Saturday, 20 November 2021

Di mana surau kita?

 

Assalamualaikum.

Kalau saya ke satu-satu tempat yang baharu, ada dua tempat ini akan saya tanyakan di kaunter atau dengan orang yang berada ditempat itu – kantin/tempat makan dan surau.

Dua tempat ini penting terutama kalau akan berada di satu-satu tempat itu untuk satu jangka masa yang panjang yang akan melalui waktu solat.
Kantin – penting untuk alas perut
Surau – penting untuk menunaikan kewajipan dan rehat sebentar tanpa memakai tudung penuh.

Saya biasanya tak kisah sangat dengan kedudukan tempat makan itu berada di mana, sama ada dalam bangunan yang sama ke, atau jauh sikit pun tidak mengapa.


Cuma kadang-kadang terkilan dengan kedudukan surau. Kalau dalam sesebuah bangunan kementerian/jabatan kerajaan, terutamanya kementerian yang baharu di Putrajaya, kedudukan suraunya strategik dan ada yang impressive. Karpetnya berbau wangi, tempat wuduk bersih, ada almari sejadah yang tersusun dan tempat letak Al-Quran. Ada tempat letak kasut yang selesa dan pangkin tempat duduk untuk memakai stokind an menyarung kasut. Ada yang mungkin menganjurkan solat berjemaah Zohor dan pernah di satu kementerian tu, ada sesi kuliah bacaan kitab Hadis 40.

Tapi ada juga pengalaman di bangunan yang bukan jabatan kerajaan, yang mana kedudukan suraunya huhu…agak menyedihkan. Sudahlah terletak di tempat letak kereta, nak ke tempat solat pun kena keluar pintu, masuk pintu lain. Bila masuk, dalamannya pula kosong. Tanpa karpet, tanpa cermin (perempuan kena ada cermin untuk bersiap). Bukan lah nak kata saya demand kena ada karpet, di rumah sendiri pun bukan semua tempat ada karpet pun. Cuma saya fikir, ia adalah satu kebiasaan lantai tempat solat tu dilapisi karpet. Cermin dan tempat letak sejadah pun adalah atas usaha cleaner yang solat disitu…huhu…Bersangka baik – warga bangunan solat di tempat/bilik sendiri.

Ada juga tempat solat yang dalam bangunan yang baharu, moden dan ruang-ruang kedai disewa oleh jenama-jenama besar. Tapi sayang, tempat solatnya nunnnn jauh di hujung bangunan. Itu masih bagus jika berada dalam bangunan, tapi kalau tempat solat di luar bangunan dan di tempat letak kereta? Macam itu sahaja taraf tempat solat kita? Sedih…

Kalau kita lihat isu tempat solat dalam bangunan ni, isu tempat itu satu…satu lagi adalah maintenance tempat solat itu sendiri. Kalau di R&R, alhamdulillah, bersih dan terjaga. Pasca pandemic ini kita kena bawa sejadah sendiri dan mungkin telekung bagi yang wanita (tiada isu bagi yang memang dah berpakaian solat ready). Tapi ada juga tempat-tempat (tak mahu saya sebutkan disini) yang sebelum Covid-19 melanda, langsung tidak dijaga dengan sewajarnya. Karpetnya lusuh dan basah (bekas dipijak selepas berwuduk), berbau kepam dan bahagian telekung dan sejadah bersepah dan berlonggok-longgok. Sedih kalau bertemu dengan tempat yang serupa ini.

Kita ini berada dalam negara Islam. Solat itu pula tiang agama. Tapi kalau tempat solat tidak diberi perhatian dan kedudukan yang sewajarnya, serupa itu jugakah peranan solat dalam kehidupan kita? Solat bukanlah satu ritual yang dilakukan pada masa yang tertentu dengan pergerakan tertentu dan dengan pakaian tertentu, tapi adalah kewajipan yang perlu (mesti!) dilaksanakan berserta dengan penghayatan. Adakah solat kita bertaraf ‘asal boleh’, maka itulah tempat untuk menunaikannya pun ‘asal boleh’ sahaja?

Kamon gais – kita ini sedang bertemu dan mengadap kepada Yang Maha Esa – Tuhan Sekelian Alam. Tuhan yang satu yang Maha Berkuasa. Kalau kita berjumpa dengan orang kenamaan atau Raja, mahu tak kita jumpa di tempat yang di hujung bangunan, di tempat parkir kereta yang panas, lepas tu ‘interior’ dalamannya pula tak menyenangkan langsung. Tentu tidak kan! Ini negara Islam dan Muslim adalah majoriti di negara ini. Seharusnya tergambar sisi Muslim itu (pada pandangan peribadi saya lah) dalam perkara ini.

Kerana itulah saya fikir dan berharap, lebih ramai arkitek dan professional Muslim lain dalam pelbagai bidang dihasilkan. Mereka yang meletakkan agama mendahului urusan lain tentu akan merancang tempat solat di kedudukan yang strategik dalam sesebuah bangunan seperti bangunan tempat kerja, stesen keretapi, lapangan terbang, kompleks beli belah, muzium, zoo, sekolah dan lain-lain tempat. Profesional Muslim yang kaya dan pengurusan tertinggi yang ‘have-have’ boleh mengindahkan tempat solat berkenaan dengan interior yang menarik. Selanjutnya, insan-insan mulia yang lain boleh berkobolorasi untuk saling menjaga tempat solat awam, bukan mengharapkan cleaner sahaja. Kebersihan itu kan sebahagian daripada iman. Allah pun suka yang cantik dan indah.

Semoga keadaan akan lebih baik pada masa akan datang.

Marilah menunaikan solat, marilah menuju kejayaan.

#kembalimenulis