Entry ini khusus untuk mengingatkan saya dan mungkin sesiapa
saja yang membaca akan pentingnya berbuat baik kepada ibu sementara ibu (dan
juga bapa) kita masih ada. Dalam hal ini saya merujuk kepada 2 figura yang pernah
saya bekerja bersama.
1.
Tan Sri Dato’ Abdul Wahid bin Omar – jujurnya saya tak
ingat sangat latar belakang beliau. Cuma jika tidak silap beliau datang dari
latar belakang yang sederhana (bukan di kalangan keluarga yang berada) dan
mempunyai ramai adik beradik. Setelah dilantik menjadi menteri, beliau tinggal
di Cyberjaya dan ibubapanya turut tinggal bersama. Pernah diceritakan kepada
saya bahawa sewaktu bersekolah, beliau pernah berjalan berpatah balik (dalam
jarak yang agak jauh) ke rumah semata-mata kerana tidak bersalam dengan ibunya.
Beliau terus menerus mencipta kejayaan dan lihatlah dimana beliau berada
sekarang. Dari segi peribadi, beliau yang saya kenali adalah seorang yang lemah
lembut, bercakap dengan tertib, tidak langsung dalam nada percakapannya meninggikan
diri jauh sekali angkuh. Riak wajahnya juga cerah dan jarang dilihat beliau
marah atau berkerut muka. Mungkin kerana beliau tinggal bersama ibu bapa,
menjadi salah satu asbab beliau berjaya hingga ke tahap beliau sekarang.
Sejarah kejayaan beliau dalam bidang korporat bolehlah di’google’ – maklumat di
hujung jari kan?
Nota : Kini TSAWO adalah Pengerusi PNB
2.
Allahyarham Encik Kamarul Ariffin bin Ujang –
figura ini adalah bekas boss saya yang agak lama saya berkhidmat bersama. Boleh
dikatakan kami grow bersama kerana pada ketika beliau dilantik menjadi Pengarah
Seksyen, saya pula baru dinaikkan pangkat dan diletakkan di Seksyen yang sama.
Sikap beliau yang lain diceritakan dalam entry yang lain kerana saya hanya
ingin menyentuh tentang sikap dan layanan beliau (arwah) terhadap ibunya.
Sepanjang ingatan saya, selepas beliau
pulang dari Manchester (kerana melanjutkan pelajaran) ibunya duduk bersama
keluarga beliau sehinggalah ibunya meninggal dunia. Ianya lebih kurang 20
tahun. Menurut isterinya, arwah En. Kamarul ini merupakan seorang yang
sangat-sangat menyanjung ibunya. Isterinya tidak pernah melihat seorang dalam
hidupnya yang begitu mencintai ibunya seperti arwah. Contohnya apabila arwah
membeli kereta baru, maka ibunya akan menjadi orang yang pertama akan menaiki
keretanya, biarpun hanya dibawa pusing2 keliling kawasan rumah. Ibunya akan
mengatakan tak perlu susah2 tapi sekembalinya dari pusing2/ronda2 itu ibu arwah
akan pasti senyum lebar (tanda gembira).
Menurut cerita isteri arwah juga, setiap
pagi sebelum pergi ke pejabat, arwah akan kebilik ibunya bersalam, mohon ampun,
mohon maaf atas kesalahannya, mohon didoakan beliau pada hari itu. Begitu juga
setelah balik dari kerja (tak kira pukul berapa pun) arwah akan ke bilik ibunya
dahulu, jika masih belum tidur akan ditanyakan mak makan apa hari ini, mak ok
ke, mak nak apa2 ke…
Adat menjaga orang tua, pasti akan ada
berbagai ragam. Terkadang ada adik beradiknya yang bercakap dengan nada suara
yang tinggi kepada ibunya, tapi arwah akan menasihatkan bersabar dan biarkan saja ragam ibu mereka..selalu
terfikir kita ni selalu tak naik marah kepada ibu?
Arwah boss saya ini seorang yang kuat
bekerja dan jarang bercuti. Biasanya bila bercuti pun beliau masih tetap akan
datang ke pejabat (tapi sekejap sahaja). Tetapi apabila ibunya sakit, beliau
tak ragu2 untuk bercuti. Sewaktu ibunya dirawat di hospital, adik beradiknya
bergilir2 menjaga ibunya dan beliau akan datang setiap hari menemankan ibunya
sementara adik beradik yang lain berehat. (saya dan rakan sempat melawat ibu
beliau ketika di hospital). Sehinggalah
ibunya meninggal dunia, beliau yang biasanya dilihat kuat, menitiskan air mata
– dan mereka adik beradiklah yang memandikan ibunya jika saya tak silap.
Sebelum pengkebumian ibunya, sempat beliau datang kepada saya dan rakan2
menasihatkan kepada sesiapa yang masih mempunyai ibu, hargailah dan berbaktilah
kepadanya. Untuk rekod (macam buat laporan rasmi pulak), ibu arwah meninggal
dunia pada hari Jumaat.
Kisah arwah En Kamarul agak panjang saya
ceritakan. Saya tidaklah pandai mencoret tapi saya tetap mahukan kisah
penghormatan kepada ibu ini saya tuliskan juga. Kerana hormat dan kasih kepada
ibulah kedua figura ini berjaya. Untuk makluman, arwah En Kamarul meninggal
dunia pada 29 Januari 2016, sebelum asar hari Jumaat. Saya menyaksikan beliau
sehingga menghembuskan nafas terakhir. Saya doakan kematian beliau tergolong
dalam khusnul khatimah dan tidak pernah lupa menyedekahkan Fatihah kepada
beliau setiap kali saya membacanya kepada arwah abah saya. Semoga Allah
mencucuri rahmat kepada abah saya dan En Kamarul.
(dinaikkan status ini dalam FB pada 21 Okt
2016)
Assalamualaikum Norzie, saya baru membaca entri norzie... Terima kasih kerana amat2 menyanjung arwah abang kamarul. Arwah memang seorang yang penyayang dan kehilangannya adalah kehilangan yang amat2 dirasai terutama saya sebagai adik bongsunya yang menjadikan teman bermanja dan bergaduh saya. Sehingga hari ini saya selalu merindui dia dan akan menatap gambarnya untuk melepaskan rindu saya. Terima kasih.
ReplyDelete