik, yang paling cantik atau yang paling istimewa mampu kita beli kan?
Jadi, kenapa berkira bila berjumpa dengan Yang Maha Agung?
Dia yang Maha Kuasa tu berkira tak dengan kita?
Bagaimana kalau Tuhan beri kita sedut oksigen dengan sebelah lubang hidung sahaja dan pada harijadi kita baru kita dapat bernafas dengan sempurna?
Ekstrim tak contoh itu? Bukan apa, nk kata bahawa Tuhan tidak berkira dengan hambaNya, tapi kita on the other hand – mengharap pujian dan kekaguman orang sekeliling pula.
Maafkan saya ya Allah.

gambar pinjam google...


Tuesday, 5 January 2021

Catatan 2020 - catatan III

 

Catatan 2020

Catatan III

Tahun 2020 juga mencatat satu perubahan (tak la besar sangat) kepada kami sekeluarga. Selama ini tidak pernah terlintas di fikiran untuk membela kucing, meskipun suami sangat suka  kucing comel dan saya sendiri menghabiskan masa makan tengah hari dengan menonton video anak kucing yang mencuit hati. Malah setiap kali suami mengajukan cadangan untuk membeli kucing, saya menerimanya dengan syarat semuanya mesti diuruskan sendiri dan saya tidak mahu ada kena mengena dengan ‘pembelaan’ kucing tersebut. Bagi saya, anak tiga orang ini pun saya tidak menjaganya dengan sempurna – apatah lagi untuk mempunyai pets yang tak faham pun Bahasa manusia/Bahasa Melayu!

Tapi keadaan berubah pada 25 November 2020 (mesti ingat tarikh ini). Lepas maghrib, saya ada mendengar bunyi benda berlari di bumbung. Sangka saya mungkin monyet sebab memang ada banyak monyet di kawasan rumah. Tapi selepas solat isyak, kami mendengar bunyi meow yang kuat. Mula-mula saya marah kepada anak ketiga dan suruh anak memperlahankan bunyi game atau youtube yang sedang ditonton. Tapi sangkaan itu silap…maka kami pun mencari2 dari mana datang arah bunyi itu…

Bunyi meow datang dari bumbung dapur. Rupanya ada 2 ekor anak kucing dibawa ke situ. JPAM dipanggil, tapi sebab lambat sangat sampai – lalu dengan bantuan jiran, 2 ekor anak kucing diturunkan dari bumbung.

So nk buat apa dengan anak kucing? Bela? Never I have that in my mind. Lalu bermula lah episode meminta bantuan ekspress..alhamdulillah dikurniakan jiran yang baik dan prihatin. Bantuan datang sekelip mata – ada jiran yang sudi pinjamkan sangkar, botol kucing dan susu kambing sekali. Segala ilmu berkaitan kucing diperturunkan dalam satu malam sahaja hahaha….Masih saya ingat, malam itu saya beri minum susu kepada anak kucing dengan terketar2 sebab saya geli dengan anak kucing.

Alah bisa, tegal biasa. Kucing yang dua ekor tu dah tinggal seekor (seekor lagi mati selepas hari keempat kami jumpa). Ketika di bawa ke vet – saya bertanya kepada pembantu klinik sebab anak kucing mati (memang soalan noob sebab tak pernah bela kucing), tapi dijawab dengan selamba ‘Ala kaka…kucing besar pun mati, kucing kici lagi la mati!’. Dia tak tau saya dan Zahran berjurai2 air mata sebab kitten tu mati 2 jam selepasnya..haha….Sekarang NEKO (Zarif yang bagi nama) sihat, nakal dan cergas.

Dan jadilah kami keluarga pembela kucing. Saya sedar rupanya saya masih ada baki kasih sayang yang boleh diberikan kepada kitten itu haha  - semuanya atas rahmat Allah jua. Kasihan Neko kerana ditinggal ibu dari kecil, tapi bukan salah ibu kucing juga. Ibu kucing melarikan anaknya dari tempat yang ramai kucing untuk melindungi anaknya. Mana-mana emak pun akan buat perkara yang perlu untuk melindungi anaknya kan. Saya juga dah berusaha beberapa malam untuk mengumpan emak kucing datang dan ambil anaknya tapi tak berjaya.

