Friday, 30 August 2019

Beruntunglah orang yang digelar kaki masjid

Salam Jumaat

Dah lama rupanya tak update post..oklah ini saya copy paste dari pesanan Whatapps yang diterima

Beruntunglah orang yang digelar kaki masjid atau digelar Merpati Masjid. Sekurang-kurangnya mereka mendapat 11 ganjaran berikut;

1- Rasulullah berpesan: "Jika kamu melihat seseorang yang sentiasa ke masjid, maka persaksikanlah dia orang beriman. Allah berfirman: 'Sesungguhnya orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat (Al-Tawbah 9: 18). " (Riwayat Ibn Majah)

2- Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang pergi ke masjid berjemaah, maka pada satu langkah dihapuskan dosa, pada langkah lain dicatatkan pahala, baik semasa pergi atau balik." (Riwayat Ahmad, Ibn Majah)

3- Rasulullah bersabda: "Tiada seorang Muslim pun yang sentiasa menghadirkan dirinya ke masjid-masjid untuk solat dan zikir melainkan Allah gembira menyambutnya sebagaimana ahli keluarga yang bergembira menyambut saudaranya yang sudah lama menghilang." (Riwayat Ibn Majah)

4- Rasulullah bersabda: "Ada tiga golongan semuanya dijamin Allah; ketika hidup dia diberikan rezeki dan kecukupan, apabila mati dia masuk syurga:

i. Sesiapa yang masuk ke rumahnya dengan memberi salam, maka dia dijamin Allah.
ii. Sesiapa yang keluar rumah untuk ke masjid, maka dia dijamin Allah.
iii. Sesiapa yang keluar demi untuk berjuang di jalan Allah, maka dia dijamin Allah. (Riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad)

5- Rasulullah bersabda: "Tidak berkumpul suatu kaum di mana-mana rumah Allah, mereka membaca kitab Allah dan mengkajinya sesama mereka, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan, diliputi rahmat dan malaikat meneduhi mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka di depan malaikat-malaikat." (Riwayat Muslim)

6- Rasulullah bersabda: "Ada tujuh golongan yang akan dinaungkan Allah dengan naungan-Nya pada hari yang tidak ada naungan selain naungan-Nya...seseorang yang hatinya terpaut pada masjid-masjid." (Riwayat al-Bukhari)
Dalam riwayat Malik: "Seseorang yang hatinya terpaut pada masjid sehingga dia kembali kesitu semula."

7- Rasulullah bersabda: "Berilah khabar gembira kepada orang yang selalu berjalan kaki dalam kegelapan malam demi menuju ke masjid bahawa untuknya cahaya sempurna pada hari kiamat." (Riwayat al-Tirmizi)

8- Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang solat berjemaah sempat dengan takbir pertama selama 40 hari kerana Allah, dicatatkan untuknya dua pelepasan; pelepasan daripada neraka dan pelepasan daripada sifat munafik." (Riwayat al-Tirmizi)

9- Rasulullah bersabda: "Masjid rumah setiap orang bertakwa. Allah telah jamin sesiapa yang masjid menjadi ibarat rumahnya dengan keluasan, kerehatan dan kemudahan melepasi sirat menuju keredaan Tuhan." (Riwayat al-Baihaqi)

10- Rasulullah berasabda: "Sesiapa yang berpergian pada waktu awal pagi atau petang menuju ke masjid, Allah akan menyediakan baginya tempat atau hidangan di dalam syurga setiap kali dia pergi ke masjid pada awal pagi dan petang." (Riwayat Ahmad)

11- Allah berfirman: "Demikianlah, dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah maka kerana hal itu satu kesan ketakwaan hati." (Al-Hajj 22: 32)
Dan Allah juga berfirman: "Sesungguhnya orang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa." (Al-Hujurat 49: 13)

ALLAHUMMA, semoga kami menjadi kaki masjid dunia supaya kami termasuk dalam senarai VIP-Mu di syurga.

"ALLAHUMMA, bantulah kami untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan melakukan ibadah yang terbaik untuk-Mu."
(Riwayat Abu Dawud)

Wednesday, 31 July 2019

Tua nanti nak jadi apa?

Kita selalu bertanya pada kanak-kanak – Besar nanti nak jadi apa?

ok ..maybe anda tak bertanya, tapi saya yang suka menyebok bertanya hahaha….

Saya ingat lagi anak-anak saya bertukar2 cita-cita tu dari kecil hingga dewasa..pernah ada yang nak jadi Ultraman – nak selamatkan dunia, nk jadi Bomba (lepas lawatan tadika ke balai Bomba), nak jadi askar, nk jadi pekerja macam ibu (anak tak tahu ibu kerja apa tapi ibu duduk di pejabat)..apa yang mereka ‘nak jadi’ tu berkisar kepada situasi dan keadaan sekeliling mereka.

Tapi, soalan ‘apa kita nk jadi’ tu terhad kepada anak-anak sahaja kah?
Adakah kalau mereka dapat apa yang mereka nk jadi, dah cukup? Berhenti setakat itu sahaja?

Saya nk bertanya – pernah tak anda/korang terfikir- apa yang anda nak jadi apabila tua nanti? Kalau dengan lebih berlapik – lepas pencen nk buat apa? Atau bila umur 60 nanti nk buat apa? (dengan anggapan panjang umur sehingga usia itu)..Haa..mungkin ada antara kawan2 penjawat awam seperti saya ni berkata ‘ tak sabar nk pencen’.
Well..lepas pencen tu nk buat apa? Dah ada perancangan ke?

Biasanya, bila kita cecah usia persaraan, tak kira lah penjawat awam ke atau swasta, atau bekerja sendiri, bila mencecah usia itu – dah dalam kedudukan agak selesa dari segi kewangan. Tapi tak dinafikan bahawa dengan kenaikan kos sara hidup ni, tak mustahil, di usia persaraan tu masih lagi kita terbeban dengan pelbagai hutang yang melingkari, mungkin anak pun masih belum bergraduasi, atau mungkin diuji dengan pelbagai masalah lain…

Tapi dari segi di atas kertas, biasanya pada umur begitu kita harap kita dah mempunyai masa yang terluang, dah tak terkejar nk siapkan anak ke sekolah, dah tak perlu nk ligan punch card, tiada lagi terlibat dengan kesesakan jalan raya.

