Pada zaman pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyah
terdapat seorang ulama' sufi bernama
Sheikh Junaid Al- Baghdadi yang tersohor dengan ketinggian ilmunya.
Selain menjadi pelopor kepada ilmu tasawuf Islam, beliau juga dikenali sebagai
seorang pedagang yang berjaya di jazirah Arab.
Suatu ketika, Sheikh Junaid telah berangkat ke kota
Baghdad bersama dengan para pengikutnya atas urusan perniagaan. Sebaik
urusannya selesai, Sheikh Junaid telah bertanya tentang seorang lelaki dan berniat
untuk menemui lelaki tersebut.
"Kenalkah kamu lelaki bernama Bahlul di kota
Baghdad ini?" tanya ulama' tersebut kepada anak muridnya. Mereka menjawab,
“Ya, dia seorang yang gila. Apakah yang tuan perlukan daripadanya?"
"Cari lelaki itu kerana ada sesuatu yang aku
perlukan daripadanya." kata Sheikh Junaid.
Tanpa banyak bicara, murid-murid Sheikh Junaid segera
mencari lelaki bernama Bahlul itu di segenap kota Baghdad dan akhirnya menemui
beliau di dalam sebuah pondok usang di gurun yang agak terpencil.
Keadaan Bahlul dilihat tidak terurus. Pakaiannya
compang camping dan rambutnya kusut masai. Memang sah, itulah lelaki yang
dicari oleh guru mereka. Murid-murid Sheikh Junaid pun bergegas pulang ke kota
Baghdad dan membawa guru mereka untuk bertemu dengan lelaki tersebut.
Ketika Sheikh Junaid mendekati Bahlul, dia melihat
Bahlul sedang gelisah sambil menyandarkan kepalanya ke tembok batu.
Sheikh Junaid memberi salam kepadanya dan beliau
menjawab seraya bertanya semula, "Siapakah engkau?"
"Aku Junaid Al-Baghdadi." jawab ulama' sufi
itu.
"Apakah engkau Abul Qasim (nama sebenar Sheikh
Junaid? Al-Baghdadi) Apakah engkau Sheikh Baghdadi yang sering mengajak manusia
ke arah jalan kebaikan dan mencintai akhirat?" tanya Bahlul.
"Ya!" Jawab Sheikh Junaid.
"Apakah engkau tahu cara makan?" tanya
Bahlul sekali lagi.
Lalu Sheikh Junaid menjawab, “Aku mengucapkan
Bismillah. Aku makan yang ada di hadapan ku, aku menggigitnya sedikit,
meletakkan di sisi kanan dalam mulutku dan perlahan mengunyahnya. Aku mengingati
Allah sambil makan. Apa pun yang aku makan, aku ucapkan alhamdulillah. Aku cuci
tangan sebelum dan sesudah makan."
Bahlul berdiri, menyebakkan pakaiannya dan berkata,
"Kau ingin menjadi guru yang dihormati di dunia tetapi kau tidak tahu pun
cara makan!"
Sambil berkata demikian, Bahlul berlalu pergi. Salah
seorang murid Sheikh Junaid berkata, "Wahai tuan, dia adalah orang
gila."
"Ya, dia adalah orang gila yang bijak dan
cerdas.Dengarkan kebenaran daripadanya", jawab Sheikh Junaid. Dia kemudian
mendekati Bahlul sekali lagi.
"Siapakah engkau?" tanya Bahlul.
"Sheikh Baghdadi yang tidak tahu cara makan,
" jawab Sheikh Junaid.
"Engkau tidak tahu cara makan tetapi adakah kau
tahu cara berbicara?" tanya Bahlul.
"Ya", jawabnya. "Aku berbicara tidak
kurang dan tidak lebih dan aku tidak terlampau banyak berbicara. Aku berbicara
supaya pendengar mudah memahami. Aku tidak berbicara terlampau banyak supaya
orang ramai tidak mudah bosan. Aku mengajak manusia ke jalan Allah dan
Rasul," kata Sheikh Junaid."
"Lupakan sahaja tentang makan kerana kau juga
tidak tahu tentang bagaimana cara untuk berbicara." kata Bahlul. Dia
berdiri dan berlalu pergi.
Anak murid Sheikh Junaid berkata, "Wahai tuan,
anda lihat sendiri dia adalah seorang yang gila. Apa yang tuan harapkan daripada
orang gila seperti nya?"
"Ada sesuatu yang aku perlukan daripadanya yang
kamu tidak tahu", jawab Sheikh Junaid. Dia kemudian bangun dan mendekati
Bahlul semula.
"Apakah yang kau mahu lagi daripada ku? Kau
tidak tahu cara makan dan berbicara, adakah kau tahu cara tidur?" tanya
Bahlul sebaik Sheikh Junaid mendekatinya.
"Ya, aku tahu. Selepas solat Isyak, aku
mengenakan pakaian tidur, aku berwuduk, berdoa dan.." jawab Sheikh Junaid
menerangkan adab-adab tidur sebagaimana lazimnya diajarkan oleh para ulama'.
"Sudah, ternyata kau juga tidak tahu bagaimana
cara tidur," kata Bahlul dengan tegas sambil bingkas bangun.
