Monday, 21 September 2020

Tak payah pulang baki

Morning ride kami ke sekolah memang akan dipenuhi dengan soalan sebaik sahaja kereta bergerak – tujuannya untuk memastikan tiada barang yang tertinggal dan check semula keperluan lain seperti setokin, kasut, beg, botol air, face mask dan sebagainya. Kemudian tanya sama ada perlukan duit atau tidak, kerana duit makan telah dibayar untuk seminggu.

Hari ini Z2 (zameer) dan Z3 (zahran) masing-masing minta duit sikit untuk beli air di kantin dan makanan lain. Untuk Z3 memang saya tanyakan hajatnya nak beli apa.

Hari ini nk beli ayam gunting (RM1.50) dan air Milo (RM1.50).
Jadi saya beritahu Z3, sewaktu beli ayam gunting, bayarlah RM2, nanti dapatlah baki 50 sen.
Tapi pada masa yang sama Z3 kata – bayar RM2, tak payah pulang baki. Eh??

Terdiam sekejap saya, otak pantas berfikir.
Mungkin Z3 ada melihat kejadian saya membayar dan kata “tak payah pulang baki”.
Kalau Z2 memang telah saya tahu, jika dia ditugaskan untuk mengambil barang/makanan yang saya order khususnya waktu PKP dahulu,  dia tidak akan mengambil duit baki.
Menjadi amalan saya untuk sengaja melebihkan bayaran daripada yang sepatutnya, dan tidak mengambil baki dengan tujuan hadiah kepada penjual. Z2 rupanya tidak perlu diajar, tidak perlu dipesan – dia bertindak sendiri melalui pemerhatian.

Tapi tak sangka Z3 pun sama.
Macam mana saya nk ajar dia situasi yang sesuai untuk tidak mengambil baki daripada penjual?
Khuatir pula sebab Z3 masih kecil. Buatnya bayar di pasaraya, dia kata tak payah pulang baki, ha – naya pulak macam ni. Kena ada satu garis panduan yang boleh membuatkan dia faham dengan cara yang mudah.

Lantas, bila di pejabat, saya mendapat ilham, bahawa berbuat baik itu dah bagus, tapi kita tukar sedikit caranya.

Anak-anak boleh diajar untuk membeli lebih belanja kawan atau  berkongsi makanan yang ada dengan kawan. Dengan cara itu, kawan dapat manfaat, penjual pun dapat manfaat.

Kejadian ini, buat saya terkesan, bahawa anak-anak kita bertindak melalui pemerhatian kepada ibu bapanya.

Bahawa memang benarlah – anak-anak yang dilahirkan umpama kain putih, kitalah yang mencorakkannya.


#jomsedekahsetiaphari
#ajaritaqwa


Thursday, 10 September 2020

M.A.L.A.S nak baca...

Semuanya bermula dengan perasaan geram dan marah saya kepada banyak perkara…(amboi..mula2 dah marah). 

Marah kerana sikap orang kita yang malas dan tidak peduli. Saya geram dengan ibu bapa dalam kumpulan whatapps group sekolah. Kegeraman itu makin menjadi2 dalam musim PKP haha..Sejak dahulu lagi (dan saya pasti akan datang pun masih akan begini) akan ada sahaja perangai segelintir yang malas membaca dan tidak peduli dengan perasaan dan rasa orang lain. Contoh: apabila guru memasukkan tugasan online dan menyatakan tidak perlu update kerana para guru akan tahu murid yang telah membuat tugasan. Tapi akan ada sahaja yang “Abu done cikgu”. Kemudian akan berderet-deret lah “anak saya Ali done cikgu”, “Amin Done”..begitulah seterusnya. 

Kemudian cikgu akan masuk grup dan maklumkan ibu bapa tidak perlu maklumkan status tugasan anak, kerana nanti ada info yang akan terlepas pandang. Ok..senyap… Tiba-tiba esoknya ada lagi “Salmi done”. Grrr…..lagi menggerutu hati ini kalau dah berminggu2 tiba2 ada lagi notification DONE.

Kamon la parents…Saya sendiri pernah memohon ibu bapa untuk tidak membuat makluman siap kerja ini. Tapi macam itu lah, esok lusa ada lagi. Seolah-olah mereka ini tidak membaca arahan. Atau sebenarnya memang beginilah sikap masyarakat Malaysia – tidak peduli dan malas membaca. 
Tanpa PKP pun sentiasa ada perangai begini. Apabila ada info baharu dikongsikan, tiba-tiba akan ada yang tanya. Contoh: esok pakai baju apa? Untuk pendidikan seni nak bawa apa? Sedangkan guru berkaitan sudahpun berkongsi maklumat berkaitan. Jika tidak dijawab, akan mendesak pula untuk menjawab soalan dengan segera. 

Begitulah kita. Yang penting diri kita dan ruang lingkup kita sahaja. Orang lain – lantakkan mereka!! 

Sikap malas membaca keseluruhan kandungan ini juga diburukkan lagi dengan sikap wartawan yang menulis cerita dengan tajuk yang mengundang kecaman. Baca TAJUK sahaja!! Para warga net ini pula, terus membuat kecaman berdasarkan tajuk berita tanpa membaca keseluruhan berita. Untuk tabayyun – jauh sekali. Sedangkan perkara pertama yang diperintahkan kepada kita adalah BACA! Sayangnya kita umat yang malas membaca. Kita rajin membaca – tapi membaca benda yang kurang atau tidak berfaedah. Maafkan saya, tapi itulah hakikatnya. Betul tak? 