Masa terluang yang kita ada ini, ditambah dengan kedudukan kewangan yang selesa (harap2), biasanya membolehkan golongan ini melancong ke serata dunia, mungkin menunaikan umrah berkali2 dan juga menjadikan golongan ini penyumbang kepada peningkatan statistik pengunjung rumah Allah. Bagus kan?

Bagi yang sedar, inilah masanya untuk menyediakan diri di usia senja sebelum bertemu penciptaNya. Tapi, sekadar itu sahaja kah? Wajarkah duduk 24 jam di rumah Allah?

Ada satu penulisan yang saya baca – adakah mereka yang duduk di masjid 24 jam lebih baik dari mereka yang membanting tulang membantu orang susah? Bukankah hidup kita ini kena bermanfaat untuk orang lain?

Lantas, apakah yang kita rancang untuk jadi bila di usia senja nanti?

Saya sudah mempunyai perancangan. Anda bagaimana?
(Macam iklan pulak 😄)

-norzie-

Thursday, 25 July 2019

Lalu aku hidup sebagai apa?

Kelmarin saya terfikir (lagi) tentang kehidupan. Persoalan (yang telah pernah dijawab melalui pembacaan dan kuliah) tentang kenapa hidup ini muncul lagi.

Mesti ada sebab kita dihidupkan di muka bumi
Mesti ada sebab kita hidup pada zaman yang tertentu
Mesti ada sebabnya kita lahir di sini, membesar di satu tempat, bertemu jodoh dan banyak lagi
Lalu apa sebenarnya hidup ini?

Lantas, teringat macam ada satu buku dengan tajuk ini. Saya pasti.

Bukan buku saya, tapi ia ada di rumah (Farahin punya).
Saya rasa saya ingat hampir semua buku yang ada di rak. Mungkin saya tidak boleh menamakan tajuk buku dan pengarangnya dengan tepat, tapi bila saya nk sesuatu, saya tahu buku mana, rak lapis keberapa dan boleh bayangkan benda nak dicari tu di muka surat sebelah kiri atau kanan.

Balik ke rumah, saya cari buku itu dan tadaaa…tidak salah lagi ingatan saya. (Alhamdulillah Allah yang beri ilham). Lalu aku hidup sebagai apa – tajuk bukunya

Setelah selesai semua perkara yang wajib dan rutin pada waktu malam, saya membaca. Anak pernah bertanya kenapa saya mesti tidur dengan buku.
Entahlah, saya pun tak tahu, mungkin itu tabiat. Saya mesti membaca beberapa muka surat (disamping membaca mukabuku –FB- hahaha). Kebiasaan juga saya membaca beberapa buku, kerana ketamakan saya. Saya tak boleh stick kepada 1 buku saja pada satu masa.

Ok, berbalik kepada apa yang saya fikir tentang kehidupan. Saya fikir, saya akan ketemu jawapan dengan nada yang sama dalam buku itu. Tapi tidak. Ia bukan apa yang saya sangka. Tapi ia adalah ‘sesuatu’. Buat yang biasa, tentu tahu bahawa penerbitan buku oleh Dubook Press ini agak keluar dari kebiasaan. Penulisannya kadang2 tajam, menyentap dan menyentuh.

Belum habis baca. Baru baca 1/3.
Sebab, ada hari otak saya mahukan sesuatu yang berbentuk ilmu
Ada hari, otak saya mahukan sesuatu yang santai tapi bermanfaat
Ada ketika, saya mahu membaca biografi
Ada waktunya saya hanya nk membaca sesuatu yang berbentuk sejarah.
Entahlah kenapa – tapi ikut moodlah…

Kenapa kita hidup?
Tujuan dan matlamat awak mungkin tak sama dengan saya.
Tapi...
Jawapan kepada apa tujuan kita hidup pun boleh ditemui dalam buku (kitab).
Ianya ditulis dengan jelas dan tak pernah berubah sejak lebih 1400 tahun yang lalu. Ia adalah Al-Quran.

Dalam surah ke 51 (surah Al-Dzariyat) ayat 56 dinyatakan bahawa
‘ Aku tidak menciptakan manusia dan jin melainkan untuk beribadah kepadaKu’

Jelas – itu lah matlamat sebenar kehidupan kita.
khalas!!

Thursday, 11 July 2019

Adab Jumaat dan caranya

Adab sunat yang patut diambil berat dan diamalkan

1)      Mandi – mandi sunat sebelum keluar solat Jumaat..
2)      Membersihkan tubuh daripada kekotoran, bau busuk dan memakai minyak dan wangi-wangian - agar tidak mengganggu orang lain malah dapat menimulkan rasa kasih sayang dan gembira  apabila bertemu sesama Jemaah
3)      memakai pakaian yang terbaik
pakaian terbaik adalah pakaian berwarna putih. Hal ini berdasarkan hadis, Rasullullah bersabda :
“Hendaklah memakai pakaian berwarna putih. Sesungguhnya pakaian berwarna putih adalah pakaian terbaik dan kafankanlah orang mati dikalangan kamu dengan kain putih”
4)      memotong kuku dan mengemas rambut – Rasullulah saw memotong kuku dan menggunting misai pada hari Jumaat
5)      bersegera ke masjid – pahala pergi awal ke masjid umpama bersedekah seekor unta,
pergi pada saat kedua seolah bersedekah seekor lembu,
pergi pada saat ketiga seolah bersedekah seekor kambing bertanduk cantik,
pergi pada saat keempat seolah bersedekah seekor ayam,
pergi pada saat kelima seolah bersedekah sebiji telur.
Kemudian apabila imam keluar naik ke atas mimbar untuk berkhutbah para malaikat hadir bersama-sama mendengar khutbahnya.
6)      Solat dua rakaat ketika memasuki masjid
“ Apabila seseorang daripada kamu sampai ke masjid pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah dia hendaklah mendirikan solat dua rakaat yang ringkas dan sempurna” (Riwayat Muslim 875)
Sekiranya khatib masih belum mengakhiri khutbahnya. jika demikian dia hendaklah menunggu solat fardhu didirikan, Apabila terus duduk maka solat sunat dua rakaat tersebut terluput dan tidak sah jika dia melakukan semula. Malah dia wajib terus duduk mendengar khutbah sehingga solat Jumaat didirikan.
7)      Diam ketika dua khutbah
“Apabila kamu berkata ‘diam’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat ketika imam membaca khutbah maka sia-sialah Jumaat kamu”
(Riwayat Bukhari (892), Muslim (851) dan yang lainnya)