Jadi , kesimpulan mudahnya, kami anggap itu takdir dan kami memang dah bawa Neko berjalan merata tempat. Jaga anak kucing pun serupa jaga baby bila bawa susu, botol susu, kertas suratkhabar dan pasir kucing ke tempat yang saya pergi lebih dari 3 jam. Tinggal pampers je yang tak de haha…

Mainan kucing, botol susu kucing, susu kambing untuk kucing, kitten wetfood, pasir buangan, vet – semua item ini dah menjadi penting untuk kami sekarang ini. Catatan ini penting untuk diingat dan sebab itu, ia menjadi catatan ketiga saya.


Neko at 1 month - kita bawa piknik di Bagan Lalang..dia pertama kali jejak pasir dan mungkin aneh bagi dia...


Neko at 1 month..kita bawa dia balik kampung Taiping (masa ni boleh rentas negeri)


Catatan 2020 - catatan II

 

Catatan 2020

Catatan II

Pengumuman PKP bermula 18 Mac 2020 membuatkan ramai diantara kita termangu dan terpinga serta berusaha sedaya upaya menyesuaikan diri dengan norma baharu yang ditetapkan. Perkara paling besar yang terjadi adalah penetapan Bekerja Dari Rumah (BDR) dan pembelajaran secara online learning bagi murid sekolah.

Seminggu pertama PKP kami lalui dengan penuh semangat meskipun anak-anak kebosanan tidak boleh keluar dari rumah. Pada ketika ini kita, rakyat Malaysia, bersungguh-sungguh untuk patuh dengan syarat yang dikenakan oleh pemerintah demi untuk menurunkan angka jangkitan COVID-19 ini. Paling menggigil adalah suami dan anak-anak lelakilah..kerana tidak boleh keluar rumah dan tidak dapat main bola pada waktu petang. Pada waktu ini, keperluan terhadap gajet seperti telefon bimbit, tablet dan laptop begitu penting untuk menyokong pembelajaran secara online, terlebih pentingnya lagi kepada ibu bapa yang melaksanakan fungsi BDR sepenuhnya.

Namun, disebalik semua itu, perkara positif yang saya hendak utarakan (sebagai ingatan di kemudian hari) di sini adalah PKP memberikan peluang untuk kami sekeluarga solat berjemaah dan juga membaca Al-Quran dengan lebih kerap. Sebelum ini saya hanya bersolat seorang diri, kerana manusia yang berjantina lelaki di rumah ini, semuanya saya paksa ke surau untuk solat berjemaah. Hanya hujan lebat sahaja yang boleh menjadi sebab tidak bersolat Jemaah di surau. Biar panas terik, walau gerimis (payung kan ada) seboleh mungkin, biarlah lelaki di rumah ini berjemaah di surau. Solat berjemaah waktu Subuh pada hari minggu adalah wajib bagi anak-anak, tapi tidak di hari bersekolah kerana van sekolah datang awal. Tapi kami tetap berjemaah di rumah.

Berada di rumah sepanjang masa, Alhamdulillah membolehkan kami saling mengingati apabila masuk waktu solat. Alhamdulillah, ia menjadi kebiasaan sehinggakan kami berasa janggal dan ‘salah’ jika solat bersendirian. PKP tahun 2020 juga menjadi sejarah apabila setiap rumah mendirikan solat Hari Raya dan khutbah dibaca oleh ketua keluarga. Lebih manis apabila membaca Al-Quran dijadikan kebiasaan selepas solat fardhu. Tempoh ini menjauhkan kita daripada manusia lain melalui sosial distancing, tetapi rupanya mendekatkan diri kita kepada Pencipta kita melalui masa-masa yang dapat diluangkan di rumah.


Selain itu, dalam tempoh PKP juga ini juga, TV Alhijrah telah memperkenalkan siaran Malaysia #QuranTime. Pada ketika ini saya tidak dapat mengikuti siaran langsung dan juga ulangannya kerana mesyuarat editorial/terjemahan siang dan malam. Kalau tidak silap saya, ketika ini surah-surah yang dibincangkan untuk tadabbur adalah surah tertentu yang dipilih daripada Al-Quran. Namun, rezeki saya untuk mempelajari tadabbur surah secara sistematik muncul apabila TV Alhijrah melancarkan program My #QuranTime bermula 8 Jun 2020 (memang saya ingat tarikh ini) dan membicarakan satu muka surat Al-Quran sehari (pada hari biasa) dan ulangkaji tajwid dan tadabbur pada hujung minggu.

