Saturday, 17 April 2021

Ramadhan Kareem

 

 

Ramadhan Kareem

Balighna Ramadhan ya Allah…itulah doa berulang –ulang saya sebaik sahaja Syaaban melabuhkan tirainya. Jika sebelum itu kami berdoa ‘ Semoga Allah berkati kami di bulan Syaaban dan sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan’, maka apabila Asar berakhir, itulah doa saya …. Alhamdulillah memasuki Ramadhan tahun ini dalam keadaan sihat, namun sehingga malam pertama Ramadhan belum tentu lagi saya masih ada dan akan dapat berpuasa pada esok hari. Betapa ramainya yang pergi dalam bulan Rejab dan Syaaban tanpa sempat merasai/memasuki  Ramadhan. Allah sahaja yang tahu rahsia ini.

Ramadhan begitu berbeza dengan bulan-bulan yang lain. Dari segi aturan masa, memang sangat berubah bagi yang bekerja pejabat seperti saya. Waktu balik kerja dipendekkan setengah jam dari biasa. Yang nyata, bagi yang bekerja di Putrajaya, seperti selalu akan mengami keadaan kesesakan yang luar biasa dari segenap arah…Apa ada hal….hanya berlaku sebulan sahaja dalam setahun kan….Tahun ini pula merupakan tahun ke-12 saya berulang Putrajaya-Salak Tinggi dan mengharungi kesesakan itu haha….Seterusnya bagi para ibu seperti saya, awal pagi akan menyediakan sahur untuk seisi keluarga.

Dari sudut agama pula, apa pula yang membezakan Ramadhan dengan bulan-bulan yang lain? Bulan ini merupakan bulan istimewa yang mana ibadat digandakan pahalanya, dosa diampunkan, pintu-pintu rahmat terbuka dan pintu syurga terbuka luas, manakala pintu neraka pula tertutup rapat. Bulan Ramadhan mempunyai satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan –iaitu Lailatul Qadar. Kita hiasi malam-malam Ramadhan dengan Solat Terawih. Ramadhan merupakan bulan turunnya Al-Quran. Maka, kita wajar menggandakan ibadah pada bulan ini. Puasa itu adalah milik Allah dan Allah sahaja yang akan mengganjari kita.

Sebelum memasuki Ramadhan tahun ini, saya sering tertanya apakah persediaan saya untuk Ramadhan tahun ini? Adakah saya akan sekadar puasa, solat terawih, kemudian sambut Raya? Adakah saya akan bersungguh-sungguh untuk memaknai bulan ini? Apa yang saya buat sebagai tanda saya mengalukan kedatangan Ramadhan tahun ini? Apakah yang saya buat yang lebih baik dari tahun lalu bagi meraikan kedatangan Ramadhan tahun ini? Tanyalah juga diri anda.

Kemudian, TV AlHijrah pula menggunakan tagline ‘Andai ini Ramadhan terakhir’. Mula-mula saya ingatkan cerita ke..rupanya tagline sebulan. Hanya pada hari ke-4 Ramadhan baru hati saya tersentak – macam mana kalau ini lah Ramadhan terakhir saya? Kalau ikutkan umur Nabi saw, saya telah memasuki 2/3 daripada umur itu. Apakah syarat mati? Mati tak semestinya tua dan sakit, sebaliknya syarat mati adalah hidup. Setiap yang hidup akan merasai mati. Maka itu, jika Ramadhan ini yang terakhir, mudah-mudahan Allah izinkan bulan ini menjadi bulan paling bermakna, paling bermanfaat dan paling baik amalan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Amin.

Doa saya, mudah-mudahan kita semua memasuki Ramadhan dan mengakhirinya dengan penuh ketaqwaan. Amin Ya Rabb.