Adab umum pada hari Jumaat

   1)      Sunat membaca Surah Al-Kahfi pada malam Jumaat dan siangnya
   2)      Memperbanyakkan doa pada malam dan siangnya
   3)      Sunat berselawat ke atas Nabi saw dengan banyak pada malam dan siangnya

Jom semua...kita hormati dan raikan hari raya kecil setiap minggu ini dengan persiapan diri yang paling baik...semoga ada manfaat.

Monday, 6 May 2019

Tips 22 : Biasakan diri berbaring di lantai

Tiba-tiba saya teringat pula tentang perkara ini.

Dirumah mungkin kita mempunyai katil yang besar, empuk, cadar yang tinggi tenunannya, comforter yang selesa dan bantal peluk yang sedap..

Japi jangan fikir tentang keselesaan ketika menunaikan Haji. Selesa itu bukan di Mekah dan Arafah. Kita bukan datang untuk bercuti dan nak menikmati keselesaan.
Malahan, kita datang untuk menunaikan rukun Islam kelima, datang sebagai hamba yang semua orang pada ketika itu adalah serupa, tiada darjat dan pangkat (kalau ada jugak tak tau nk kata apa).

Haji itu penat.
Haji itu kusut masai.
Haji itu serabut.
Haji itu tidak selesa.
Haji itu tak cukup tidur.
Haji itu makannya tak sedap macam di rumah/tanah air.

Ha, itulah kalau saya boleh simpulkan.

Kerana kita akan tidur dalam khemah di Arafah dan Mina, bersama ratusan jemaah lain tanpa katil dan tilam empuk dan penghawa dingin. Kita hanya akan tidur atas tikar yang besar sedikit dari sejadah yang diberikan oleh pihak TH. Disitulah kita letak beg kecil 5kg sebagai bantal dan disitu nk solat dan juga baring.

Jadi, kalau selalunya rasa sakit belakang dan pinggang bila tak baring atas tilan/katil, maka eloklah bermula berlatih dari sekarang tidur di atas hamparan toto. Orang utara kata gebar...macam selimut gitewww....

Dulu saya konon hidup teratur (sebelum berkahwin) haha...konon tidur atas toto tu sakit belakang..tapi bila dah punya anak tak boleh tidur atas katil sebab nanti pakat jatuh katil belaka. Tambahan pula boys ni buas betul...Jadi bertahun2 saya tidur berlapikkan toto sahaja.
Rupanya ada hikmah di situ, kita dah biasa dan tiada masalah tidur di atas lantai.

Malah, ada ketika itu, sayaterpaksa buka tikar dan tidur di luar khemah (di Mina) kerana tiada ruang langsung untuk saya masuk ke dalam khemah. Sejuk, penat, tense semua ada, tambahan pula orang lalu lalang di tepi2 khemah...tapi saya tetap berupaya tidur sejam lebih dalam keadaan itu...dugaan...
jadi, apa lagi,bolehlah berlatih dari sekarang.

Nota : Ada ulamak yang tidak tidur di atas katil langsung, supaya tidak berasa sedap sangat tidur dan tidak bangun untuk solat malam. Kita?



Thursday, 25 April 2019

Lelaki yang tidak hadir solat Jumaat harus mempunyai rasa malu yang sama tahapnya (atau lebih) dengan rasa seperti wanita Muslim yang makan di khalayak ramai ketika bulan Ramadhan.


Lelaki yang tidak hadir solat Jumaat harus mempunyai rasa malu yang sama tahapnya (atau lebih) dengan rasa seperti wanita Muslim yang makan di khalayak ramai ketika bulan Ramadhan.

Haa..panjang lebar tajuk kali ni. Perkara ini berlegar di pemikiran saya setiap kali Jumaat yang bekerja. Di Putrajaya, kebanyakan wanita menghabiskan Jumaat di Alamanda dan IOI Putrajaya. Of course ada lagi yang mengambil anak, bawa solat Jumaat, balik rumah dan masak, mop dan lain-lain aktiviti.

Tapi setiap kali berada sama ada di Alamanda atau IOI, sama saja situasinya. Ada ramai lelaki (macam Muslim) di sana sini. Mungkin para lelaki mempamerkan riak wajah – eh..ini belum masuk waktu lagi – yang ini kita masih boleh memahami nya, walaupun kita tahu perjalanan nk ke masjid itu bukan sekejap, dan jalan itu bukannya smooth (dah banyak kereta parking kiri kanan jalan).

Kemudian jika terserempak lelaki yang muka macam Melayu bila dah masuk waktu zohor, tak tahu nak anggap macam mana. Sejauh mana dan selama mana hati dapat berbaik sangka, ini Orang Asli belum Islam kott, atau dia ni musafir kot..malah kalau bermusafir pun, saya rasa elok jika tidak berada di tempat terbuka yang ramai perempuan tanpa rasa bersalah, ini hanya akan menerbitkan pelbagai prasangka (at least kepada saya). Kadang-kadang saya rasa lebih baik duduk di pejabat selama hampir 3 jam itu daripada keluar bergembira dengan rakan-rakan tetapi terbit pelbagai sangkaan dengan para lelaki yang macam Melayu Muslim ini (tapi seminggu sekali nk juga keluar dengan kawan2…)

Itu tak kira lagi mereka yang bekerja di kedai, ataupun buka gerai…saya selalu bertegas dengan diri saya sendiri untuk tidak membeli dengan pekedai atau lelaki yang jaga gerai yang saya rasa mereka ini Melayu. Mungkin saya berlebihan di sini, tetapi saya tidak mahu dijadikan alasan mereka lambat atau tidak bersolat sebab ada pembeli di kedai mereka. Lebih dari itu, saya juga rasa marah pada tuan punya kedai makan yang melayan lelaki Muslim makan dan bersembang sedangkan sudah masuk waktu. Malah, mahu saja saya tegaskan kepada mereka itu, bahawa mereka tidak akan rugi pun jika tutup sekejap untuk solat Jumaat. Rezeki itu Allah yang tentukan. Malah disebut dalam surah Al Jumuah ayat 9-10:

“ Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kami di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”


Ultraman tak pergi solat Jumaat. tapi budak yang fire tu pergi solat Jumaat tau..


