Saturday, 27 October 2018

Demi Matahari



 Pada suatu pagi  dalam perjalanan ke pejabat saya telah mendengar satu lagu nasyid ini dalam radio;

Demi matahari dan sinarnya di pagi hari
Demi bulan apabila ia mengiringi
Demi siang hari bila menampakkan dirinya
Demi malam apabila ia menutupi

Demi langit beserta seluruh binaannya
Demi bumi serta yang ada di hamparannya
Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya

Allah, Subhanallah … Allah, Subhanallah
Allah, Subhanallah … Allah, Subhanallah

Allah mengilhamkan sukma kefasikan dan ketaqwaan
Beruntung bagi yang mensucikan-Nya
Merugi bagi yang mengotori-Nya ... Subhanallah

Tajuk lagu ini adalah Demi Matahari (kumpulan Snada). Apabila diamati, rupanya  itu adalah merupakan maksud dari surah As-Syams. Teringat balik dalam kelas tafsir beberapa minggu yang lalu bahawa dalam surah ini Allah bersumpah dengan 7 perkara – iaitu matahari, bulan, siang, malam, langit, bumi dan jiwa. Enam daripadanya adalah berpasangan iaitu matahari dan bulan, langit dan bumi, siang dan malam. Yang terakhir adalah manusia/insan. Allah gunakan makhluk ini sebagai medium sumpah untuk menunjukkan ketaatan kepada Allah. Bulan dan matahari saling mengiringi.  Sinar matahari nampak bila waktu siang sebab ada matahari. Bila matahari terbenam, bulan pula akan muncul. Peredaran bulan dan matahari dan proses siang dan malam ini menunjukkan bahawa alam semesta ini ada pencipta dan yang mengaturkannya. Ini adalah tanda kebesaran Allah.

Apa yang ada di langit itu selalu mengkagumkan saya. Semasa menghantar/ambil anak dari kelas tuisyen malam, saya selalu mengajak dia melihat bulan dan bintang dan ajak dia berzikir memuji kebesaran Allah. Tiada daya dan kekuatan melainkan hanya Allah semata-mata. Langit itu tiada tiang, dan begitu banyak bintang menghiasinya. Saya selalu berharap dapat mengetahui apa yang ada di atas sana. Pengetahuan kita ini terbatas pada apa yang kita nampak sahaja. Allah Maha Berkuasa menjadikan bintang yang terlalu jauh itu bergermelapan dan dapat dilihat pada waktu malam. Kadang-kadang saya sengaja berdiri di luar rumah dan memerhatikan langit. Kalau dari atas tu, jika kita lihat kebawah (saya bayangkan macam kita berada atas flight_ tak terkira begitu banyak kehidupan atas hamparan bumi yang berada dalam aturan dan pengetahuan Allah, hatta semut hitam atas batu yang hitam sekalipun. Maka, masih kita berani engkar?


Maha Suci Allah yang menemukan dan menyedarkan saya apabila mendengar lagu ini. Malu pula rasanya baru hari ini tahu (baru dengar juga sebenarnya) bahawa lagu ini adalah dari surah As-Syams. Kalau tak belajar surah ini hari tu, mungkin saya akan sekadar mendengar sahaja macam angin lalu. Kalau satu hari nanti ingatan saya berkurangan, mudahan post ini bila saya baca balik boleh mengingatkan saya tentang surah As Syams.

KENAPA SAYA YANG HANTAR ANAK KE SEKOLAH



Ha..biasalah tu, ramai je ibu bapa yang hantar anak ke sekolah.

Dalam kes saya, saya yang akan hantar anak ke sekolah. Bukan sahaja waktu persekolahan biasa, tapi juga kalau ada kelas tambahan dan atau aktiviti lain.

Dulu, sewaktu tidak berapa matang, saya ada juga berbalah dengan pasangan. Bagi saya kena ada giliran dalam menghantar anak ini. Tapi kemudian saya telah mengubah cara berfikir, bahawa adalah lebih baik saya yang menghantar anak ke sekolah. Pada kebanyakan waktu anak akan tidur dalam perjalanan ke sekolah, tapi dapat juga saya menerapkan agenda disiplin (beserta leteran) dan memberikan ingatan-ingatan kepada mereka di mana yang sempat. Contohnya membebel mengenai kekemasan baju, kena beringat menjaga barang peribadi, ingatan kena buat apa sebelum peperiksaan, dan banyak lagi. Selain itu juga ingatan untuk selawat ke atas Nabi, jangan melayang fikiran berfikir yang tak mendatang faedah, zikir harian dan lain-lain. Saya berpandangan kalau tak semua, at least sedikit pun mesti ada yang berbekas di hati.  Paling tidak pun, bila ibu tiada bersama mereka, sedikit sebanyak anak akan kenang apa yang kami selalu buat dalam kereta.

Selepas bersalam dengan anak, saya mencium pipi dan dahi mereka dan ‘memaksa’ anak memeluk saya, baru dilepaskan. Saya memulakan amalan saling berpelukan ini apabila pada satu ketika saya sangat sayu mengenangkan anak yang tidak mempunyai ibu. Siapalah yang menyiapkan keperluan sekolah, yang ambil tahu emosi mereka, tapi Allah lebih tahu dan tidak akan ada perkara yang berlaku dengan sia-sia. Maka kerana itu, saya fikir, saya harus memanfaatkan waktu yang saya masih ada (maksudnya saya masih hidup le..) untuk memberikan restu kepada anak-anak.