Selain tadabbur dengan tagline BACA, FAHAM, AMAL, turut diselitkan adalah pelajaran berkaitan dengan tajwid. Sangkaan saya, segmen tajwid akan terus memperkenalkan hukum-hukum nun mati dan tanwin – izhar, idgham, iqlab dan ikhfa’, tetapi sangkaan itu meleset. Segmen tajwid dirangka dengan begitu teliti dimulakan dengan makhraj dan sifat huruf. Segmen ini begitu terasa di hati dan pendengaran saya sehingga saya mengesan kesalahan sebutan imam ketika membaca surah dalam solat. Kadang-kadang, jika mendengar lantunan ayat Al-Quran, saya cuba membayangkan tulisannya melalui suara dan sebutan qari yang membacanya. Saya dari kecil tidak terdedah kepada pembelajaran makhraj ini, malah ketika saya menyertai kumpulan mengaji muslimat di surau, mereka sudah pun melepasi pembelajaran berkaitan makhraj ini. Jadi saya belajar dalam siri-siri My Quran Time ini dan juga pembelajaran kendiri Bahasa Arab selama 21 jam dalam E-Pembelajaran Sektor Awam (EPSA). Sewajarnya mereka yang nak mengenali Al-Quran juga memulakan dengan makhraj dan sifat huruf barulah mengenali hukum-hukum tajwid lain, bagi memastikan sesuatu perkataan itu dibaca dengan betul dan sempurna.

Setakat itulah catatan kedua untuk ingatan bagi tahun 2020 yang berlalu ini. Dah ada idea untuk catatan ketiga….

Catatan 2020 - catatan I

 

Catatan 2020


Catatan 1

 

Tahun 2020 yang lalu merupakan tahun yang memberikan pelbagai rasa kepada kita semua. Ada yang getir, ada yang melaluinya dengan penuh kepayahan, ada yang mempunyai pelbagai perkara positif, ada yang mengalami perkara yang tidak dijangka…macam-macam lah.


Dari segi pekerjaan, tahun 2020 membuatkan ramai di antara kita dapat merasai peluang untuk Bekerja Dari Rumah (BDR/WFH) sama ada yang bekerja di sektor Kerajaan mahupun swasta. Bagi saya dan rakan, kami berada pada gear 5 penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 ketika pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan. Sehari sebelum pelaksanaannya, kami masih bermesyuarat dan merancang penyediaannya. Ia bukanlah perkara yang mudah – jika sekiranya ada yang kata BDR ini mudah. Mungkin bagi sesetengah orang BDR ini mudah kerana buat semua perkara dari rumah sahaja. Tapi secara peribadi bagi saya, BDR ini sukar untuk saya hadapi. Bukanlah bermaksud tidak ada langsung perkara positif daripada BDR, tapi rata-rata kita belum begitu bersedia menghadapinya.


BDR bermakna bekerja 24/7 bagi ramai diantara kami. Percaya tak ianya 24/7? Bemula mesyuarat seawal 8.15 dan berakhir selewat jam 11.30 bagi bagi sesetengah kami. Setiap hari tanpa gagal. Pelaksanaan sebegini rupa memberi tekanan kepada saya ahahaha… Kerana pada masa yang sama, anak-anak juga berada di rumah dan menjalankan online learning.

BDR – meskipun berada di rumah sepanjang masa, ada kala sy tidak sempat pun untuk menyapu sampah, mop rumah dan memasak haha….order makan itu biasa. Jadi apabila warga net update kegilaan mereka baking, buat coffe Dalgona etc, ia tidak terpakai kepada saya haha. Kesibukan penyediaan semakin menjadi-jadi menjelang hujung tahun apabila kami yang telah pun hadir bekerja secara fizikal balik lewat hampir setiap hari. Balik lewat itu adalah mempunyai masa lebih kurang 6 jam sahaja di rumah! Hujung minggu juga adalah hari bekerja untuk mengejar dateline yang diberikan. Banyak perkara telah dikorbankan – masa, perasaan pasangan dan anak-anak haha. Tuhan sahaja yang tahu betapa syukurnya ada pasangan yang bertolak ansur apabila isterinya ini tidak memasak, lantai rumah dah tak licin lagi, baju banyak yang tidak bergosok dan kerja sekolah anak juga sudah tidak mampu untuk saya follow up. Banyak pula hari lahir rakan-rakan yang saya tidak wish dan raikan, tidak keluar makan dengan kawan lama dan macam-macam lagi lah. BDR tidak mudah tapi Alhamdulillah semua boleh diatasi sedikit demi sedikit. Ada kala, sy memutuskan untuk tidak menyertai mesyuarat yang berkaitan untuk memberikan masa kepada anak (Z3) bagi memantau kerja sekolahnya.