Itulah luahan kegeraman saya. Dan itu tak masuk lagi yang sengaja lambat2 ke masjid…yang ini sy dah pernah tulis status yang panjang dalam FB satu ketika dahulu.


Jadi kalau wanita Muslim rasa malu nk makan di khalayak di bulan Ramadhan, bukankah rasa yang sama patut ada dalam diri lelaki Muslim yang lambat hadir atau tidak bersolat Jumaat? Suruhan Allah ini sekali sahaja seminggu, malah kalau nk deep lagi, selain solat Jumaat dan solat Hari Raya, ada tak waktu lain yang para lelaki Muslim sekelian ke masjid? Umum tahu waktu solat subuh, sukar nk ditemui masjid atau surau yang penuh makmumnya…kalau solat 5 waktu liat ke masjid, apa salahnya bersungguh pada waktu solat Jumaat? Barangkali wajar difikirkan satu kaedah/mekanisme penguatkuasaan berhubung solat Jumaat ini..ini negara Islam kan….

Yang merayakan hari Jumaat setiap minggu,
Norzie

Wednesday, 13 March 2019

Pilih Yang Halal



Sekiranya diberi pilihan berikut:
a) makanan yang mempunyai tanda halal JAKIM beserta dengan ISOnya, tetapi dikilang oleh syarikat yang tidak mempunyai nama berciri keislaman/kemelayuan (ok saya racist kah?);
b) makanan dengan jenama keislaman dan dikeluarkan oleh orang Islam, tetapi tidak mempunyai sijil halal.

Yang mana pilihan anda?

Saya – mempunyai pilihan yang jelas. Anda bagaimana?

Persoalan ini timbul satu ketika dahulu, apabila seorang saudara menolak untuk makan masakan  dengan jenama tertentu sebab produk yang digunakan tiada ciri nama Islam/Melayu. Argument saya mudah – kan ada tanda halal tu? Jawapan yang diberikan – bukan boleh percaya pun!! So, saya nak kata apa ….

 Pada saya pula adalah jelas – saya memilih yang halal. Ok – semua kita akan memilih makanan yang halal. Secara lebih spesifik, saya akan pilih makanan yang mempunyai tanda persijilan Halal oleh JAKIM. Sebab saya tahu bukan senang nak memperoleh persijilan halal ni.

Bagaimana nk kenal ada persijilan halal ke tak? Kadang-kadang kita rasa ok dengan cap yang tulisan jawi (Ha – Lam alif – Lam) yang ditulis dalam bulatan. Tengok nama syarikat pengeluar pun..macam nama Melayu..ini mesti islam. So, anda yakin. Tetapi sebenarnya anda tak tahu yang anda tak tahu…

Logo Halal yang sepatutnya anda pilih mestilah tulisan jawi itu berada dalam bucu lapan, dan dikelilingan tulisan *MALAYSIA* (kena pastikan ada bintang sebelum dan selepas tulisan). Kemudian ada tulisan jawi Malaysia juga di bulatan yang sama bahagian bawah. Di luar bulatan itu ada tertera jenis persijilan yang berkaitan. Contohnya kalau melibatkan makanan, maka ianya MS1500:2009 dan diikuti dengan 10 digit (saya tak tahu ini nombor apa - agaknya rujukan file produk mungkin)



Simple kan? Saya yakin dengan jenama halal JAKIM, sebab saya tahu proses untuk mendapatkannya bukannya mudah. Ia mesti halalan toyyiban. – All the way dari bahan mentah, penyimpanan,urusan pengangkutan/logistic, pemprosesan,pembungkusan,pengedaran – semuanya mesti halal. Jadi, apa yang nk dirisaukan kalau pun syarikat yang mengeluarkan produk itu tak mempunyai nama berciri Melayu? Agama Islam bukan milik orang Melayu sahaja ye, ini persepsi yang mesti diubah. Ada orang Islam yang bukan berbangsa Melayu dan tidak menukar pun nama mereka supaya bercirikan Melayu.

Dan satu perkara yang memang sukar untuk disangkal lagi – bahawa 90% permohonan persijilan halal datang daripada syarikat non-muslim.

Perkara ini kembali dalam otak saya apabila ada Jemaah bertanyakan perkara ini dalam satu kuliah Fiqh Halal dan Haram dalam Islam. Jika ada dua produk halal, satu daripada syarikat Muslim dan satu lagi non-Muslim, yang mana patut dipilih. Dan kalau keduanya ada persijilan halal – maka saya ada pilihan yang jelas. Kalau satu ada persijilan Halal JAKIM, satu lagi tiada – saya juga ada pilihan yang jelas.

Dalam kuliah yang sama, diterangkan lagi bahawa perkara yang diperlukan untuk memperoleh sijil halal adalah:

1)      mematuhi standard halal
standard halal ini terdapat 7 bidang iaitu:
a)       makanan/minuman.makanan tambahan;
b)      premis makanan;
c)       barang gunaan;
d)      kosmetik dan dandanan diri;
e)      rumah sembelih;
f)        farmaseutikal; dan
g)       logistik.

2)      mengikuti manual dan prosedur persijilan halal  seperti MS 1500:2009/MS 2200:2008 dll
3)      mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi hal ehwal agama Islam/Fatwa Negeri
4)      mematuhi Akta Makanan 1983
5)      mematuhi pekeliling/garis panduan berkaitan produk yang dikeluarkan

Selain itu, kalau nak tahu, syarikat yang mempunyai persijilan halal ini mempunyai Eksekutif Halal yang merupakan seorang Muslim, yang mempunyai latar belakang agama dan mempunyai kelayakan Sijil Eksekutif Halal. Keperluan ini adalah sama bagi syarikat tempatan dan juga syarikat besar, manakala kalau PKS (perusahaan kecil dan sederhana) yang memohon persijilan halal JAKIM pula kena adakan penyelia muslim dan minima seorang pekerja muslim.

