Catatan 2020
Catatan II
Pengumuman PKP bermula 18 Mac 2020 membuatkan ramai diantara
kita termangu dan terpinga serta berusaha sedaya upaya menyesuaikan diri dengan
norma baharu yang ditetapkan. Perkara paling besar yang terjadi adalah
penetapan Bekerja Dari Rumah (BDR) dan pembelajaran secara online learning bagi
murid sekolah.
Seminggu pertama PKP kami lalui dengan penuh semangat
meskipun anak-anak kebosanan tidak boleh keluar dari rumah. Pada ketika ini
kita, rakyat Malaysia, bersungguh-sungguh untuk patuh dengan syarat yang
dikenakan oleh pemerintah demi untuk menurunkan angka jangkitan COVID-19 ini.
Paling menggigil adalah suami dan anak-anak lelakilah..kerana tidak boleh
keluar rumah dan tidak dapat main bola pada waktu petang. Pada waktu ini, keperluan
terhadap gajet seperti telefon bimbit, tablet dan laptop begitu penting untuk
menyokong pembelajaran secara online, terlebih pentingnya lagi kepada ibu bapa
yang melaksanakan fungsi BDR sepenuhnya.
Namun, disebalik semua itu, perkara positif yang saya hendak
utarakan (sebagai ingatan di kemudian hari) di sini adalah PKP memberikan
peluang untuk kami sekeluarga solat berjemaah dan juga membaca Al-Quran dengan
lebih kerap. Sebelum ini saya hanya bersolat seorang diri, kerana manusia yang
berjantina lelaki di rumah ini, semuanya saya paksa ke surau untuk solat
berjemaah. Hanya hujan lebat sahaja yang boleh menjadi sebab tidak bersolat
Jemaah di surau. Biar panas terik, walau gerimis (payung kan ada) seboleh
mungkin, biarlah lelaki di rumah ini berjemaah di surau. Solat berjemaah waktu
Subuh pada hari minggu adalah wajib bagi anak-anak, tapi tidak di hari
bersekolah kerana van sekolah datang awal. Tapi kami tetap berjemaah di rumah.
Berada di rumah sepanjang masa, Alhamdulillah membolehkan kami saling mengingati
apabila masuk waktu solat. Alhamdulillah, ia menjadi kebiasaan sehinggakan kami
berasa janggal dan ‘salah’ jika solat bersendirian. PKP tahun 2020 juga menjadi
sejarah apabila setiap rumah mendirikan solat Hari Raya dan khutbah dibaca oleh
ketua keluarga. Lebih manis apabila membaca Al-Quran dijadikan kebiasaan
selepas solat fardhu. Tempoh ini menjauhkan kita daripada manusia lain melalui
sosial distancing, tetapi rupanya mendekatkan diri kita kepada Pencipta kita
melalui masa-masa yang dapat diluangkan di rumah.
Selain itu, dalam tempoh PKP juga ini juga, TV Alhijrah telah memperkenalkan
siaran Malaysia #QuranTime. Pada ketika ini saya tidak dapat mengikuti siaran
langsung dan juga ulangannya kerana mesyuarat editorial/terjemahan siang dan
malam. Kalau tidak silap saya, ketika ini surah-surah yang dibincangkan untuk
tadabbur adalah surah tertentu yang dipilih daripada Al-Quran. Namun, rezeki
saya untuk mempelajari tadabbur surah secara sistematik muncul apabila TV
Alhijrah melancarkan program My #QuranTime bermula 8 Jun 2020 (memang saya
ingat tarikh ini) dan membicarakan satu muka surat Al-Quran sehari (pada hari
biasa) dan ulangkaji tajwid dan tadabbur pada hujung minggu.
Selain tadabbur dengan tagline BACA, FAHAM, AMAL, turut
diselitkan adalah pelajaran berkaitan dengan tajwid. Sangkaan saya, segmen
tajwid akan terus memperkenalkan hukum-hukum nun mati dan tanwin – izhar,
idgham, iqlab dan ikhfa’, tetapi sangkaan itu meleset. Segmen tajwid dirangka
dengan begitu teliti dimulakan dengan makhraj dan sifat huruf. Segmen ini
begitu terasa di hati dan pendengaran saya sehingga saya mengesan kesalahan
sebutan imam ketika membaca surah dalam solat. Kadang-kadang, jika mendengar
lantunan ayat Al-Quran, saya cuba membayangkan tulisannya melalui suara dan sebutan
qari yang membacanya. Saya dari kecil tidak terdedah kepada pembelajaran
makhraj ini, malah ketika saya menyertai kumpulan mengaji muslimat di surau,
mereka sudah pun melepasi pembelajaran berkaitan makhraj ini. Jadi saya belajar
dalam siri-siri My Quran Time ini dan juga pembelajaran kendiri Bahasa Arab
selama 21 jam dalam E-Pembelajaran Sektor Awam (EPSA). Sewajarnya mereka yang nak
mengenali Al-Quran juga memulakan dengan makhraj dan sifat huruf barulah
mengenali hukum-hukum tajwid lain, bagi memastikan sesuatu perkataan itu dibaca
dengan betul dan sempurna.
Setakat itulah catatan kedua untuk ingatan bagi tahun 2020 yang berlalu ini.
Dah ada idea untuk catatan ketiga….
No comments:
Post a Comment