BDR juga meningkatkan stress ibubapa apabila sewaktu mula pelaksanaannya, para guru berebut-rebut memberikan kerja sekolah. Memberikan kerja sekolah dengan cara mengajar melalui pautan youtube bukan semudah yang disangkakan. Disini lah peranan ibu bapa untuk menjadi guru diperlukan. Mana yang boleh tu oklah…tapi bukan semua ibu bapa boleh mengajar ye…. Hanya apabila PKP memasuki bukan Oktober barulah saya menemui rentak apabila satu hari hanya aka nada 2 subjek sahaja yang akan diberi kerja rumah. Pun begitu kaedah pengajarannya masih sama – melalui pautan youtube yang cikgu beri.

 

On top of that, apalah sangat kesusahan BDR ini jika dibandingkan dengan mereka yang kehilangan pekerjaan sewaktu pandemic ini melanda. Banyak perniagaan dikecilkan atau ditutup terus, dan syarikat terpaksa mencari jalan terbaik untuk terus survive. Ada rakan-rakan saya di sektor swasta kehilangan pekerjaan. Untuk mencari kerja bari pada usia ini bukanlah mudah, tetapi semuanya Allah yang tentukan. Mereka ini sentiasa saya doakan semoga mendapat ganti yang lebih baik. Allah Maha Tahu. Dek kerana itu, saya masih bersyukur atas apa yang dialami. Meskipun stress BDR, yang penting keluarga masih di sini. Masih dapat melihat mereka setiap hari.
Kini saya telah pun masuk kerja secara fizikal. Semoga tahun 2021 menjanjikan jalan yang lebih baik untuk semua.

Haji yang mabrur

 


Semoga beroleh Haji yang mabrur.

Itulah ucapan yang akan diucapkan kepada tetamu Allah yang akan menunaikan Haji…Soalnya, apakah Haji Mabrur tu?
Daripada Abu Hurairah ra berkata: Aku mendengar nabi Muhammad saw bersabda: Barang siapa melaksanakan Haji semata-mata kerana Allah, lalu dia tidak menuturkan (perkataan) keji dan tidak melalukan fasik (keluar daripada ketaatan), dia akan kembali kepada keadaannya seperti baru dilahirkan oleh ibunya (bersih daripada dosa).

Riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasaie dan Ibn Majah.

Lalu, sesiapa sahaja yang menunaikan haji dengan tatacara yang betul sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah saw, maka ganjarannya adalah pahla yang besar dan diampunkan dosa-dosanya.

Namun, ‘proses’ untuk memperoleh Haji yang mabrur itu bukanlah semata-mata dengan melaksanakan semua rukun dan wajib haji dengan sebaik mungkin, akan tetapi ‘proses’nya bermula daripada sebelum menunaikan haji, semasa dan juga selepas menunaikan haji.

Saya fikir, kita semua tahu tentang itu. Atau setidak-tidaknya, sesiapa yang bercita-cita menunaikan haji, atau sedang menyediakan diri dengan ilmu-ilmu sebelum menunaikan haji – akan tahu bahawa proses beroleh haji yang mabrur itu adalah meliputi kesemua tempoh iaitu sebelum, semasa dan selepas Haji.

Namun entah kenapa, bagi diri saya sendiri, saya seolah-olah baru tersedar secara tiba-tiba, bahawa untuk mendapatkan Haji yang mabrur itu tidak terhenti selepas pulang dari Tanah Suci, sebaliknya ianya adalah proses yang berterusan dari semasa ke semasa. Saya mengisi masa dengan membaca buku Ustaz Abdullah Bukhari baru-baru ini bertajuk Ceritera Haji Wartawan Al-Quran. Buku ini sudah lama pun berada di pasaran. Selalu sahaja saya melewati buku ini di rak kedai buku, tetapi tidak sampai seru untuk membelinya, sehinggalah Jejak Tarbiah menawarkan potongan separuh harga untuk buku ini. Mungkin juga kerana kurang kekerapan saya ke kedai buku (dan bertambahnya kekerapan melawat web penerbit buku) saya pun membelinya.

Walhal, ada banyak buku yang saya baca berkaitan dengan perkara-perkara pasca Haji. Memang benarlah, ingatan itu kena selalu diulang-ulang kerana manusia itu bersifat mudah lupa. Mungkin juga takdir untuk saya membaca buku itu pada ketika ini sebagai peringatan kepada iman yang semakin menurun dan semangat yang makin pudar.