Kita malas nak memberatkan kepala kita ini dengan perkara yang sedikit kritis dan analitikal. Alah..tak payah pergi jauh, saya sendiri kadang-kadang mahukan sesuatu yang ringan dan mudah. Yang tidak menjadikan muka berkerut hihi. 

Sikap malas membaca itu kalau tak keterlaluan saya katakana ia adalah jenayah!! (woo…ini keterlaluan sebenarnya). Malas membaca itu boleh membawa kepada judgement yang salah. Tapi ada lagi satu penyakit- membaca sahaja tanpa memahami. Ini pun boleh menjadi satu masalah besar juga.

Haha…susah juga macam ni, membaca salah, tak baca pun salah. Dah tu? Memang salah lah kalau tidak membaca dengan hati dan perasaan.

Tidak ada cara mudah untuk mendapatkan sesuatu ilmu kalau tidak membaca (memang boleh dengar kuliah atau menonton sahaja di internet, tapi tak sama dengan mengkaji buku dan berguru). 
Membaca jambatan ilmu. Ini tagline masa di sekolah. Simple – tapi ramai yang tak faham.

 Jadi – baca buku apa hari ini?

Wednesday, 2 September 2020

Halwa Telinga Pagi

Pada kebanyakan kita, sama ada memandu ke tempat kerja atau pun menghantar anak ke sekolah pada waktu pagi – ramai yang memasang radio untuk mendengar hiburan sebagai halwa telinga di waktu pagi. Malah saya perhatikan, mereka yang bersukan pun kebanyakkannya memasang earphone – sama ada berlari, brisk walking ataupun berbasikal. 

Untuk sesetengah orang, adalah penting untuk memulakan hari dengan baik. Antaranya adalah dengan melihat perkara yang baik dan mendengar perkara yang baik-baik. Permulaan hari yang baik biasanya mempengaruhi mood sepanjang hari. Saya sendiri mengambil masa yang lama untuk menemui kegiatan pagi yang sesuai dengan jiwa raga saya, dan ini termasuk lah memilih halwa telinga yang bersesuaian. 

Awal dahulu, sy gemar mendengar siaran radio yang sasarannya pendengar seusia saya. Seronok sebab mengimbau kembali lagu-lagu lama dan teringat balik zaman ketika itu. Celoteh DJ pun menarik. Kemudian tiba satu masa saya kerap merasa melankolik – saya merasa mood saya kadang-kadang sedih, kadang-kadang tak puas hati dan segala macam apabila ada kisah-kisah rumahtangga. Sehinggalah seorang kawan menyarankan saya beralih kepada stesen radio yang lain supaya saya lebih segar. 

Saya pun mencuba mengikuti saranan kawan saya dan memang terbukti bahawa hari saya memang segar. Celoteh DJ nya saya rasa sungguh menggembirakan dan saya kerap ketawa sambal memandu. Lagu-lagu yang disiarkan juga adalah lagu popular semasa. Isu-isu yang diketengahkan juga adalah isu semasa. Tapi lama-kelamaan saya merasa ketawa yang keterlaluan. Dan kadang-kadang secara peribadi saya merasakan ada waktunya pendengar diperbodohkan. Lalu saya berhenti mendengar siaran stesen radio itu. 

Kemudian, ayah saya menemui penciptaNya. Maka, takkan saya mahu mengisi masa saya dengan mendengar lagu-lagu popular, sedangkan abah berada di bawah sana, tanpa saya ketahui nasibnya? Lalu, tempoh perjalanan pergi dan pulang kerja saya dipenuhi dengan bacaan Yasin ataupun bacaan ayat al-Quran, yang saya ikuti dengan niat mudah-mudahan ada pahala yang sampai kepada abah di alam sana. Sehinggalah satu masa, saya merasakan saya memerlukan nasihat dan kata-kata yang baik untuk saya dengari. 

Lalu saya mencari alternative dan saya berjumpa dengan siaran radio berunsurkan keagamaan. Sangat menenangkan dan banyak mengingatkan diri ini kepadaNya. Celoteh DJnya juga tenang, tiada ketawa yang berlebihan dan nasihat yang didengari juga tidak pernah merendahkan sesiapa. Begitulah bagaimana saya transform halwa telinga saya. 

Kini, dengan kemudahan teknologi, saya streaming TV live pada waktu awal pagi – memandu sambil mendengar live TV. Dengan itu, saya tidak merasa bosan dengan perjalanan yang panjang, malah saya enjoy memandu pergi dan balik kerja. Kereta banyak dan jalan yang sesak menjadi asbab membolehkan saya mendengar tazkirah atau kuliah dengan lebih lama, tiada masalah. Nasihat dan kata-kata yang baik ini penting bagi saya agar memandu diri saya kembali ke jalanNya. Kadang-kadang rasa nak tergelincir, boleh teringat untuk kembali ke jalan yang betul (harapnya). Sebab nature diri kita manusia ini, mudah terlupa. Kita kena selalu diingatkan. Catatan ini bukan nak ajak anda berubah stesen radio, saya sekadar mengajak anda untuk memulakan hari dengan baik. Itu sahaja. Bak kata orang kampung saya – see no evil, hear no evil, talk no evil – gitewwwww…….
gambar hiasan saja...