So, lepas mengetahui ini, jangan ragu-ragu dengan persijilan halal JAKIM lagi ya…jangan ada pula antara kita yang kata tak boleh percaya lah…kalau tak tahu, kena cari maklumat bagi tahu…bak kata satu rancangan tu – Biar Tahu, Jangan Keliru…

Friday, 1 February 2019

Dunia tempat meninggal, bukan tempat tinggal




Saya dengar kata2 ini melalui satu lagu Indonesia (rasanya) pada waktu pagi…kemudian dalam beberapa hari sewaktu terfikir tentang perkara ini, tiba2 terdengar lagi..

Dunia sementara, akhirat selamanya

Bersyukurlah atas segala
Apa yang kita dapatkan
Karena semuanya begitu indah
Bersabarlah atas segala
Musibah yang menghampiri
Karena semuanya tak akan lama
Sedih sementara
Bahagia sementara
Sakit sementara
Sehat sementara
Miskin sementara
Kayapun sementara
Dunia sementara
Akhirat slama lamanya
Berharaplah hanya kepada
Allah yang maha segalanya
Yakinkan hati hanya kepadanya
Dunia ini Tempat meninggal
Bukanlah tempat kita tinggal
Kita semua kembali padanya

Betullah…dunia ni persinggahan kita sahaja…umpama pendatang yang bekerja di negeri orang. Dia akan simpan atau hantar duit balik ke negeri asalnya, cukup masa, atau bila yang dihasratkan dah tercapai – contoh beli tanah ke, bina rumah ke, bayar hutang ke – maka dia akan balik ke negeri asal. Macam tu juga kita. Dunia ni tempat kita untuk kumpul dan sediakan pelbagai persediaan untuk hidup di alam yang akan datang. Kita akan terus hidup tapi dalam alam yang lain. Kematian kita di sini adalah permulaan dalam kehidupan di barzakh pula. Kemudian kita akan lalui pula alam akhirat..jauhnya lagi perjalanan kita…

Kalau kita mengumpul banyak harta, mungkin kita berat hati nak tinggalkan dunia ni..payah menjaga harta yang banyak ni..kereta banyak - kena dijaga maintenancenya (tampaq diri sendiri), rumah besar – kena pasang alarm takut pencuri masuk, banyak emas permata, kena simpan elok2 takut orang ragut..kan..kan.. Kerana itulah bila kita menjadikan dunia sebagai tempat tinggal, kita lupa kita singgah sekejap sahaja. (saya lah tu yang kadang2 lupa). Insaf saya..walaupun harta sikit, bila meninggal tetap kena lalui proses pembahagian harta. Kalaulah waris sedar keperluan membahagikan harta mengikut syarak, Alhamdulillah…andaikata waris buat ikut fahaman sendiri, Allahu..macamana agaknya kita di bawah sana tu nanti agaknya. Moga dipermudahkan nanti.

Semalam 31/1, emak kepada jiran setaman meninggal dunia. Ini terus menjawab persoalan yang selama ini saya ternanti jawapannya – siapa agaknya yang bakal merasmikan penggunaan bilik mandi jenazah di surau? Muslimah di sini telah mengikuti kursus pengurusan jenazah, dan ada yang bergurau – selesa mayat kat sini, ada aircond!! Alhamdulillah berjalan lancar urusan yang berkaitan.

Minggu lepas pula pada 24/1, junior sekolah saya meninggal dunia. Allahyarhamah ini junior saya setahun di sekolah..kemudian sewaktu degree, biliknya setentang dengan bilik saya. Beliau sakit (stoke) sudah agak lama. Sungguh..syarat mati itu bukan tua, tapi syarat mati itu adalah hidup.
Semoga dihimpunkan bersama mereka yang beriman.

Tuesday, 29 January 2019

Semalam...(tak tau nk bagi tajuk apa)


Malam semalam hujan...
Maknanya, tak boleh ke surau untuk solat Isyak berjemaah.
Biasanya 3Z balik dulu untuk makan (selepas maghrib) kemudian baru ke surau semula...
Z3 seronok sebab tak payah ke surau.

Tapi saya bertegas bahawa solat Jemaah tetap kena ditunaikan. Z1 yang akan jadi imam (ayah takde).
Z3 volunteer nk azan. Bila azan Isyak dari surau berkumandang, dia pun terus letak tangan kat tepi telinga dan azan juga hahaha..
Z2 terus sergah Z3 - bawak bersabar sikit...bagi habis azan dulu.

So saya beritahu Z3, tugas dia iqamat, bukan azan. Dia masih pelat, tapi kita raikan sahaja kehendak sukarela Z3 itu..

Alhamdulillah, Z1 boleh lead solat jemaah kami. Dengan ayat hafazan dari awal surah Al-Baqarah. Lengkap dengan wirid dan juga doa selepas solat.
Bacaannya juga ok dari segi makhraj..cuma tak pandai nak nilai lebih daripada itu, sebab saya pun masih belajar, anak pun belajar...

Doakan yang baik-baik...3Z ini semuanya akan jadi kepala keluarga nanti insyaAllah. Biar jadi ketua yang mampu dari segala segi. Amin.

(Untuk diulang baca di hari tua..)