Kawan,
Kalau ketika berada di Tanah Suci, kita bersemangat untuk pergi ke masjid lebih awal dari waktunya spaya mendapat tempat yang terbaik di dalam masjid – kenapa di negara sendiri kita tidak berlumba untuk ke masjid lebih awal? Padahal, rasanya tidak ramai (atau mungkin tiada langsung) akan berebut saf yang paling hadapan.

Kawan,
Di Tanah Suci, kita solat tepat pada waktunya. Sayang sekali di tempat sendiri, kita lewat-lewatkan solat itu. Lebih menjadi ujian adalah kepada mereka yang berumah paling hampir dengan surau/masjid. Ia adalah peluang yang mungkin bertukar menjadi kelemahan atau paling teruk lagi menjadi ancaman.

Kawan,
Tentu bagus sekali kalau tahap iman itu boleh diukur dengan satu alat penanda. Saya sendiri selalu terfikir bukankah elok ada satu alat yang apabila diletak pada diri, kita dapat lihat tahap keimanan kita. Apabila tahap keimanan kita menurun, maka ia menjadi indikasi kepada kita untuk menambah zikir, menambah kekerapan menghadiri majlis ilmu – pendek kata menambah apa yang patut ditambah agar tahap keimanan itu meningkat semula. Sayangnya ia tidak begitu.
Allah menguji kita untuk melihat siapakah yang lebih baik amalnya. Siapa yang istiqamah, siapa yang tergelincir.

Lalu, kepada mereka yang telah menjadi tetamu Allah, saya mengajak diri saya dan anda untuk mengukur sendiri tahap keimanan kita dan di mana kita berada. Layakkah kita mendapat Haji yang Mabrur? Jika belum lagi, kita masih punya masa untuk mencari dan mendapatkannya. Mari berbaik sangka dengan Allah, insyaAllah mari kita berdoa semoga kita tergolong dalam mereka yang mendapat Haji yang mabrur

Thursday, 29 October 2020

Salam Maulidur Rasul

 

Salam Maulidur Rasul

Kita meraikan hari lahir junjungan mulia Nabi Muhammad saw (12 Rabiulawal).
Lalu, sirah-sirah berkaitan kelahiran Nabi saw diulang kongsi di media sosial, dan dibincang di media massa. Kita memang memerlukan sesuatu itu berulang-ulang, sebab sifat manusia itu sendiri adalah mudah lupa.

Mungkin ramai yang sedar bahawa Nabi saw lahir pada Tahun Gajah, tapi mungkin ada yang tak relate dengan peristiwa Abrahah menyerang Kaabah. Kisah itu terkait dengan cubaan pembinaan bangunan serupa Kaabah untuk menandinginya, tidak berjaya, lalu Kaabah diserang.

Siapakah yang menyambut kelahiran Nabi saw? Waktu apakah Nabi saw lahir? Hari apakah Nabi saw lahir? Siapa ibu susuan Nabi saw? Siapakah yang menjaga Nabi saw setelah baginda kehilangan ibunda tersayang? Siapakah yang mengambil alih menjaga Nabi saw setelah datuk tercinta pergi? Apakah nama isteri-isteri dan anak-anak baginda? Perjuangan baginda dalam menegakkan agama?Kita tahukah kisah-kisah ini?

Nabi saw – kita tagih syafaatnya di akhirat kelak.Tapi bagaimana baginda akan mengenali kita ini umatnya, jikalau tidak kita tunjukkan kecintaan kita kepada baginda? Telah lebih 1400 tahun baginda meninggalkan kita. Kalau ikutlah logik, kita terlalu jauh dari segi masa dengan baginda, tapi dalam khutbah baginda yang terakhir telah dinyatakan bahawa "Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. “ Mudah-mudahan kita menjadi golongan yang memahami ini. Amin YaRabbal ‘alamin.

Kawan,

Kita tidak sekadar mengingati Nabi saw kekasih Allah ini hanya pada hari lahirnya sahaja. Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada yang membaca, Dalam usaha kita – orang yang biasa2 ini – untuk menjadi umat yang dikenali di akhirat kelak, kita amalkan sunah baginda dalam kehidupan seharian. Akhlak baginda adalah akhlak Al-Quran. Baginda begitu mencintai umatnya hingga ke akhir hayat. Namun, cintakah kita kepada baginda? Sejauh mana sunah baginda kita amalkan dalam kehidupan - dalam pergaulan dengan keluarga,para sahabat, anak yatim, kanak-kanak. Cara baginda makan, tidur, beribadat – segala-galanya lah.
Kalau kita tak kenal baginda, bagaimana lahir rasa cinta kepada baginda?


“Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai (di akhirat kelak)”.
Semua kita akan berharap untuk bertemu baginda, mendapat syafaat baginda, dapat minum air di telaga Kauthar pada waktu dahaga yang bukan kepalang dan dipercepatkan hitungan dikalangan bilangan manusia yang tidak terkira di akhirat kelak.

Nabi Muhammad saw – satu sosok yang telah diketahui sebagai kekasih Allah lebih awal, malah ada Nabi sebelumnya yang berharap untuk menjadi umatnya. Umat Nabi Muhammad saw akan diadili dan masuk syurga lebih awal. Bukankah kita istimewa dan beruntung?

Salam Maulidur Rasul 1442! Semoga kita jadi umatnya yang lebih baik dari hari ke hari.



Monday, 26 October 2020

Manusia itu herbivor, karnivor atau omnivor?

 Manusia itu herbivor, karnivor atau omnivor?

Soalan ini ditanyakan kepada kelas saya sewaktu tingkatan 2.

Entah kenapa waktu itu ditanyakan saya pun dah lupa. Tapi, apabila cikgu bertanya – siapa rasa manusia itu omnivor?
Semua angkat tangan …kecuali saya.
Saya ini bersaiz kecil, jadi orang tak perasan saya itu dah biasa.
Tapi sebab saya suka duduk dalam kelompok hadapan, maka ia adalah obvious saya tak angkat tangan.

Aduss..macam mana ni
Lalu cikgu berkenaan kata – ‘semua orang berdiri…’
‘Siapa yang kata manusia itu omnivor sila duduk.’

Makanya saya seorang sahaja yang berdiri. Gigil sikit. Tapi masih tegar dengan pendapat sendiri.
‘Ok kamu…kenapa manusia bukan omnivor?

Sebelum itu – ingat lagi tak apakah herbivor, karnivor dan omnivor?
kalau zaman dulu2 (mungkin 70an), maun (makan daun), maging (makan daging) dan satu lagi yang makan semua tu saya tak ingat haha…

Jadi, kenapa manusia bukan omnivor? Manusia kan makan semua – daging, sayur, buah…

Jawapan saya – ermm..sebab manusia bukan macam binatang cikgu. Herbivor, karnivor, omnivor tu semua utk binatang saja (ok itu lah saya rasa jawapan saya dalam bentuk yang paling mudah – sesuai dengan pemikiran seorang budak tingkatan 2.


Saya tak ingat scene seterusnya. Saya mental blok!!
Saya pasti cikgu ada menerangkan kenapa manusia adalah omnivor.
Tapi bagi saya, manusia bukan mana-mana kategori itu. Entahlah rasanya saya tak dipengaruhi bacaan di mana-mana ketika itu. Sekadar tidak setuju manusia disama taraf dengan binatang.


Kita mungkin ada ciri yang sama dengan omnivor, makan daging. Makan sayur, makan buah, ada gigi mengunyah TETAPI kita berbeza kerana kita ada ada otak yang digunakan untuk berfikir.


Binatang pun ada otak, tapi binatang tak membezakan perkara yang baik dan buruk. Ok – jangan bahaskan disini binatang yang boleh diajar untuk bercakap, memilih makanan, mengenalpasti arahan dan sebagainya. Itu pergi argue kat tempat lain haha..

Kita ada mulut dan ciri gigi yang boleh mengunyah dan mengoyak daging. Binatang pun sama. TAPI mulut kita diguna untuk bercakap, dan disaran bercakap perkara yang baik-baik. Lidah kita akan menjadi saksi di akhirat kelak, berbeza dengan binatang yang tidak dipertanggungjawabkan.

Tapi dah tentu argument saya pada waktu itu bukan seperti ini. Its just simply ‘sebab manusia itu bukan macam binatang.’ Itu saja.
Tak kira apa point atau fakta yang menyokong manusia itu golongan omnivor – otak saya dah blocked. Bak kata bos saya dulu ‘kamu ni mental blok!!’ wakakaka
Saya percaya apa yang saya rasa betul – hinggalah ada satu sebab yang konkrit boleh mengubahnya.


Jadi, apa pandangan anda yang membaca?


omnivor itu beginilah salah satunya haha...comel kan? (lawak je)
(kredit pic : google)