Monday, 3 February 2020

Januari dan kenangan ku...

Januari dah pun melabuhkan tirainya. Februari dah menjengah..cepat betul masa berlalu….

Bila tiba Januari, saya ada rasa yang pelbagai. Gembira anak-anak memasuki alam persekolahan yang baru, penat menguruskan baju sekolah baru anak-anak, mungkin ada kenangan bercuti dan macam2 lagi…saya juga ada rasa sedih pada Januari..

Buat saya – Januari ada kenangan yang tak mungkin terlupakan selagi sy masih waras…Januari 2016 sy menghadapi kehilangan 2 orang yang penting dalam hidup saya. Keduanya pergi dalam bulan yang sama – iaitu abah saya pada 11/1 dan kemudian boss di pejabat yang tak mungkin ada pengganti iaitu En. Kamarul Ariffin Ujang (29/1). Berat sungguh rasa ketika itu tapi tak terzahirkan…

Abah saya memang telah sakit sekian lama..Kejap sakit dan terlantar, kemudian sihat dan boleh bawa kereta…kemudian sakit semula keluar masuk hospital, kemudian sihat semula begitulah berulang2 hampir 3 tahun..sehingga tidak melayakkan abah menunaikan haji pada tahun 2015. Tahun itu, mama pergi menunaikan haji bersama sepupu saya yang turut mendapat panggilan pada tahun yang sama. Sewaktu mama di Tanah Suci, abah memang terlantar dan mendapat stroke ketika di rumah saya.

Masih saya ingat bahawa saya bercuti 2 minggu untuk menjaga abah (terima kasih kepada arwah bos – En. Kamarul yang sangat memahami). Adik saya menghantar abah ke rumah saya. Pagi itu, abah kata dia tak boleh pegang sudu untuk suap makanan, jadi saya suapkan dia makan. Selepas zohor – abah minta saya panggilkan ambulans kerana dia rasa ada sesuatu yang tak kena. Ketika itu, suami pula berada di luar negara. Dipendekkan cerita, abah dimasukkan ke Hospital Putrajaya. Hidup saya agak tunggang langgang kerana berumah di hospital dan berkejaran menguruskan anak2. Abah keluar hospital pada sehari sebelum mama balik dari Mekah. Masih ingat lagi, saya meminta bantuan atendan hospital untuk membawa abah masuk dalam kereta (nak balik rumah) dan di rumah pula, saya menebalkan muka mengetuk pintu jiran2 meminta tolong angkat abah dari kereta ke katil di dalam rumah…

Awal tahun 2016, saya bercuti lagi kerana menguruskan anak sekolah. Kemudian, abah dimasukkan lagi ke wad di Hospital Taiping pula, kali ini agak teruk keadaannya. Masih saya ingat lagi, En. Kamarul call saya dan mengizinkan jika saya nk teruskan cuti. Saya memohon kepastian tentang cuti yang lama, dan ayat beliau “ Kerja di ofis ni ada orang akan buat, tapi ayah kita ada satu je..takpe..baliklah kampung, cutilah setakat mana yang perlu.”

Pada hari Ahad malam (10/1), saya dapat panggilan dari h/p En. Kamarul, tapi isterinya yang bercakap. Kak Ha (isteri En. Kamarul) memaklumkan beliau tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke hospital swasta. Keadaan itu saya maklumkan kepada rakan pejabat. Esoknya Isnin (11/1) saya menerima perkhabaran bahawa ayah saya pulang kepadaNya, lalu sepanjang minggu itu saya berada di kampung menguruskan hal-hal yang berkaitan sesudah kematian abah seperti urusan khairat, hal-hal pencen dan pencen terbitan, akaun bank dan lain-lain.

Saya hanya berkesempatan melawat En. Kamarul sekali di hospital. Ketika itu beliau di CCU. Dan sekali lagi saya ke hospital apabila beliau nazak…Ironinya, saya tidak berada di sisi abah ketika kematiannya (neither my mom), tapi saya melihat pemergian En. Kamarul dari bernyawa sehinggalah habis nyawanya. Masih terbayang suasana beramai2 mengalunkan bacaan Yasin diketuai oleh Datuk Dr Mohamed Ghazali Md Noor. Tentu saya tak akan lupa mesin yang menunjukkan graf yang semakin menurun dan bacaan oksigen yang semakin rendah dan akhirnya tiada bacaan.

Selepas ketiadaan En. Kamarul, saya kerap mengunjungi isterinya sambil menguruskan beberapa perkara melibatkan pusaka bersama. Ketika itu saya mengetahui bahawa ketika En. Kamarul sedar beberapa hari, beliau telah dimaklumkan tentang kematian ayah saya. Saya pasti beliau akan berpuas hati kerana telah memberikan nasihat yang tepat kepada saya.

Setelah kehilangannya, ofis kami suram dan muram. Bilik saya pula berada di hujung sekali. Jika nk ke bilik saya, pasti kena melalui meja di luar bilik boss – tempat En Kamarul sering duduk. katanya senang buat kerja di luar bilik, senang nk panggil kami (beliau laung saja nama kami haha) sebab suaranya kuat. Seakan terbayang dia duduk disitu sambil serabut2 dengan kertas dan file yang banyak. Saya fikir lama juga kami hilang arah…Apapun hidup tetap kena diteruskan. Walaupun tiada lagi pembimbing dan guidance, setiap kali cuba membuat keputusan – saya dan team akan membayangkan “kalau EKA (singkatan nama En. Kamarul Ariffin) dia akan buat macam mana…kalau EKA dlm situasi ni dia akan buat apa… Begitulah kami cuba mengambil roh dan aspirasi beliau dalam pekerjaan….

Lalu, bagaimana tidak Januari memberi kesan kepada saya?
Al- fatihah untuk keduanya. Semoga bertemu lagi di syurganya.