Tuesday, 22 January 2019

Panduan untuk anak Tahun 1 (dan 6) - nak sekolah agama atau tidak


Assalamualaikum…

Post ini lama saya pendam untuk tuliskan, akhirnya saya berjaya juga luahkannya haha.
Khusus buat ibu bapa yang mempunyai anak yang akan masuk ke Tahun Satu pada tahun yang akan datang – entry saya adalah untuk berkongsi pandangan berkaitan “perlu masukkan anak ke sekolah agama/KAFA atau tidak”

Saya hanya tulis berdasarkan kepada pengalaman saya dengan anak-anak yang seramai 3 orang (sahaja).
Sedikit latar belakang saya dahulu serba sedikit. Saya adalah:

- Ibu yang bekerja dan jarang balik on time (pada 5.30 petang)
-Suami saya selalu outstation
-anak ke sekolah kebangsaan pada waktu pagi dengan saya
-Sekolah anak tidak berdekatan dengan rumah (kami telah memohon tukar supaya tidak jauh dari tempat kerja Bangi/Putrajaya)

Pada awal tahun ketika anak saya yang bongsu Tahun 1, saya telah bertemu dan secara kebetulan bersembang dengan kawan2 saya yang menceritakan tentang persekolahan anak mereka. Secara kebetulan lagi, 2/3 orangkawan saya ini tidak menghantar anak ke Sekolah agama/kelas KAFA. Antara alasan yang saya kutip adalah jauh dari rumah, tiada pengangkutan, tiada transit dan juga ada yang kasihan kepada anak sebab penat.

Sebenarnya susah juga nak bagi pendapat di sini (tapi nak tulis jugak), sebab masalah orang berbeza. Sekiranya saya cakap begini, orang akan dengan mudah kata – cakap memang senang sebab bukan di tempat yang sama. Well, saya terima itu. Tapi – saya tetap nk beri pendapat/pandangan saya tentang hal ini.

Saya rasa, seboleh daya, eloklah hantar anak kecil itu ke sekolah agama/KAFA. KECUALI, ada pengecualiannya di sini…KECUALI jika
  1. anak sememangnya bersekolah di sekolah agama (contoh sekolah agama integrasi, sekolah agama swasta, dll) maka tidak memerlukan input agama tambahan dari sekolah agama/KAFA
  2. anda adalah seorang guru agama yang boleh membimbing anak sendiri tanpa perlu bantuan dari sekolah agama/KAFA
  3. anda atau pasangan tidak bekerja dan seorang yang lengkap dengan ilmu agama dan yakin boleh membimbing anak
  4. mungkin jika anda yang membaca bukan beragama Islam, maka tiada keperluan menghantar anak ke sekolah agama.

Begitulah kawan-kawan, mungkin rasa itu tidak penting pada ketika ini, tapi walaupun sekolah agama kerajaan atau KAFA itu nampak macam main-main, diakhirnya saya nampak juga kelebihannya. Kerana dalam konteks diri saya, saya tidak mempunyai basic langsung untuk mengajar perkara berkaitan sirah, fiqah, akhlak, jawi dan yang paling penting pengajian Al-Quran dengan modul yang sesuai untuk tahap tertentu. Pada akhir tahun, ketika mengulangkaji bersama anak saya yang kecil ini (dia agak istimewa berbanding abangnya), saya dapati dia boleh membaca jawi, boleh memecah kecil tulisan jawi dan boleh menulis dari jawi ke rumi. Maka dari itu, pembelajaran lain seperti sirah, akhlak, fiqah menjadi lebih mudah. Walaupun tulisan anak saya ini sangatlah hadoiii…Dan yang agak geli hati, pada penghujung tahun darjah 1, anak ini beroleh hadiah khas gagal-lulus..apabila saya bertanya, rupanya kerana menunjukkan peningkatan..hihi (kan daha kata anak saya ini istimewa sikit). Saya tidak perlu risau dengan abang-abangnya, Alhamdulillah mereka boleh mengurus diri sendiri..

Asas-asas agama seperti itu siapa lagi dan dimana lagi boleh mendapatnya jika bukan disekolah? Tidak dinafikan saya kadang-kadang pening dengan baju sekolah yang kotor (semua anak  lelaki suka main bola), kasut sekolah tak payah cerita, dan tentunya baju sekolah yang jumlahnya hampir 30 pasang untuk digosok setiap minggu, tapi bila fikirkan saya tak mampu untuk mengajar perkara ini semua, maka apa salahnya? Apa salahnya anak berpenat untuk mencari ilmu? Apakah perkara baik yang kalau kita buat tidak penat? solat pun penat, puasa pun memenatkan, usaha berdakwah lagi memenatkan. Boleh ke senaraikan perkara yang baik yang berpahala tapi tidak memenatkan? Berzikir? zikir pun kena buka mulut kan?

Tambahan satu perkara lagi - mungkin juga ada menimbangkan untuk memberhentikan kelas agama bagi anak di Tahun 6 untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan UPSR. Soalan saya - adakah dengan berbuat begitu, menjamin anak akan dapat straight As?

Dari Imam Syafie – Barang siapa yang tidak tahan lelahnya belajar, maka tanggunglah perihnya kebodohan.

Kita tak mampu untuk ikut resam para ulama yang berhijrah dan merantau mencari ilmu sejak dari usia muda, tapi kita boleh menurut resam dengan menanam semangat belajar sejak dari usia muda.
Saya tak semestinya betul, tapi pandangan saya juga tidak semestinya salah kan?

Semoga yang terbaik untuk anak-anak kita semua.


Panduan untuk anak Tahun 1 : Barang anak



Satu perkara ini saya memang hendak sangat sampaikan kepada para ibu bapa yang mempunyai anak yang bakal masuk ke Tahun Satu pada tahun yang akan datang. Ianya adalah berdasarkan kepada pengalaman saya ketika anak saya yang ketiga memasuki tahun satu.

Sekolah anak saya sebenarnya boleh dikira sekolah kampung. Setiap darjah hanya ada 2 kelas sahaja. Maknanya, hanya ada 12 kelas untuk Tahun 1 hingga Tahun 6. Muridnya tidak ramai, dan saya rasa semuanya saling mengenali. Anak saya yang Tahun 1 tahu murid ini adik siapa, kakaknya kelas mana, abangnya darjah berapa..Tapi kerana banyaknya pembangunan kawasan perumahan di kawasan berdekatan, maka latar belakang ibu bapa mula menunjukkan perbezaan. Kerana apa, sebelum ini ibu bapa murid di sekolah berkenaan adalah biasa sahaja…ada yang bekerja kampung, dan sedikit sekali dari golongan professional.

Kini, ketika anak ketiga saya memasuki tahun 1, saya sudah boleh dikira ibu yang agak veteran. Sebab – kebanyakan murid tahun 1 adalah anak sulung atau anak kedua. Ibu bapa masih muda dan parents dari golongan ini merupakan mereka yang sangat open dengan trend semasa dan internet of things ini.