Tetapi kali ini Sheikh Junaid menahannya. "Wahai
Bahlul, aku tidak tahu, kerana Allah, maka ajarkanlah aku", pinta Sheikh
Junaid kepada Bahlul.
Bahlul menjawab, "Sebelum ini kau mengatakan
bahawa kau tahu maka aku menghindari mu. Sekarang setelah kau mengaku engkau
tidak tahu, maka aku akan mengajar kamu cara makan, berbicara dan tidur."
"Ketahuilah bahawa kebenaran yang ada disebalik makanan
ialah makanan yang halal. Jika engkau memakan makanan yang haram dengan seribu
adab sekalipun ianya tidak akan memberi manfaat melainkan menyebabkan hati mu
menjadi hitam."
Kebenaran yang ada di sebalik bicara ialah hati harus
bersih sebelum berbicara dan percakapan kamu hendaklah menyenangkan Yang Maha
Pencipta terlebih dahulu daripada yang mendengar. Sekiranya bicara mu hanya
untuk urusan duniawi yang sia-sia dan tidak menjurus kepada Allah SWT maka ia
akan mendatangkan malapetaka. Sebab itu diam adalah lebih baik daripada
berkata-kata."
"Kebenaran yang ada di sebalik tidur adalah hati
mu perlu bebas daripada sifat permusuhan dan kebencian sebelum tidur. Hati mu
tidak boleh tamak akan kekayaan dunia. Maka ingatlah Allah SWT ketika kamu
tidur", kata Bahlul kepada Sheikh Junaid.
Kata-kata itu membuatkan Sheikh Junaid Al-Baghdadi
tersenyum. Ya, itulah jawapan yang diperlukan daripada lelaki yang dikatakan
oleh masyarakat sebagai orang gila itu.
Sheikh Junaid kemudian menghulurkan salam dan mencium
tangan Bahlul, lantas berdoa untuk kesejahteraannya.
Siapa sebenarnya lelaki yang dikatakan gila bernama
Bahlul itu?
Bahlul atau namanya yang sebenar, Wahab bin Amr
dilahirkan di Kuffah, Iraq merupakan keluarga Diraja. Beliau adalah sepupu
kepada Khalifah Harun Ar-Rasyid. Ketika hayatnya Bahlul dikenali sebagai ilmuan
Islam dan pernah menjawat jawatan Hakim kerajaan Bani Abassiyah.
Namun Bahlul telah meninggalkan segala kekayaan dan
kemewahan hidupnya untuk hidup sederhana. Disebabkan kerana itu, dia diberi
julukan Bahlul oleh penduduk setempat.
Bahlul sebenarnya tidak gila, tetapi dia berpewatakan
sebegitu bagi menyembunyikan kebijaksanaannya daripada diketahui oleh orang
lain.
Itulah dia kisah seorang yamg arif bernama Bahlul.
Pengajaran daripada kisah tersebut,
Pertama, Sheikh Junaid Al-Baghdadi sebagai seorang
guru yang disegani tidak jemu untuk mencari ilmu dan sanggup mencarinya
diceruk-ceruk kampung yang terpencil.
Kedua, Sheikh Junaid sebagai seorang yang arif
mengetahui bahawa Bahlul bukanlah seorang gila seperti mana dikatakan oleh
masyarakat malah adalah seorang yang mempunyai hikmah ilmu dan kerana itu
beliau berusaha mencarinya. Jauhari juga yang mengenal manikam.
Ketiga, Sheikh Junaid walaupun seorang guru yang
terkenal dan mempunyai ramai murid tidak sombong dan sabar serta merendah diri
di hadapan Bahlul dan mendatangi beliau walaupun Bahlul beberapa kali menyebak
pakaiannya dan pergi. Benarlah seorang yang berkehendakan ilmu itu mesti
mendatangi ilmu dan bukan sebaliknya.
Keempat, seorang yang mencari ilmu mestilah lebih
banyak sabar dan mendengar daripada berkata-kata dan merasakan diri tidak tahu
kerana merendahkan diri di hadapan ilmu.
Kelima, ketrampilan seseorang tidak semestinya
mencerminkan ilmu seseorang itu. Walaupun Bahlul tidak berpakaian hebat seperti
gaya tuan guru tetapi hikmah kata-katanyanya disanjung tinggi oleh Sheikh
Junaid Al-Baghdadi.
Keenam Sheikh Junaid menerangkan bab feqah tentang
adab dalam melakukan sesuatu tetapi Bahlul menerangkan bab hati iaitu kunci utama
di dalam sesuatu perbuatan ibadat itu. Sesungguhnya jika baik hati itu maka
insha Allah baiklah segalanya. Selain daripada mengetahui tentang adab tetapi
ia tidak mencukupi kerana hati yang ikhlas dan bersih diperlukan untuk mendapat
keberkesanan daripada amalan tersebut.
Ketujuh, Sheikh Junaid mencium tangan Bahlul atas
dasar penghormatan seorang murid yang telah diberi ilmu yang tidak ternilai.
Begitulah cara orang yang beradab pada ilmu di mana peradaban seperti itu sudah
berkurangan di zaman ini. Maka ilmu yang dipelajari tidak ada keberkatannya.
| Buat Renungan.
(taken from whatapps)