Makanya, anak ke sekolah dengan restu saya. Saya akan lihat mereka berjalan masuk ke dalam sekolah sehingga hilang dari pandangan atau sehingga saya puas hati, dan mengiringi mereka dengan doa semoga dipermudahkan urusan pembelajaran, dan dijauhkan dari mara bahaya. Saya rasa, doa ibu adalah yang paling perlu untuk mereka memulakan hari dengan baik. Malah saya sendiri sebelum ini akan bercakap dengan ibu saya setiap pagi sewaktu memandu ke pejabat. Kini tidak lagi sebab ibu saya yang tinggal di pondok ada sesi pengajian selepas waktu subuh ..

Kalau ditakdirkan saya sakit dan tidak dapat menghantar anak ke sekolah, saya tetap akan doakan mereka. Dalam masa peperiksaan, pasti lebih doa dititip untuk anak2..

Jadi, kalau anak terbaca catatan ini satu hari nanti, ketahuilah bahawa semua anakanda sentiasa dalam doa dan redha ibu. Semoga Allah akan meredhai semua anak2 di mana jua berada. Amin..

Monday, 22 October 2018

TAHNIAH DAN TAKZIAH




Kebiasaannya apabila menerima berita kenaikan pangkat, kita ucapkan tahniah kepada individu berkenaan. Hari ini saya menerima berita 3 kenaikan pangkat individu yang saya kenali dan satu pada minggu lepas. Kesemuanya berlegar pada organisasi di tempat saya bekerja.

Jauh di sudut hati, teringin saya mengucapkan TAHNIAH dan TAKZIAH kepada 3 individu yang kiranya rapat dengan diri saya. Tapi tidak saya zahirkan dalam ucapan, kerana khuatir tidak diterima atau menimbulkan lebih banyak persoalan kepada orang lain yang membaca kerana belum biasa diucap Takziah atas  kenaikan pangkat.

TAHNIAH adalah sesuatu yang biasa, tetapi kenapa TAKZIAH?

Pertama kali saya membaca tulisan berkaitan ini adalah catatan Dr MAZA menerusi Minda Tajdid (yang di tag oleh rakan FB) bersempena dengan pelantikan YAB PM ke-enam. Kenaikan pangkat dan jawatan besar merupakan satu manifestasi penghargaan terhadap kepimpinan seseorang. Lantikan berkenaan pastinya bersandarkan bakat, pengetahuan dan pengalaman seseorang. Namun untuk menjadi seorang pemimpin ini bukan mudah. Dalam satu ceramah yang saya dengar tentang kepimpinan, seorang pemimpin itu haruslah mempunyai dua ciri ini iaitu Qawi (kuat) dan amanah. Kuat itu dari pelbagai segi, fizikal dan mental serta harus diiringi dengan amanah. Dari satu blog yang saya baca, amanah bererti melaksanakan suatu tugas-tugas syariat dengan penuh ketaatan dan tanggungjawab. Amanah juga membawa makna sifat atau keperibadian yang dipercayai. Pengertian amanah bukan hanya menjaga urusan yang melibatkan kewangan sahaja, bahkan pengertian amanah di dalam Islam cukup luas dan berat tanggungjawabnya.


Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” (al-Ahzab:72) 

Sabda Nabi saw:

Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinanan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).

Bahkan baginda pernah menyebut:

Allah tidak lantik seseorang hamba itu menguasai sesuatu rakyat kemudian hamba itu mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, melainkan Allah haramkan untuknya syurga (Riwayat Muslim).

Kalau kita berbesar hati dengan kenaikan pangkat atau pelantikan ke atas sesuatu jawatan, mari kita meladeni sikap Khalifah Umar bin Abd al-Aziz ketika beliau dilantik menjadi khalifah. Beliau tergamam dan hiba dan bersendirian bersolat dan menangis hingga menimbulkan tanda tanya kepada para pembesar yang lain. Beliau sebenarnya khuatir tidak mempunyai alasan yang kukuh menjawab kepada Tuhan di akhirat kelak ke atas mereka yang tidak berdaya seperti orang yang fakir, yang lapar, orang tua, yang menderita dan yang berkeluarga ramai dengan wang yang sedikit. Sungguh berat sebenarnya perkara amanah ini.

Dari buku novel sejarah Abu Ayub Al-Ansari (sahabat Nabi saw yang rumahnya dipilih oleh unta Nabi untuk berhenti dan berehat ketika peristiwa Hijrah dari Makkah ke Madinah), sewaktu kewafatan Nabi saw, wakil pihak Muhajirin dan Ansar saling menegakkan wakil dari kaum masing-masing untuk menjadi pemimpin sehinggalah sahabat Nabi saw iaitu Abu Bakar As Siddiq dipilih dan dilantik sebagai Khalifah. Berikut adalah ucapan pertama Khalifah Abu Bakar As Siddiq:

 Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku"

Buat 3 individu yang begitu dekat dengan saya, Dato’ Noor Zari, Encik Muhammad Idris dan Encik Abdul Halim Abdul Aziz, TAHNIAH atas kepercayaan untuk menerajui organisasi, TAKZIAH atas bebanan amanah yang bakal dipikul. Saya hanyalah seorang pegawai kecil (pangkat dan saiz badan hihi) yang mendoakan Tuan-Tuan akan memikul tanggungjawab ini dengan penuh ikhlas dan juga mendoakan semoga semua urusan kita dipermudahkan Allah dan, semoga sentiasa dipandu ke jalan yang betul. Amin ya Rab.