Jadi, barulah saya nak masuk kepada tajuk dan hasrat sebenar penulisan ini. Ibu bapa yang muda belia ini, mengikuti arus semasa dan juga ditambah perasaan excited dengan anak yang memasuki alam ria persekolahan..tidak lokek membekalkan anak dengan pelbagai barang kelengkapan sekolah yang cantik, berjenama dan mahal harganya. Dan selaras dengan perkembangan semasa, whatsapp grup juga kini sesuatu yang mesti kena ada. Teknologi memudahkan, tapi teknologi juga menyebabkan kegeraman kepada saya (at least kepada saya…kalau bukan semua). Mana tidaknya, ada sahaja mesej dari ibu (mostly ibu) seperti;

“Cikgu, boleh tolong tengokkan botol air anak saya warna sekian…anak saya tak ingat letak mana..sayang botol air tu”

“Cikgu, boleh tolong tanyakan ada tak murid terambil dompet anak jenama Sxxxx? Ada nama anak kat dompet tu”

“Cikgu anak saya tak ingat letak mana beg duit kecil..beg tu pemberian makciknya dari Hong Kong..segan nk bagitahu kalau hilang”

“ Cikgu, warna pensel anak saya kaler xx hilang dari kotak..boleh tengokkan bawah meja?Saya letak nama kat setiap batang warna”

Dan pelbagai lagi mesej yang bagi saya tak penting (ok tidak penting bagi saya tapi penting bagi mereka). Saya bukan tak pernah terfikir untuk left grup sebab terpaksa baca mesej yang menggeramkan seperti ini, tapi memikirkan ini adalah cara untuk saya berhubungan dan mengetahui perihal pembelajaran anak, maka saya tahankan sahaja.

Saya cuba membayangkan bagaimana agaknya kalau saya yang berada dalam ‘kasut’ guru kelas berkaitan. Disamping tugasan mengajar, menjaga kerenah murid yang baru masuk sekolah, kemudian, ditambah pula dengan tugasan tambahan menjaga barangan peribadi anak murid yang mahal dan berharga. Sewaktu bertemu guru pada pertengahan tahun ketika menyemak dan mengambil kad laporan anak, memang guru mengakui perkara berkenaan terjadi antaranya kerana keghairahan ibu bapa muda ini melengkapkan anak dengan barangan sekolah yang mahal dan berjenama.

Memang betul, duit anda, harta anda, anak anda….anak kita, kitalah yang mencorakkannya kan? Tapi sebagai contoh paling jelas disekolah anak saya yang mempunyai pelbagai latar belakang pekerjaan ibu bapa, jurang pendapatan itu tidak jelas kelihatan pada bulan awal persekolahan. Ini kerana kebanyakan murid tahun 1 akan memakai serba baru – sama ada beg, pakaian dan barangan sekolah. Tapi perbezaan akan mula kelihatan lama kelamaan dari segi cara percakapan, pembawakan diri, cerita tentang permainan , cara menghabiskan cuti sekolah dan sebagainya.

Pada pandangan saya yang simple ini, eloklah jika ibu bapa bekalkan barang yang sederhana sahaja kepada anak yang baru memasuki sekolah. Mereka ini belum pandai menjaga barang peribadi, dan tidak pandai membezakan mana yang mahal dan mana yang murah, tapi tahu membezakan yang cantik dan yang tak cantik. Pensel biasa akan berbeza dengan pensel berjenama, warna pensel pendek dalam kotak 12 batang jauh bezanya dengan warna pensel yang panjang dalam kotak 24/48 batang. Beg sekolah kartun tak sama dengan beg sekolah jenama Smiggle. Pencil case berzip tak sama dengan yang jenama Smiggle (lagi). Mujur juga belum pernah kedengaran kecurian melibatkan barang sekolah anak.

Akan tetapi – tiada masalah jika anda nk beri anak anda barang semahal manapun, dengan syarat tidak akan langsung menyusahkan guru jika tersalahletak atau hilang. Dan yang paling penting, tidak menyemakkan wall dalam whatapps grup dengan pelbagai permintaan yang tak berkaitan dengan perkara sekolah.

Sekian dari ibu yang tak suka baca benda entah apa-apa dalam grup sekolah anak.

#Nota : Anak ketiga saya itu kini sudah memasuki tahun 2

Monday, 14 January 2019

Sekolah Menengah dan Anak Saya


Minggu lepas dan minggu ini, wall FB saya dilalui oleh coretan coretan berkaitan pengalaman pendaftaran anak di Sekolah Berasrama penuh (SBP) dan juga maktab Rendah sains MARA (MRSM). Saya tumpang berbahagia dan cemburu (yang positif) dengan pencapaian anak rakan2 FB saya. Mereka ini mendapat tawaran pertama kemasukan ke SBP dan MRSM.

Sementara anak saya pula tidak mendapat tawaran ke SBP atau MRSM. Rayuan telah dibuat sebaik mengetahui keputusan pada hari pengumuman, tapi kami mengalah kerana polisi yang mengutamakan pelajar daripada golongan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40). Saya akur bahawa pelajar dari golongan ini lebih memerlukan. Malah kerana saya datang dariapda tempat kerja yang diasuh dengan perkara berkaitan pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat, saya turut mendokong polisi dan aspirasi yang sebenar dalam kemasukan ke sekolah berasrama penuh. Tanpa perlu menyatakan kembali polisi ini, saya fikir saya cukup faham bahawa hasrat asal SBP diwujudkan adalah untuk memberi peluang kepada pelajar yang cemerlang atau berpotensi cemerlang belajar dalam persekitaran yang lebih baik, berpeluang mendapat pendidikan berkualiti dan dengan makanan seimbang yang mencukupi. Malah saya sendiri dan suami masing2 adalah produk SBP – saya adalah alumni  Sekolah (Sains) Tuanku Ja’afar, Kuala Pilah dan suami pula Sekolah (Sains) Tuanku Abdul Halim Jitra (nama glamour sekolah ini ialah Jenan).

