Tuesday, 7 July 2020

Panggilan Haji yang belum kesampaian...

Pada saat saya menulis ini, Zulkaedah sudah berada di pertengahan.

Jika takdirnya tiada pandemic COVID-19 ini, pasti kini Tabung Haji dan Hotel Movenpick KLIA sedang sibuk menerima dan menguruskan keberangkatan bakal Jemaah Haji tahun ini. Pelaksanaan ibadah Haji pada tahun 2020 ini mencatat sejarah – ibadah Haji hanya akan boleh dilaksanakan oleh mereka yang berada di Jeddah dan sekitarnya. Tiada foreigners menunaikan Haji pada tahun ini memandangkan Saudi masih tidak menerima penerbangan luar.
(Info terkini dari FB menyatakan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan hanya 10,000 orang Jemaah dibenarkan melaksanakan Haji pada tahun 1441H ini - 70% dari warga asing yang menetap di sana dan baki terdiri daripada frontliners Kementerian Kesihatan Arab Saudi serta keselamatan negara)

Tentunya para bakal Dhuyufurrahman menerima berita ini dengan perasaan yang bercampur baur. Harapnya boleh menerima dengan hati terbuka. Tiada siapa pun yang  boleh dipersalahkan dalam hal ini. Ianya adalah ketentuan dan takdir Allah jua. Tak siapa sangka penangan COVID-19 sehingga boleh membatalkan pelaksanaan ibadah Haji tahun ini.

Wajarlah para bakal Jemaah Haji menerima dengan berlapang dada dan berbaik sangka dengan Allah. Penangguhan ini membolehkan para Jemaah untuk memperkukuh lagi pengetahuan dan ibadat menjelang musim Haji tahun hadapan. Tidak perlu timbul isu dah belanja sekian-sekian, dah buat persiapan sekian-sekian. Malah, isu ada umur atau tidak pada tahun hadapan juga kita serahkan sahaja kepada Allah. Allah Maha Mengetahui niat hambaNya. Allah tahu kesungguhan para bakal Jemaah untuk menunaikan haji pada tahun ini. Larangan itu bukan hanya melibatkan negara Malaysia, malah seluruh dunia.

Fikir yang baik-baik sahaja. Mungkin nanti jika diadakan semula Kursus Asas Haji, para bakal Jemaah boleh mengulanginya untuk menambah pengetahuan. Mana tahu kan, jika disampaikan oleh pengajar yang lain, tentu ada tambahan point lain yang boleh ditambah nilai pada diri kita. Pada mereka yang masih kekurangan persiapan dari segi kewangan dan material, inilah masanya untuk top-up persediaan yang masih kekurangan. Jangan dilupakan persiapan dari sudut kerohanian dan menjaga kesihatan diri dengan melakukan senaman serta menjaga pemakanan. Untungnya kerana mempunyai banyak masa untuk melengkapkan diri dengan persiapan rohani, mental dan fizikal. Justeru, jadikan pelaksanaan ibadah Haji pada tahun hadapan sebagai satu perjalanan kembara rohani yang berbaloi dan bermakna, moga-moga beroleh ibadah yang mabrur hendaknya, Amin.

Sementara itu, memandangkan sekarang masih lagi ada masa untuk Pesta Buku dalam Talian Terbesar di Malaysia (shoppee.com.my/klibf), para bakal Jemaah Haji boleh mencari kombo buku ini. Saya sarankan setiap bakal Jemaah (khususnya yang bermula dari zero macam saya) untuk membaca Travelog Haji – Mengubah Sempadan Iman ini beserta 50 Tips Motivasi Haji dan Umrah karya Prof Muhd Kamil Ibrahim. Bagi saya karya ini segar kerana saya sendiri membacanya dari semasa ke semasa. Ulasan dan perasaan saya terhadap buku ini boleh dibaca di blog saya (yang bersawang itu) http://altismerah.blogspot.com/2020/04/ulasan-buku-4-travelog-haji-mengusik.html.

Justeru, saya menyeru dan berpesan kepada semua bakal Haji pada tahun ini, jangan sedih, jangan terkilan, insyaAllah Allah Maha Tahu dan Maha Mengasihi. Allah memberikan masa kepada tuan/puan untuk menyediakan diri dengan lengkap selengkapnya sebelum menjadi tetamuNya nanti. Persiapkan diri, mudah-mudahan ibadah Haji tuan/puan nanti dikurniakan pahala dan ganjaran tertinggi di sisiNya. Amin Ya Rab.


(turut dimuatnaik ke FB)