Tajuk : Beri Dua Minit
Pengarang : Muhd Kamil
Ibrahim
Penerbit : Galeri Ilmu
Sdn. Bhd.
Tahun Cetakan : 2019
Bil. Muka surat : 203
Buku ini saya beli di
Pesta Buku Antarabangsa KL (PBAKL) 2019 (genap setahun yang lalu ketika saya
menulis draf ulasan ini), dan saya sempat beramah mesra dengan penulis serta
isterinya. Malah, saya dapat juga tandatangan beliau.
Kenapa beri dua minit?
Sebab hanya dua minit
(atau kurang) diperlukan untuk membaca setiap bab yang ada. Ada 100 bab yang
pendek..sekitar dua muka surat sahaja. Saiz font pun sedap mata untuk
membacanya, tidak terlalu kecil atau besar untuk yang mempunyai sindrom ‘mata
tua’ seperti saya (tapi masih selesa membuka cermin mata apabila membaca).
Nama penulis adalah
satu nama yang tak perlu diperkenalkan lagi khususnya kepada mereka yang
mencari bahan bacaan berkaitan Haji dan Umrah. Bukunya yang bertajuk Travelog
Haji dan Umrah : Merentas Sempadan Iman memang saya baca berkali-kali (saya
mempunyai versi e-book dan juga buku). Dipendekkan cerita, beliau kini (sewaktu
review ini ditulis) merupakan pensyarah di UniKL.
Mengenali penulis
melalui beberapa buku tulisannya yang telah saya miliki, beliau banyak
menekankan akan kepentingan menghargai masa yang masih berbaki supaya kita
bersedia di negeri abadi. Umur umat Nabi Muhammad saw ini sekitar 63 tahun dan
jika melepasinya, maka itu tanda Allah beri bonus kepada kita. Beliau sentiasa
menekankan (dalam pelbagai penulisannya) pentingnya untuk solat malam, solat
sunat, berbaik sangka, solat Jemaah di masjid (bagi lelaki), masuk syurga tanpa
hisab, syafaat yang kita perlukan, perihal Haji dan kenangan di Madinah
(sekadar menyebut beberapa perkara). Penulis adalah satu contoh orang biasa
yang telah transform menjadi luar biasa.
Berbalik kepada buku
ini, ia merupakan bahan bacaan santai yang mudah dibaca dan boleh dihabiskan
bacaan dengan cepat. Perkara yang dibangkit dalam dalam setiap bab boleh
dijadikan bahan untuk tazkirah ringkas selepas solat berjemaah (yang beliau
sentiasa tekankan dan saya ambil pengajaran). Namun, tazkirah ringkas ini
bukanlah semestinya slepas solat sahaja. Ia boleh dilakukan di mana sahaja.
Mungkin bersama kawan sewaktu menunggu makanan tiba, bersama anak-anak di
rumah, di dalam kereta, sewaktu bercuti dan lain-lain. Mudahnya membina taman
syurga.
Bahasa yang digunakan
dalam buku ini juga santai dan mudah difahami. Tidak berat atau berunsur
akademik (kerana beliau seorang pensyarah!) namun tetap menyentuh hati. Sesuai
lah dengan masyarakat sekarang yang mahukan benda-benda yang serba pantas. Saya
sendiri tidak ingat berapa kali saya mengulang membaca buku ini atau setidaknya
membuka bab tertentu (saya memang tidak membaca sesebuah buku hanya sekali).
Tetapi yang jelas, apabila saya memilih buku untuk ditulis ulasan, memang saya
akan membacanya sekali lagi.
Bagi yang berhasrat
mahu mula membina taman syurga, buku ini sangat sesuai untuk dibaca dan
dijadikan panduan. Mudah dan santai.
Selamat membaca.
#Malaysiamembaca
Selamat membaca.
#Malaysiamembaca