Tak dinafikan, terbit rasa kecewa pada mulanya apabila anak tidak Berjaya mendapat tawaran ke SBP. Anak itu memang berharap, saya tahu. Dia telah berkira2 baldi mana yang nk dibawa, dia telah belajar bagaimana menggosok baju, belajar cara membasuh baju dengan tangan dan bersedia mentally untuk berjauhan dari keluarga. Ok sebenarnya tak jauh sebab sekolah berasrama yang dia pohon tak jauh mana pun… - SMAP Labu, MRSM Gemencheh, SMKA Putrajaya…Tapi takdir menentukan satu pun tidak Berjaya. Sebelum itu wajar dijelaskan disini bahawa anak tidak mendapat keputusan penuh 6A. (Latest ..telah ditawarkan ke SMKA Putrajaya)

Namun, temuduga telah dihadiri. Merasalah juga kami ke MRSM Parit. Saya senang hati kerana selepas beberapa hari bertanyakan semula hafazan sewaktu temuduga MRSM itu, anak masih mengingatinya (tak panjang pun katanya dalam 8 baris atau lebih kurang separuh muka surat Quran). Temuduga SMKA Purajaya juga dihadiri dan harapan agak tipis saya rasa kerana 916 menghadirinya, untuk 120 tempat kekosongan.
Lalu anak pun mendaftar masuk sekolah harian biasa. Kecewa? Iya,sedikit kecewa dia. Ibubapanya? Iya terasa juga apabila rakan FB sedari awal bukan main lagi ada yang up surat tawaran anak. Ada yang dapat 2 tawaran dan siap caption – tak tahu nk pilih yang mana…ikut anak lah..ibu/ayah ikut sahaja…ok part itu saya scroll laju2 haha….Tapi saya soal diri saya semula, kenapa nak kecewa? Kami merancang…kami mungkin rasa masuk SBP itu perkara yang baik, masuk MRSM itu ada prestij..apatah lagi bila ditanya anak dimana – si MRSM sekian..di sekolah sekian…Saya cepat2 sedar semula bahawa saya memohon kepada Allah untuk anak ditempatkan di sekolah paling terbaik dan paling sesuai dengan dia, bukan di SBP atau MRSM tertentu. Itulah yang diulang2 dalam doa saya. Allah lebih tahu mana yang terbaik. Kadang2 kita rasa sesuatu itu baik untuk kita, tapi Allah Maha Mengetahui mana yang lebih baik untuk kita. Dialah sebaik2 perancang…

Pada hari pertama persekolahan, kami mendapat panggilan untuk mengambil surat tawaran ke Sekolah Agama Menengah Bandar Baru salak Tinggi (SAM BBST). Kami pasti anak akan sangat gembira. Saya tahu kerana dia mensasarkan untuk masuk ke sekolah ini sejak dari Darjah 4. Malah saya lebih menggalakkan apabila mendapat tahu (dari bacaan) bahawa anak SS Mufti Wilayah pun pernah bersekolah di tempat yang sama. Maka, anak pun menjadi sebahagian daripada kumpulan pertama mendaftar di SAM BBST, tetapi berulang alik dan tidak duduk di asrama. Saya lebih senang hati apabila mendapat penjelasan tentang kurikulum Dini yang dipraktiskan di sekolah. Ada sekolah agama yang mempraktiskan Kurikulum tahfiz – masing2 ada kelebihan dan kekurangan. Tapi saya sangat berpuas hati apabila anak akan belajar Syariah, Usulluddin dan Lughatul Arabiah Al Muassirah sepenuhnya dalam Bahasa Arab. Sedikit mencabar tapi kita akan berusaha, saya pasti insyaAllah. Nota : Anak saya agak khuatir untuk belajar dalam aliran tahfiz, tapi tiada masalah untuk belajar dalam aliran agama. Namun, masih tetap ada keperluan hafazan, dan setakat ini anak ok dengannya.

Kini, anak berpeluang untuk mendapat tawaran MRSM panggilan kedua. Faktor yang menyebabkan permohonan diketepikan sebelum ini tentulah oleh sebab pendapatan isi rumah. Saya telah semak perkara ini. Dan juga telah mendapat panggilan kemasukan ke SMKA Putrajaya (yang juga diidamkan sebab dekat dengan rumah). Namun, kami telah sepakat untuk tidak lagi mempertimbangkan SBP dan MRSM, dan kekal sahaja di SAM BBST. Hey, apa dah jadi dengan pemikiran yang saya tanamkan kepada anak sejak sekian lama bahawa kita kena mengikut jejak para ulama – untuk berhijrah menuntut ilmu? Anak saya cukup faham dan bersetuju (saya rasa) dengan harapan saya ini untuk dia mengambil ibrah yang serupa. Cuma, saya rasa anak telah mula serasi dengan cara barunya, dan saya berpeluang memantau dia (Adakah ini alasan?) Tapi ia memang benar, saya tahu dia makan apa (sebab saya memaksa diri untuk masak lauk lunch dia), saya tahu dia kena hafal ayat apa, saa tahu pelbagai lagilah…saya juga boleh perlahan melatih dia solat Jemaah seperti di asrama, pergi ke kuliah di mana yang berkesempatan dan banyak lagi. Paling penting, saya boleh mencorak pemikiran anak saya. Saya berjanji pada diri saya bahawa saya akan menerapkan pemikiran yang positif dan baik sahaja…mungkin tak sebaik survival di asrama, tapi saya boleh jadikan anak2 saya lelaki yang baik, insyaAllah. Do you know that a good man raised by a Queen? Ok perasan!! Haha…

Saya ada sedikit ego yang dikorbankan. Saya mengharapkan anak akan meneruskan legasi saya dan suami ke SBP…tapi zaman telah berubah. Keadaan juga berlainan. Biarlah tempat itu diisi oleh mereka yang lebih memerlukan (kita pun memerlukan saya rasa..isk..isk..nak jugak), saya doakan mudah2an pilihan kami ini adalah tepat dan terbaik. Kami pohon restumu ya Allah. Semoga anak2 saya faqih dalam bidang agama, Amin ya Rab.

Nota : Anak saya berminat untuk meneruskan peringkat menengah dalam bidang agama, maka semua sekolah yang dipohon adalah dalam bidang berkenaan. Doakan.